SEOUL: Korea Utara akan membuka semula pelancongan antarabangsa ke bandar timur laut Samjiyon pada Disember, dan mungkin seluruh negara, kata syarikat pelancongan pada 14 Ogos.
Langkah itu adalah petanda bahawa negara tertutup itu bersedia untuk membuka semula sempadan kepada kumpulan pelancong asing yang lebih besar selepas bertahun-tahun kawalan sempadan Covid-19 yang ketat.
“Kami telah menerima pengesahan daripada rakan kongsi tempatan kami bahawa pelancongan ke Samjiyon dan kemungkinan seluruh negara akan disambung semula secara rasmi pada Disember 2024,” kata Koryo Tours yang berpangkalan di Beijing melalui laman webnya.
Penerbangan antarabangsa masuk dan keluar dari Korea Utara disambung semula pada 2023 dan sekumpulan kecil pelancong Russia terbang ke Pyongyang untuk lawatan peribadi pada Februari.
Pegawai asing tertinggi termasuk Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, pada Jun telah melawat negara itu.
Tetapi Korea Utara belum menerima sepenuhnya pelancong antarabangsa sejak 2020.
“Setelah menunggu selama lebih empat tahun untuk membuat pengumuman ini, Koryo Tours sangat teruja untuk pembukaan pelancongan Korea Utara sekali lagi,” kata firma itu, sambil menambah rakan kongsi tempatannya akan mengesahkan jadual perjalanan dan tarikh dalam beberapa minggu akan datang.
Korea Utara telah membina apa yang dipanggil ‘utopia sosialis’ di Samjiyon, sebuah bandar berhampiran sempadan China, dan “model bandar pergunungan yang bertamadun tinggi” dengan pangsapuri baru, hotel, resort ski serta kemudahan komersial, kebudayaan dan perubatan.
Pemimpinnya, Encik Kim Jong Un, pada Julai telah memecat atau menurunkan pangkat beberapa pegawai kanan kerana “tidak bertanggungjawab” dalam mengendalikan projek Samjiyon perdananya.
Agensi pelancongan lain, KTG Tours, juga mengumumkan bahawa pelancong akan dapat mengunjungi Samjiyon mulai musim sejuk ini. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg