Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Transkrip kokpit nahas Jeju Air hampir lengkap

Jan 4, 2025 | 5:42 PM
Penyiasat Korea Selatan dan Amerika Syarikat menyisir lokasi nahas pesawat Jeju Air di barat daya Muan sejak selepas bencana itu untuk mencari punca nahas tersebut.
Penyiasat Korea Selatan dan Amerika Syarikat menyisir lokasi nahas pesawat Jeju Air di barat daya Muan sejak selepas bencana itu untuk mencari punca nahas tersebut. - Foto AFP

SEOUL: Penyiasat Korea Selatan berkata pada 4 Januari bahawa mereka hampir memuktamadkan transkrip perakam suara kokpit daripada nahas pesawat yang menyebabkan 179 orang terkorban minggu lepas.

Rakaman itu mungkin memberi petunjuk mengenai detik-detik terakhir penerbangan Jeju Air 2216, yang membawa 181 penumpang dan anak kapal dari Thailand ke Korea Selatan pada 29 Disember apabila ia mendarat tanpa roda sebelum merempuh pengadang konkrit di hujung landasan lapangan terbang.

Penyiasat Korea Selatan dan Amerika Syarikat, termasuk daripada pembuat pesawat Boeing, menjalankan pencarian teliti di lokasi nahas di barat daya Muan sejak bencana itu untuk mencari puncanya.

“Transkrip perakam suara kokpit itu dijangka siap hari ini, dan perakam data penerbangan sedang dalam proses persediaan untuk dibawa ke Amerika bagi dianalisia,” kata Kementerian Tanah Korea Selatan dalam satu kenyataan.

Para penyiasat juga menemui semula enjin pesawat tersebut di lokasi nahas itu minggu ini, tambah kementerian itu.

Punca nahas pesawat Boeing 737-800 itu masih tidak diketahui, tetapi penyiasat telah menunjukkan kemungkinan ia terjadi ekoran serangan burung, gear pendaratan rosak dan halangan landasan.

Pihak berkuasa minggu ini menjalankan operasi mencari dan merampas di lapangan terbang Muan di mana pesawat itu terhempas, pejabat penerbangan serantau di bandar barat daya itu, dan pejabat Jeju Air di ibu kota Seoul, kata polis.

Ketua eksekutif Jeju Air, Encik Kim E-bae, dilarang meninggalkan negara itu ketika siasatan diteruskan, kata polis.

Juruterbang pesawat itu telah memberi amaran tentang serangan burung sebelum berhenti melakukan percubaan pertama untuk mendarat, namun pesawat itu kemudian terhempas pada percubaan kedua apabila gear pendaratan tidak keluar.

Video dramatik menunjukkan pesawat itu melanggar sebuah pengadang konkrit di hujung landasan itu sebelum terbakar.

Pihak berkuasa telah mula mengangkat serpihan pesawat itu, dan memulangkan beberapa mayat mangsa yang telah dikenal pasti dan barangan peribadi yang ditemui di lokasi nahas kepada keluarga mangsa.

Pesawat itu membawa penduduk Korea Selatan yang pulang dari percutian akhir tahun di Bangkok, serta dua penumpang warga Thailand.

Imej dari media tempatan menunjukkan pihak berkuasa menyerahkan barangan, termasuk telefon bimbit serta mangga kering dan kelapa yang diperoleh dari Thailand. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg