SEOUL: Para menteri Korea Selatan yang ditugaskan untuk merundingkan perjanjian perdagangan saat akhir dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, berkata mereka telah membuat latihan peranan dan mendapatkan nasihat tentang cara berunding dengan pemimpin yang sukar dijangka itu.
Antara nasihat yang diterima? Panggil Trump sebagai “seorang yang hebat” dan bercakap dengan cara yang paling ringkas, kata Menteri Perindustrian Encik Kim Jung-kwan kepada wartawan di Washington selepas perjanjian itu diumumkan pada Rabu, 30 Julai.
Amerika Syarikat akan mengenakan tarif sebanyak 15 peratus ke atas import dari Korea Selatan. Kadar 15 peratus itu lebih rendah daripada tarif 25 peratus yang pernah diancam oleh Encik Trump sebelum ini dan setara dengan perjanjian yang dibuat dengan Jepun dan Kesatuan Eropah.
Taruhannya amat tinggi bagi Korea Selatan, sebuah ekonomi yang sangat bergantung kepada eksport, dan Encik Kim bersama ahli delegasi lain baru beberapa minggu memegang jawatan selepas Presiden Lee Jae Myung memenangi pilihan raya mengejut pada bulan Jun.
Encik Kim menyifatkan Encik Trump sebagai “pakar rundingan” dan berkata setiap ahli pasukan yang terdiri daripada Menteri Kewangan Encik Koo Yun-cheol dan Menteri Perdagangan Encik Yeo Han-koo, bergilir-gilir memainkan peranan sebagai Presiden AS itu semasa latihan.
“Kami cuba bercakap seperti Presiden Trump, dan cara bercakap Presiden Trump sangat ringkas dan terus terang,” kata Encik Kim. “Kami menyediakan banyak senario sendiri untuk menjawab pelbagai kemungkinan soalan.”
Encik Koo pula berkata, mereka hanya tahu secara pasti bahawa mereka akan bertemu Encik Trump apabila melihat pengumuman itu di media sosial. Pertemuan tersebut berlangsung selama kira-kira setengah jam dan kedua-dua pihak berbincang panjang lebar mengenai jumlah dana pelaburan, yang akhirnya ditetapkan pada AS$350 bilion ($453 bilion) katanya.
“Kami mengumpul banyak strategi rundingan yang digunakan oleh pihak lawan terlebih dahulu dan memikirkan secara mendalam tentang cara untuk bertindak balas, jadi rundingan berjalan sangat lancar,” katanya.
Encik Yeo memetik Encik Trump sebagai berkata bahawa penglibatan peribadinya jarang berlaku dalam urusan dengan pegawai yang bukan ketua negara, dan menunjukkan bahawa “beliau sangat menghormati Korea Selatan dan memberi kepentingan besar kepada Korea Selatan.”
Dalam rundingan sebelum itu, Amerika telah menekan Korea Selatan supaya menarik balik sekatan ke atas import daging lembu yang berasal daripada lembu berusia lebih 30 bulan, tetapi Encik Yeo berjaya meredakan isu itu dengan menunjukkan kepada pihak Amerika gambar protes besar-besaran yang berlaku bertahun-tahun lalu berikutan kebimbangan terhadap penyakit lembu gila.
“Saya rasa ia membantu mereka memahami situasi di Korea,” kata Encik Kim. – Reuters
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg