WASHINGTON: Pihak berkuasa Amerika Syarikat masih belum dapat mengenal pasti punca sebenar nahas udara tragis yang meragut nyawa 67 orang di Lapangan Terbang Nasional Ronald Reagan, menjadikannya bencana udara paling buruk di negara itu dalam lebih dua dekad.
Pesawat Bombardier CRJ700 milik American Airlines, yang membawa 60 penumpang dan empat anak kapal, bertembung dengan helikopter tentera Black Hawk milik Tentera Darat Amerika sebelum kedua-duanya terhempas ke dalam Sungai Potomac pada malam 29 Januari.
Setakat ini, identiti semua mangsa masih belum didedahkan, tetapi beberapa penumpang dipercayai termasuk atlet luncur ais berbakat serta individu dari Kansas, tempat asal penerbangan itu.
Senator Maria Cantwell turut mengesahkan bahawa mangsa terdiri daripada warganegara Russia, Filipina, Jerman dan China. Media rasmi China, Xinhua, melaporkan dua rakyatnya turut maut dalam tragedi ini.
Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB) Amerika menjalankan siasatan terperinci dan dijangka mengeluarkan laporan awal dalam tempoh 30 hari.
Kotak hitam pesawat, termasuk perakam suara kokpit dan data penerbangan, telah dapat ditemui dan sedang dianalisis bagi memahami detik-detik terakhir sebelum pertembungan berlaku.
“Kami sedang mengumpul serpihan dan menyimpan bahagian pesawat di hangar untuk siasatan lanjut,” kata seorang pegawai NTSB.
Pihak bomba dan penyelamat Washington telah menjalankan operasi pencarian di sekitar kawasan kemalangan, termasuk bahagian dasar sungai, bagi mengesan sisa pesawat yang masih hilang.
“Kami telah menyelam ke semua kawasan yang boleh diakses dan akan meneruskan operasi pencarian untuk mengenal pasti komponen pesawat yang masih belum ditemui,” kata Jabatan Bomba Washington.
Presiden Donald Trump dalam reaksinya terhadap insiden ini mendakwa bahawa usaha kepelbagaian dalam pengambilan pekerja oleh pemerintah persekutuan mungkin menjadi faktor penyumbang kepada nahas itu, tanpa memberikan bukti kukuh.
“Dasar pemerintah dalam menurunkan standard pengambilan pekerja boleh menjadi salah satu puncanya,” kata Encik Trump dalam satu sidang media.
Kenyataan ini segera dikecam oleh kumpulan hak asasi dan ahli politik Demokrat yang menuduhnya cuba mempolitikkan tragedi itu.
“Presiden sepatutnya memberi kepimpinan, bukan menyebarkan pembohongan,” kata Setiausaha Pengangkutan, Encik Pete Buttigieg.
Encik Derrick Johnson, Presiden NAACP, pula mengkritik kenyataan Encik Trump sebagai usaha untuk “menyemai kebencian berasaskan penipuan”.
Namun, Encik Trump mempertahankan pendiriannya dan memetik dasar Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) yang membenarkan individu dengan kecacatan fizikal dan mental memohon jawatan sebagai pengawal trafik udara.
“Kami tidak tahu apa yang menyebabkan nahas ini, tetapi kami mempunyai beberapa pendapat yang kukuh,” kata Encik Trump.
Siasatan awal menunjukkan hanya seorang pengawal trafik udara mengendalikan trafik tempatan pesawat dan helikopter pada malam kejadian, berbanding dua orang seperti kebiasaannya.
“Keadaan ini dianggap ‘tidak normal’ tetapi masih boleh diterima untuk jumlah trafik yang rendah,” menurut sumber yang mengetahui butiran siasatan itu.
Masalah kekurangan pengawal trafik udara di Amerika bukanlah sesuatu yang baru. FAA dilaporkan kekurangan kira-kira 3,000 kakitangan daripada jumlah yang diperlukan – menyebabkan ramai pengawal terpaksa bekerja lebih masa dan enam hari seminggu bagi menampung kekurangan tenaga kerja.
“Segala-galanya berjalan seperti biasa sehingga saat kemalangan berlaku,” kata Gabenor Virginia, Encik Glenn Youngkin.
Rakaman komunikasi antara menara kawalan dan helikopter tentera menunjukkan bahawa pengawal trafik telah memberi amaran kepada juruterbang helikopter mengenai pesawat yang menghampiri dan mengarahkan perubahan arah.
“PAT25, adakah anda nampak CRJ? PAT25, lalu di belakang CRJ,” kata seorang pengawal trafik udara pada 8.47 malam waktu tempatan.
Beberapa saat kemudian, seorang juruterbang lain yang berada di ruang udara berhampiran melaporkan kepada menara kawalan: “Tower, adakah anda melihatnya?”
Seorang pengawal trafik udara kemudian mengarahkan pesawat lain yang sedang bersiap untuk mendarat di landasan 33 supaya berpusing dan mengelak kawasan nahas.
“Saya nampak bebola api dan kemudian semuanya hilang. Saya tak nampak apa-apa selepas mereka jatuh ke dalam sungai,” kata seorang pengawal trafik udara yang menyaksikan kejadian itu.
Rakaman dari kamera web berhampiran turut menunjukkan detik pertembungan dan letupan besar yang menerangi langit malam.
Lapangan Terbang Nasional Reagan adalah antara yang paling sibuk di Amerika, dengan lebih 800 pelepasan dan pendaratan setiap hari. Kawasan ruang udara di sekitar Washington sering dipenuhi penerbangan dari tiga lapangan terbang utama dan beberapa pangkalan tentera.
Pada 2024, satu insiden hampir berlaku apabila dua pesawat nyaris-nyaris bertembung di lapangan terbang yang sama.
Pakar penerbangan menegaskan bahawa tragedi ini adalah amaran keras terhadap keperluan peningkatan keselamatan penerbangan di Amerika.
“Jika kita tidak menangani masalah kekurangan pengawal trafik udara dan tekanan terhadap sistem kawalan trafik, lebih banyak nyawa mungkin terancam pada masa hadapan,” kata seorang pakar keselamatan penerbangan yang enggan dinamakan. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg