SEOUL: Operasi mencari di lokasi nahas pesawat Jeju Air telah berakhir seminggu selepas kemalangan tragik yang meragut 179 nyawa itu, menurut media Korea.
Penerbangan itu, yang membawa 181 penumpang dan anak kapal dari Thailand ke Korea Selatan, mengeluarkan panggilan kecemasan sebelum mendarat tanpa roda dan merempuh sebuah pengadang, membunuh semua orang di dalam pesawat itu kecuali dua kakitangan.
Pegawai Korea Selatan berkata agensi bomba, polis dan pasukan forensik negara telah menyelesaikan pencarian mereka di bahagian ekor pesawat itu dan sekitarnya pada malam 4 Januari, lapor Agensi Berita Yonhap.
Bahagian ekor itu adalah satu-satunya bahagian pesawat tersebut yang kekal utuh selepas letupan. Ia telah diangkat pada 3 Januari.
Kesemua 179 mayat telah ditemui, dengan 151 telah dipulangkan kepada keluarga mereka bersama-sama barangan peribadi mereka yang dikenal pasti.
Baki 25 mayat, tidak termasuk tiga sekeluarga, dijangka dikembalikan kepada keluarga mereka pada 5 Januari.
Para pegawai berkata tidak mungkin sebarang mayat atau barangan peribadi lain akan ditemui.
Punca sebenar nahas penerbangan itu masih tidak diketahui, tetapi penyiasat telah menunjukkan kemungkinan ia terjadi ekoran serangan burung, gear pendaratan rosak dan sebuah pemasangan di hujung landasan yang dilanggar pesawat itu.
Pada 2 dan 3 Januari, polis Korea Selatan menyerbu pejabat Jeju Air dan pengendali lapangan terbang Muan sebagai sebahagian daripada siasatan mereka.
Polis sedang mendapatkan bukti daripada sistem penyetempat lapangan terbang – sebuah tembok konkrit menempatkan susunan antena – serta rekod komunikasi antara menara kawalan dengan juruterbang sejurus sebelum pesawat itu terhempas, lapor Yonhap.
Korea Selatan juga telah mengumumkan akan memeriksa semua pesawat Boeing 737-800 yang dikendalikan oleh syarikat pengangkutannya, dengan tumpuan pada gear pendaratan, yang nampaknya tidak berfungsi semasa nahas tersebut.
Kementerian pengangkutan Korea Selatan mengesahkan pada 4 Januari bahawa penyiasat telah membuat kemajuan dalam memuktamadkan dan menyusun transkrip perakam suara kokpit yang ditemui daripada serpihan itu.
Ini mungkin memberikan gambaran tentang apa yang berlaku sebelum nahas itu, kata Yonhap.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg