Topik diikuti
Pergi ke BHkuKos perang Iran cecah AS$37.5 bilion, Pentagon mohon dana tambahan besar
Kos perang Iran cecah AS$37.5 bilion, Pentagon mohon dana tambahan besar
Kos perang Iran cecah AS$37.5 bilion, Pentagon mohon dana tambahan besar
WASHINGTON: Perang Amerika Syarikat dengan Iran setakat ini menelan belanja kira-kira AS$37.5 bilion ($48.4 bilion), meningkat hampir AS$8 bilion berbanding anggaran rasmi terakhir pada Mei, menurut Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Pete Hegseth.
Beliau mendedahkan angka itu ketika memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Peruntukan Senat, sambil mendesak Kongres meluluskan dana tambahan AS$87 bilion untuk Pentagon.
Daripada jumlah tersebut, kira-kira AS$67 bilion akan digunakan bagi membiayai operasi ketenteraan Amerika Syarikat di Asia Barat, termasuk serangan ke atas Iran, perlindungan pangkalan tentera serta operasi keselamatan di Selat Hormuz.
Pentagon turut meminta sehingga AS$70 bilion dalam bentuk peruntukan kecemasan bagi menampung kos perang, menggantikan senjata yang telah digunakan dan membayar keperluan anggota tentera.
Menurut Encik Hegseth, kira-kira AS$46 bilion diperlukan untuk memperluaskan pengeluaran senjata yang mendapat permintaan tinggi, termasuk bom berpandu tepat, peluru berpandu hipersonik dan sistem pertahanan antip dron.
“Ini ialah permintaan baharu berdasarkan realiti baharu dunia yang kita hadapi. Kita perlu bertindak untuk memenuhi keperluan semasa,” katanya.
Encik Hegseth memberi amaran bahawa tanpa dana tambahan itu, Pentagon mungkin menghadapi kekurangan wang untuk membayar anggota tentera, menggantikan peluru dan peralatan serta mengekalkan operasi di medan perang.
“Tanpa dana ini, kami berdepan kekurangan kritikal yang boleh menjejaskan keupayaan membayar anggota, mengisi semula bekalan peralatan dan senjata serta meneruskan operasi penting tanpa gangguan,” katanya.
Beliau berkata setiap dolar yang diluluskan akan digunakan untuk meningkatkan keupayaan tempur tentera Amerika Syarikat dan mengukuhkan keamanan melalui kekuatan ketenteraan.
Permintaan besar itu mencetuskan persoalan dalam kalangan anggota Senat, termasuk beberapa ahli Parti Republikan, kerana Pentagon pada masa sama memohon belanjawan pertahanan sebanyak AS$1.5 trilion bagi tahun kewangan akan datang.
Jika diluluskan, jumlah itu akan meningkatkan perbelanjaan ketenteraan Amerika Syarikat ke paras tertinggi dalam era moden.
Senator Demokrat Patty Murray, anggota kanan Jawatankuasa Peruntukan Senat, mempersoalkan keperluan menyediakan berbilion dolar lagi di luar proses belanjawan biasa.
“Pentadbiran cuba menggambarkan permintaan ini sebagai satu kecemasan, tetapi ia mungkin lebih tepat dianggap sebagai usaha mengelakkan proses peruntukan biasa,” katanya.
“Masalahnya bukan kekurangan wang, tetapi perancangan yang lemah. Terus terang saya katakan, permintaan ini tidak begitu masuk akal.”
Encik Hegseth mempertahankan permintaan itu dengan menyalahkan pentadbiran bekas Presiden Joe Biden yang didakwanya gagal menyediakan dana mencukupi dan mengabaikan usaha memodenkan angkatan tentera.
Beliau berkata peperangan kini berubah dengan pantas, terutama dengan penggunaan dron murah secara besar-besaran, menyebabkan Amerika Syarikat perlu segera menyesuaikan sistem pertahanan dan pengeluaran senjatanya.
Kenyataan itu turut dikritik kerana program pemodenan tentera lazimnya dibiayai melalui belanjawan tahunan, bukannya peruntukan kecemasan.
Senator Demokrat Cik Kirsten Gillibrand pula menuduh pentadbiran Presiden Donald Trump meminta “wang tanpa had untuk bom” ketika ramai rakyat Amerika Syarikat bergelut menampung kos makanan dan keperluan keluarga.
Ketika ditanya mengenai kos sebenar perang, Encik Hegseth memberikan anggaran AS$37.5 bilion. Angka itu kira-kira AS$8.5 bilion lebih tinggi daripada anggaran AS$29 bilion yang dikemukakan seorang pegawai kanan Pentagon pada 12 Mei.
Pentagon sebelum ini berkata perang itu menelan belanja kira-kira AS$11.3 bilion hanya dalam minggu pertama.
Beberapa sumber yang mengetahui perkara itu percaya kos sebenar mungkin jauh lebih tinggi kerana anggaran terkini tidak merangkumi semua perbelanjaan, termasuk pembinaan semula pangkalan Amerika Syarikat yang rosak akibat serangan Iran.
Konflik itu kembali memuncak selepas Encik Trump mengisytiharkan pada 8 Julai bahawa gencatan senjata dengan Iran telah berakhir.
Amerika Syarikat kemudian meneruskan serangan udara ke atas Iran, termasuk operasi untuk hari ke-11 berturut-turut, manakala Teheran membalas dengan menyerang pangkalan tentera, kapal dan sekutu Amerika Syarikat di rantau itu.
Serangan Iran ke atas sebuah pangkalan di Jordan membunuh beberapa anggota tentera Amerika Syarikat.
Pentagon turut mengumumkan kematian Sarjan Michael Emmanuel Swinton di Iraq dan berkata Sarjan Angel Rampersad dipercayai maut di Jordan.
Dua lagi anggota yang terbunuh di Jordan dikenal pasti sebagai Prebet Kelas Pertama Isabella Gonzales, 19 tahun, dan Leftenan Pertama Tyler Feehan, 25 tahun.
Pihak berkuasa Iran pula berkata sekurang-kurangnya 50 orang terbunuh akibat serangan Amerika Syarikat sejak gencatan senjata runtuh.
Perbicaraan Senat itu beberapa kali terganggu akibat bantahan aktivis antiperang dan berakhir dengan pertikaman lidah antara Hegseth dengan seorang senator, mencerminkan perdebatan yang semakin sengit mengenai kos kewangan dan kemanusiaan perang tersebut. - Agensi berita
