PBB kecam serangan sekolah Iran korbankan ratusan kanak-kanak

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PBB kecam serangan sekolah Iran korbankan ratusan kanak-kanak

Mar 4, 2026 | 7:18 PM

PBB kecam serangan sekolah Iran korbankan ratusan kanak-kanak

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Kubur sedang digali bagi mangsa yang terkorban susulan serangan yang dilaporkan mengenai sebuah sekolah di Minab, Iran pada 2 Mac 2026. Foto itu disediakan oleh Jabatan Media Luar Iran.
Kubur sedang digali bagi mangsa yang terkorban susulan serangan yang dilaporkan mengenai sebuah sekolah di Minab, Iran pada 2 Mac 2026. Foto itu disediakan oleh Jabatan Media Luar Iran. - Foto REUTERS

GENEVA: Jawatankuasa Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menegaskan bahawa kanak-kanak mesti dilindungi dalam konflik bersenjata yang sedang berlaku di Asia Barat, sambil menyuarakan kebimbangan terhadap laporan serangan udara yang didakwa mengenai sebuah sekolah di Iran.

Iran menyalahkan Israel dan Amerika Syarikat atas serangan terhadap sekolah tersebut di bandar Minab pada hari pertama perang 28 Februari lalu, dengan laporan awal menyatakan lebih 150 orang terbunuh.

Namun, Amerika Syarikat dan Israel tidak mengesahkan serangan tersebut, manakala AFP juga tidak dapat mengesahkan angka korban atau melawat lokasi kejadian secara bebas.

Dalam satu kenyataan, jawatankuasa itu berkata mereka amat bimbang terhadap laporan serangan ke atas infrastruktur awam termasuk sekolah dan hospital.

“Jawatankuasa amat bimbang dengan laporan serangan terhadap kemudahan awam seperti sekolah dan hospital yang telah mencederakan serta memberi trauma kepada kanak-kanak, selain meragut banyak nyawa muda,” katanya.

Menurut kenyataan itu, konflik bersenjata sering menjadikan kanak-kanak antara golongan paling terdedah kepada bahaya. “Ini mengingatkan kita bahawa kanak-kanak adalah antara golongan paling rentan dalam konflik bersenjata dan tidak seharusnya dianggap sebagai korban sampingan,” kata jawatankuasa tersebut.

Media negara Iran melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 165 orang, termasuk pelajar sekolah, dikebumikan pada 3 Mac selepas terbunuh dalam serangan yang didakwa berlaku di Minab.

Rakaman yang disiarkan televisyen negara menunjukkan orang ramai berkumpul dalam suasana penuh kesedihan, dengan keluarga mangsa menangis di hadapan jenazah yang dibalut kain putih.

Jawatankuasa Hak Kanak-Kanak PBB terdiri daripada 18 pakar bebas yang bertanggungjawab memantau pelaksanaan Konvensyen Hak Kanak-Kanak oleh negara-negara anggota. Konvensyen tersebut mula berkuat kuasa pada tahun 1990 dan disertai hampir semua negara anggota PBB, kecuali Amerika Syarikat.

Di bawah konvensyen itu, setiap negara diwajibkan melindungi hak kanak-kanak untuk hidup, membesar dan berkembang, serta memastikan hak mereka dihormati terutama ketika konflik bersenjata.

Jawatankuasa itu menegaskan bahawa kanak-kanak mesti dilindungi daripada kesan langsung dan tidak langsung peperangan. “Kanak-kanak mesti dilindungi daripada kesan permusuhan yang boleh membawa kepada kematian, kecederaan, pemindahan paksa serta trauma psikologi,” katanya.

PBB juga menggesa semua pihak yang terlibat dalam konflik Asia Barat supaya melaksanakan gencatan senjata segera dan berterusan.

Langkah itu penting bagi memastikan kanak-kanak tidak terus terdedah kepada keganasan dan pelanggaran hak mereka.

Selain itu, jawatankuasa tersebut menyeru semua pihak dalam konflik supaya mengambil langkah perlu untuk melindungi kanak-kanak, termasuk memastikan sekolah dan hospital tidak menjadi sasaran serangan.

Mereka juga menekankan bahawa bantuan kemanusiaan perlu dibenarkan sampai dengan selamat kepada kanak-kanak yang memerlukan bantuan segera.

Walaupun pandangan jawatankuasa tersebut tidak mengikat secara undang-undang, kenyataan mereka dianggap mempunyai pengaruh besar terhadap reputasi negara yang terlibat dalam konflik. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg