Korea S bawa pulang 300 pekerja ditahan di Amerika
Korea S bawa pulang 300 pekerja ditahan di Amerika
Korea S bawa pulang 300 pekerja ditahan di Amerika
SEOUL: Korea Selatan mengesahkan rundingan dengan Amerika Syarikat bagi pembebasan kira-kira 300 rakyatnya yang ditahan dalam serbuan imigresen di sebuah kilang Hyundai Motor di negeri Georgia telah selesai, dan proses pelepasan sedang dijalankan.
Pejabat Presiden Korea Selatan pada 7 September memaklumkan sebuah pesawat khas akan dihantar sebaik sahaja urusan pentadbiran diselesaikan oleh kedua-dua negara.
Agensi berita Korea Selatan, Yonhap, memetik Konsul Jeneral Korea Selatan di Washington, Encik Cho Ki-joong, sebagai berkata para pekerja dijangka menaiki pesawat pulang pada 10 September.
Serbuan pada 4 September lalu di kilang bateri kereta Hyundai di Ellabell, Georgia, menyaksikan 475 pekerja ditahan, termasuk lebih 300 warga Korea Selatan.
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) menyifatkannya sebagai operasi penguatkuasaan di satu lokasi terbesar dalam sejarah agensi itu.
Rakaman yang dikeluarkan pihak berkuasa Amerika menunjukkan pekerja Asia digari, sebahagian memakai baju keselamatan berlabel ‘Hyundai’ dan ‘LG CNS’.
DHS berkata serbuan dilakukan di bawah waran mahkamah atas dakwaan pelanggaran undang-undang pekerjaan, termasuk isu visa dan pekerja tanpa kebenaran.
“Orang yang berada di Amerika Syarikat dengan visa jangka pendek atau riadah tidak dibenarkan bekerja,” kata agensi itu.
Kejadian itu mengejutkan Seoul kerana ia berlaku hanya 10 hari selepas sidang puncak antara Presiden Korea Selatan dengan Presiden Amerika, Encik Donald Trump, yang menjanjikan hubungan perniagaan lebih erat.
Ketua Staf presiden, Encik Kang Hun-sik, berkata pemerintah akan memperbaiki sistem visa bagi mencegah kejadian serupa.
“Pemerintah sedang mencari kaedah bagi menambah baik sistem visa pekerja Korea di Amerika Syarikat untuk mengelakkan kejadian ini berulang,” katanya.
Kementerian Luar Korea Selatan turut melahirkan kekesalan atas penahanan beramai-ramai tersebut, sambil mengecam penyiaran rakaman operasi yang menunjukkan pekerja digari dan dibawa pergi dengan kenderaan berperisai.
Menteri Luar, Encik Cho Hyun, dijangka berlepas ke Washington pada 8 September untuk berbincang secara langsung.
Pentadbiran Trump mempertahankan serbuan itu, menegaskan syarikat asing perlu menghormati undang-undang imigresen Amerika.
“Saya menyeru semua syarikat asing yang melabur di Amerika Syarikat agar menghormati undang-undang imigresen negara kami,” kata Encik Trump dalam hantaran di media sosial.
Beliau menambah, syarikat asing boleh membawa masuk bakat teknikal mereka secara sah, tetapi perlu memastikan mereka turut “mengupah dan melatih pekerja Amerika”.
Pegawai kanan imigresen Amerika, Encik Tom Homan, memberi amaran lebih banyak operasi seperti itu akan dijalankan.
“Tiada siapa mengupah pendatang tanpa izin kerana kasihan. Mereka diupah kerana boleh dipaksa bekerja lebih keras, dibayar lebih rendah, dan menekan pesaing yang menggaji warga Amerika,” katanya.
Serbuan ini berlaku ketika Seoul dan Washington sedang memuktamadkan perjanjian perdagangan bernilai ratusan bilion dolar.
Perjanjian itu termasuk dana AS$350 bilion ($450 bilion) untuk membantu syarikat Korea menembusi pasaran Amerika, manakala Hyundai berjanji meningkatkan pelaburan kepada AS$26 bilion, termasuk kilang robotik di Amerika.
Projek kilang bateri di Georgia yang diserbu itu bernilai AS$4.3 bilion, kerjasama antara Hyundai dengan LG Energy Solution, dan dianggap sebagai salah satu projek pembangunan ekonomi terbesar dalam sejarah negeri berkenaan.
LG Energy Solution memaklumkan pihaknya telah menggantung semua lawatan kerja kakitangan ke Amerika Syarikat kecuali kes tertentu, dan akan memanggil pulang pekerja yang sedang berada di sana.
CNN melaporkan Encik Trump mungkin melawat Korea Selatan pada Oktober sempena mesyuarat Kumpulan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec), meskipun ketegangan antara kedua-dua sekutu itu kini meningkat ekoran serbuan tersebut. – Agensi berita.

