Topik diikuti
Pergi ke BHkuWASHINGTON: Perang dengan Iran sudah menelan belanja sekitar AS$38 bilion ($48 bilion) bagi tentera Amerika Syarikat sehingga 1 Ogos, dengan kos dijangka meningkat sekurang-kurangnya AS$2 bilion hingga AS$3 bilion setiap bulan jika pertempuran berterusan.
Pejabat Belanjawan Kongres (CBO), sebuah badan bukan partisan, berkata sebahagian besar perbelanjaan itu digunakan untuk menggantikan peluru dan senjata yang digunakan dalam pertempuran sejak perang tercetus susulan serangan Amerika-Israel ke atas Iran pada akhir Februari.
Lebih membimbangkan, penggunaan peluru berpandu pemintas bagi mempertahankan Amerika dan sekutunya daripada serangan musuh telah menyebabkan stok senjata itu berkurangan dengan ketara.
CBO menganggarkan Amerika mungkin sudah menggunakan antara separuh dengan dua pertiga daripada simpanan peluru berpandu pemintasnya sejak Jun 2025.
Keadaan itu bermakna Amerika mungkin mempunyai stok lebih kecil bagi menghadapi ancaman peluru berpandu lain untuk beberapa tahun akan datang sementara bekalan tersebut diganti.
“Sehingga 1 Ogos 2026, konflik bersenjata dengan Iran telah menelan belanja kira-kira AS$38 bilion bagi Jabatan Pertahanan,” menurut laporan CBO yang dikeluarkan pada 15 September.
Bergantung pada tahap pertempuran, badan itu menganggarkan perang boleh menelan belanja tambahan antara AS$2 bilion dengan AS$3 bilion sebulan, malah mungkin lebih tinggi sekiranya pertempuran bertambah sengit.
Anggaran keseluruhan itu merangkumi kos menggantikan peluru yang digunakan, peralatan yang musnah dalam pertempuran serta peningkatan penggunaan dan harga bahan api bagi operasi tentera.
Daripada jumlah tersebut, AS$21.7 bilion dianggarkan diperlukan hanya untuk menggantikan peluru dan senjata yang digunakan sehingga 1 Ogos.
Menurut CBO, penggantian peluru merupakan komponen tunggal terbesar dalam kos yang ditanggung Jabatan Pertahanan sepanjang konflik itu.
Badan tersebut menyifatkan penyusutan stok peluru berpandu pemintas sebagai antara kesan paling penting terhadap keupayaan pertahanan Amerika.
Berdasarkan perbandingan antara jumlah peluru berpandu pemintas yang digunakan dengan jumlah keseluruhan yang dibeli Jabatan Pertahanan, CBO menganggarkan antara 50 dengan 67 peratus stok senjata berkenaan mungkin sudah digunakan sejak Jun 2025.
Laporan itu disediakan atas permintaan Encik Brendan Boyle, anggota kanan Parti Demokrat dalam Jawatankuasa Belanjawan Dewan Perwakilan, bersama beberapa penggubal undang-undang Demokrat lain.
Pada Julai, Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Pete Hegseth, menganggarkan perang dengan Iran ketika itu sudah menelan belanja AS$37.5 bilion.
Selain perbelanjaan ketenteraan, konflik tersebut mula memberi kesan lebih luas terhadap ekonomi Amerika, khususnya menerusi kenaikan harga tenaga.
CBO berkata kesan ekonomi utama perang itu setakat ini ialah tekanan inflasi akibat gangguan terhadap bekalan minyak dan gas asli.
Iran bertindak balas terhadap serangan Amerika dan Israel dengan menyekat Selat Hormuz, antara laluan perkapalan tenaga terpenting dunia.
Gangguan di selat itu menyebabkan kos tenaga meningkat kerana sebahagian besar bekalan minyak dan gas dunia melalui laluan sempit yang menghubungkan Teluk dengan Laut Arab itu.
CBO kini menganggarkan inflasi Amerika pada suku pertama 2027 akan berada 0.5 mata peratusan lebih tinggi berbanding ramalan yang dibuatnya pada Februari.
Anggaran itu berdasarkan indeks harga perbelanjaan penggunaan peribadi, antara ukuran utama yang digunakan untuk menilai tekanan harga dalam ekonomi Amerika.
Inflasi teras, yang tidak mengambil kira harga makanan dan tenaga yang lebih mudah berubah, pula dijangka 0.3 mata peratusan lebih tinggi daripada ramalan sebelumnya.
Menurut CBO, tekanan inflasi yang lebih tinggi juga dijangka menyebabkan kadar faedah bagi sekuriti Perbendaharaan Amerika meningkat.
Ini bermakna kos perang bukan sahaja semakin membebankan perbelanjaan pertahanan Amerika, malah boleh memberi kesan lebih luas kepada ekonomi sekiranya konflik berpanjangan dan gangguan bekalan tenaga berterusan. – AFP

