Korban mencecah 500,000 pada tahun kelima perang Russia-Ukraine, tiada tanda konflik berakhir
Korban mencecah 500,000 pada tahun kelima perang Russia-Ukraine, tiada tanda konflik berakhir
KYIV: Empat tahun selepas Russia melancarkan pencerobohan berskala penuh ke atas Ukraine, rakyat negara itu terus memperingati mangsa yang terkorban dalam perang yang masih belum menunjukkan tanda akan berakhir.
Memasuki tahun kelima konflik, tentera Ukraine masih berjaya menahan kemaraan pasukan Russia, namun kerugian ketenteraan meningkat di kedua dua pihak, manakala penduduk awam terus berdepan serangan udara hampir setiap hari.
Walaupun Presiden Russia Vladimir Putin memuji kemajuan tenteranya di medan tempur, perang tersebut telah menyebabkan kerugian yang dianggap antara paling besar dialami kuasa besar sejak Perang Dunia Kedua.
Penganalisis keselamatan menyifatkan tahap korban sebagai luar biasa. “Tiada kuasa besar mengalami jumlah korban sebegini sejak Perang Dunia Kedua,” kata Encik Seth Jones dari Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS). “Ia benar benar mengejutkan.”
Jumlah sebenar tentera yang terbunuh masih dirahsiakan oleh kedua dua pihak kerana Moscow dan Kyiv mahu mengelakkan gambaran kelemahan. Namun beberapa anggaran menunjukkan Ukraine kehilangan lebih ramai tentera berbanding saiz populasinya, walaupun jumlah keseluruhan korban Russia jauh lebih tinggi.
Penyelidikan wartawan Mediazona bersama Perkhidmatan Russia BBC mengenal pasti sekurang kurangnya 200,186 kematian tentera Russia berdasarkan rekod kematian, laporan keluarga, pengebumian dan data rasmi negara. Namun mereka menegaskan angka itu hanyalah jumlah minimum.
“Angka ini bukan had maksimum tetapi sekadar paras bawah,” menurut laporan tersebut.
Kajian CSIS pula menganggarkan sehingga 325,000 tentera Russia terbunuh di medan perang, manakala jumlah korban termasuk cedera boleh mencecah 1.2 juta orang. Secara keseluruhan, kematian kedua dua pihak dijangka melepasi 500,000 orang pada 2026.
Di Ukraine, pemerintah turut merahsiakan angka korban sebenar. Namun laporan CSIS menganggarkan antara 100,000 hingga 140,000 tentera Ukraine terbunuh, dengan 500,000 hingga 600,000 lagi cedera atau hilang.
Presiden Volodymyr Zelenskyy sebelum ini mengumumkan angka korban lebih rendah, namun ramai pemerhati menganggap ia diremehkan.
Tentera Ukraine kini berdepan kekurangan anggota apabila sistem kerahan tentera ketinggalan dan kes pembelotan meningkat. Pegawai tentera mengakui mereka sukar mengekalkan barisan pertahanan.
Sebaliknya Russia mampu menggantikan kerugian melalui sistem pengambilan anggota yang menawarkan bonus tinggi serta merekrut banduan, selain memiliki populasi empat kali ganda lebih besar.
“Masalah utama Ukraine sekarang ialah jumlah anggota,” kata Encik Jones.
Bagi mengimbangi kekurangan tersebut, Ukraine berusaha meningkatkan kos peperangan kepada Russia dengan teknologi baharu di medan tempur. Pegawai Ukraine berkata keseimbangan mungkin mula berubah.
Penasihat presiden Ukraine Encik Pavlo Palisa berkata Russia kehilangan kira kira 120 tentera bagi setiap satu kilometer wilayah yang diperoleh pada 2025. Menteri Pertahanan Ukraine Encik Mykhailo Fedorov pula menyatakan Ukraine membunuh atau mencederakan serius 35,000 tentera Russia pada Disember lalu, hampir menyamai kadar pengambilan bulanan Russia. “Matlamat kami ialah mengenakan kos yang tidak mampu ditanggung Russia,” katanya.
Encik Putin menandakan ulang tahun keempat perang dengan berucap kepada Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan (FSB) dan menggesa perlindungan lebih kukuh terhadap serangan Ukraine.
Sehari sebelumnya beliau bertemu balu tentera yang terbunuh di Kremlin.
Di Kyiv, Encik Zelenskyy menekankan ketahanan rakyat Ukraine dan mengadakan pertemuan dengan pemimpin Eropah sebelum melawat tugu peringatan sementara di dataran utama ibu kota. Beliau turut menyatakan harapan agar Presiden Amerika Syarikat Donald Trump melawat Ukraine bagi melihat sendiri kesan peperangan.
Walaupun kedua dua pihak terus menuntut kemajuan, perang kekal berlarutan tanpa petunjuk penyelesaian segera. Kemusnahan berterusan, korban meningkat dan serangan udara harian menunjukkan konflik bukan sahaja belum reda, malah berpotensi berpanjangan.
Empat tahun selepas ia bermula, perang Russia-Ukraine kini berubah daripada kemaraan pantas kepada peperangan berpanjangan yang menguji ketahanan ketenteraan, ekonomi dan masyarakat kedua dua negara. - Agensi berita

