KYIV: Tentera Russia telah melancarkan serangan ke atas pelabuhan Laut Hitam Ukraine di Odesa pada lewat 22 Disember, merosakkan kemudahan pelabuhan dan sebuah kapal.
Menurut gabenor wilayah, Encik Oleh Kiper, ini adalah serangan kedua dalam masa kurang daripada 24 jam.
Menerusi Telegram, beliau memaklumkan kru kecemasan sedang menangani kesan serangan terbaru itu, namun tidak memberikan butiran lanjut.
Tiada korban dilaporkan.
Serangan malam sebelumnya membedil infrastruktur pelabuhan dan tenaga di Odesa, menyebabkan kebakaran di sebuah pelabuhan utama dan memutuskan bekalan elektrik kepada puluhan ribu penduduk.
Pelabuhan Laut Hitam Ukraine amat penting untuk ekonomi yang bergantung pada eksport.
Keselamatan dan fungsinya menjadi nadi kelangsungan ekonomi negara sepanjang perang, hampir empat tahun sejak pencerobohan Russia pada Februari 2022.
“Russia sedang cuba mengganggu logistik maritim dengan melancarkan serangan sistematik ke atas infrastruktur pelabuhan dan tenaga. Malam tadi, pelabuhan dan kemudahan tenaga disasarkan sekali lagi,” kata Timbalan Perdana Menteri Ukraine, Encik Oleksiy Kuleba, di aplikasi Telegram
Beliau menambah, susulan serangan itu, kebakaran telah berlaku di pelabuhan Pivdennyi, melibatkan kira-kira 30 kontena tepung dan minyak sayuran.
Pekerja pelabuhan dan perkhidmatan kecemasan sedang bertungkus lumus memadamkan kebakaran.
Akibat kerosakan infrastruktur tenaga, bekalan elektrik terputus untuk lebih 120,000 pelanggan di wilayah Odesa, katanya.
Kementerian dalam negeri melaporkan seorang cedera dalam serangan tersebut.
Russia tidak segera memberi ulasan mengenai serangan tersebut.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Russia telah meningkatkan serangan ke atas pelabuhan Odesa dan wilayah sekitarnya, bertujuan mengehadkan akses Ukraine ke Laut Hitam dan mengganggu laluan logistik penting ke sempadan Moldova, menurut pegawai Ukraine.
Ukraine juga menyasarkan logistik maritim Russia, dengan fokus yang semakin meningkat pada kapal tangki minyak yang digunakan untuk memintas sekatan yang dikenakan ke atas Russia sepanjang perang.
Sementara itu, Presiden Ukraine Encik Volodymyr Zelensky berkata pada 22 Disember bahawa penduduk sebuah kampung sempadan yang dibawa masuk ke Russia oleh tentera Moscow telah berinteraksi dengan jiran mereka selama bertahun-tahun tanpa sebarang insiden.
Bercakap kepada pemberita di satu majlis penghormatan kepada diplomat Ukraine, Encik Zelensky yang bercakap kepada pemberita di satu acara untuk memberi penghormatan kepada diplomat Ukraine, mengesahkan laporan media bahawa 52 penduduk kampung Hrabovske yang terletak di sempadan di wilayah Sumy, telah dibawa pergi oleh tentera Russia.
“Seramai 52 orang yang tinggal di sana telah mengadakan dialog dengan mereka yang berada di wilayah Russia.
“Mereka hidup seperti ini selama bertahun-tahun. Dan saya fikir mereka tidak menjangkakan tentera Russia akan masuk dan membawa mereka pergi sebagai tahanan. Tetapi itulah yang berlaku,” kata Encik Zelensky
Kremlin belum mengulas mengenai situasi tersebut.
Encik Zelensky berkata 13 anggota tentera Ukraine adalah antara mereka yang dibawa pergi oleh tentera Russia.
Beliau berkata: “Mereka boleh membunuh musuh di sana dari jauh dengan artileri atau dron, tetapi mereka tidak melakukannya.
“Mereka tidak berbuat demikian kerana terdapat orang awam di sana. Mereka tidak mahu membunuh orang awam.”
Pasukan Ukraine, katanya, akan memulihkan kedudukan mereka di perkampungan itu.
“Apa yang kita lakukan seterusnya ialah untuk mengembalikan orang-orang ke kampung mereka. Itu perkara lain,” katanya.
Tentera Russia telah bertapak di wilayah Sumy dalam beberapa bulan kebelakangan ini, merampas beberapa kampung berhampiran sempadan
Banyak kawasan di wilayah itu kerap diserang oleh tentera Russia. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg