MOSCOW/WASHINGTON: Presiden Russia Vladimir Putin memaklumkan kepada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bahawa Moscow akan menilai semula pendiriannya dalam rundingan damai Ukraine susulan dakwaan serangan dron Ukraine ke atas salah satu kediaman rasmi presiden Russia, satu tuduhan yang dinafikan keras oleh Kyiv sebagai rekaan politik.
Menurut Kremlin, Encik Putin menyampaikan perkara itu dalam satu perbualan telefon dengan Encik Trump pada 29 Disember ketika Washington giat menggerakkan usaha diplomatik bagi menamatkan perang yang bermula sejak pencerobohan Russia ke atas Ukraine pada 2022.
Kremlin mendakwa serangan dron tersebut merupakan perkembangan serius yang tidak boleh diketepikan dalam proses rundingan.
Russia mendakwa Ukraine melancarkan sebanyak 91 dron jarak jauh ke arah sebuah kediaman presiden di wilayah Novgorod, kira-kira 400 kilometer di barat laut Moscow.
Semua dron itu, menurut pihak berkuasa Russia, berjaya dipintas oleh sistem pertahanan udara tanpa menyebabkan kematian atau kerosakan.
“Kami menganggap tindakan ini sebagai tidak bertanggungjawab dan satu bentuk keganasan negara,” kata Menteri Luar Russia, Encik Sergei Lavrov, sambil memberi amaran bahawa Moscow sedang mempertimbangkan langkah balas dan sasaran “telah dikenal pasti”.
Bagaimanapun, Ukraine menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.
Presiden Volodymyr Zelenskyy menyifatkan tuduhan itu sebagai “pembohongan baru” yang bertujuan menjejaskan proses damai dan berkemungkinan digunakan sebagai alasan untuk serangan Russia yang lebih besar ke atas Kyiv.
“Naratif ini tidak berdasarkan realiti medan perang. Ia dicipta untuk memberi tekanan dalam rundingan dan mungkin menyediakan justifikasi maklumat untuk serangan baharu,” kata Encik Zelensky.
Jurucakap Kremlin tidak mengesahkan sama ada Putin berada di kediaman tersebut ketika serangan dron yang didakwa itu berlaku.
Setakat ini, dakwaan Russia itu juga belum dapat disahkan secara bebas oleh pihak ketiga.
Encik Trump, yang berada di Florida ketika bercakap kepada wartawan, berkata beliau “sangat marah” apabila mendengar dakwaan serangan itu daripada Encik Putin.
“Ia satu perkara untuk bersikap ofensif dalam perang. Tetapi menyerang rumah seseorang adalah perkara lain,” kata Encik Trump.
“Ini bukan masa yang sesuai untuk melakukan perkara seperti itu,” tambah beliau.
Pertukaran tuduhan ini berlaku hanya sehari selepas Encik Zelensky bertemu Encik Trump di Florida, dengan kedua-dua pemimpin menyuarakan optimisme berhati-hati mengenai kemungkinan mencapai perjanjian damai.
Encik Trump sebelum ini mendakwa terdapat “banyak kemajuan”, manakala Encik Zelensky berkata pelan damai itu “90 peratus dipersetujui”, walaupun butiran utama masih belum dimuktamadkan.
Namun, harapan itu menerima tamparan baru selepas perbualan telefon Trump–Putin pada 29 Disember, apabila Kremlin memaklumkan bahawa Moscow akan “menyemak semula” beberapa pendirian dalam rundingan.
Penasihat dasar luar Kremlin, Encik Yuri Ushakov, berkata Encik Putin menegaskan Russia tidak menarik diri daripada rundingan, tetapi kejadian yang didakwa itu akan “diambil kira” dalam pendekatan Moscow.
“Presiden Putin memberi jaminan bahawa Russia akan terus bekerjasama dengan rakan Amerika untuk mencapai keamanan, dan dialog akan diteruskan,” kata Encik Ushakov.
Rumah Putih pula menyifatkan perbualan Trump-Putin sebagai “positif”, namun tidak menjelaskan sejauh mana perbincangan itu membawa kepada kemajuan konkrit.
Jurucakap Rumah Putih, Cik Karoline Leavitt, berkata Encik Trump kekal komited untuk mencari penyelesaian diplomatik, walaupun cabaran semakin meningkat.
Di sebalik rundingan, perbezaan asas antara kedua-dua pihak masih ketara.
Russia terus menuntut wilayah secara maksimum, termasuk kawasan yang tidak sepenuhnya dikuasainya, serta jaminan bahawa Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) tidak akan berkembang ke timur.
Moscow juga mahu Ukraine kekal neutral, walaupun berpotensi menyertai Kesatuan Eropah, dan menuntut kejelasan mengenai penarikan sekatan Barat serta pembebasan ratusan bilion dolar aset Russia yang dibekukan.
Ukraine pula menolak tuntutan tersebut dan menegaskan sebarang perjanjian mesti menjamin kedaulatan serta keselamatan jangka panjangnya.
Encik Zelensky berkata beliau meminta Encik Trump memberikan jaminan keselamatan Amerika untuk tempoh sehingga 50 tahun bagi menghalang pencerobohan Russia pada masa depan.
“Saya mahu jaminan itu jauh lebih panjang,” kata Encik Zelensky dalam mesej audio kepada wartawan.
“Jika kita bercakap tentang 30, 40 atau 50 tahun, itu akan menjadi keputusan bersejarah oleh Trump,” tambah beliau.
Cadangan semasa yang dibincangkan menyebut tempoh 15 tahun dengan pilihan lanjutan, tetapi Kyiv menganggapnya tidak mencukupi.
Sementara itu, pertempuran di lapangan tidak menunjukkan tanda reda.
Russia terus melancarkan serangan dron dan peluru berpandu ke atas bandar dan infrastruktur tenaga Ukraine, meningkatkan tekanan ke atas orang awam ketika musim sejuk.
Pada 29 Disember, Encik Putin mengadakan mesyuarat televisyen ketujuhnya dengan kepimpinan tentera sejak Oktober, memuji apa yang beliau sifatkan sebagai kemajuan medan perang dan mengarahkan tentera meneruskan usaha menawan lebih banyak wilayah.
Penganalisis melihat dakwaan serangan dron ke atas kediaman presiden sebagai satu episod yang berpotensi mengeruhkan lagi rundingan yang sudah rapuh.
Sama ada ia benar atau sekadar alat tekanan politik, insiden itu mencerminkan betapa mudahnya proses damai Ukraine tergelincir di tengah kecurigaan mendalam dan realiti peperangan yang masih berterusan. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg