WASHINGTON: Laporan awal Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mendedahkan bahawa operasi menara kawalan udara di Lapangan Terbang Ronald Reagan National tidak berjalan seperti biasa semasa nahas maut antara pesawat penumpang dan helikopter Tentera Darat yang mengorbankan 67 orang.
Laporan dalaman yang dikaji oleh The New York Times (NYT) menyatakan bahawa pengawal trafik udara yang bertanggungjawab ke atas helikopter di sekitar lapangan terbang pada malam 29 Januari juga terpaksa mengarahkan pesawat yang sedang mendarat dan berlepas – tugas yang biasanya dibahagikan kepada dua pengawal berbeza.
NYT memetik laporan awal FAA sebagai berkata, ketika tragedi itu berlaku, hanya seorang, berbanding dua sepatutnya, yang mengendalikan kedua-dua laluan penerbangan pesawat dan helikopter.
Menurut laporan, kekurangan kakitangan berlaku di menara kawalan di Lapangan Terbang Nasional Reagan, tempat pesawat penumpang sedang dalam proses mendarat ketika kemalangan itu berlaku.
Presiden Donald Trump pada 30 Januari berjanji akan menjalankan siasatan menyeluruh, sambil melontar kritikan politik terhadap pentadbir sebelumnya.
Encik Trump, yang memegang jawatan 10 hari lalu, menjadikan sidang media mengenai tragedi itu sebagai platform untuk menyerang dasar kepelbagaian, ekuiti dan inklusif (DEI) iaitu satu siri langkah selama beberapa dekad bertujuan memerangi perkauman dan penindasan jantina di seluruh Amerika.
Beliau menuduh pendahulunya dari Parti Demokrat, Encik Joe Biden dan Encik Barack Obama, menyekat pekerja yang berkebolehan menyertai FAA atas sebab DEI, sekali gus menjejas kecekapan jabatan itu.
Tindakan Encik Trump mempolitikkan tragedi itu berlaku ketika penyiasat memberi amaran mereka memerlukan masa untuk membongkar bagaimana jet Bombardier, yang dikendalikan oleh anak syarikat American Airlines, dan helikopter Black Hawk tentera boleh bertembung antara satu sama lain Rabu lalu.
Antara mangsa kejadian itu adalah beberapa peluncur ais dari Amerika dan Russia yang baru sahaja menghadiri kejohanan luncur ais kebangsaan di Wichita, Kansas. Antara mereka termasuk beberapa pemain luncur salji dan jurulatih Amerika, manakala pegawai di Moscow turut mengesahkan kehadiran pasangan jurulatih luncur salji Russia, Evgenia Shishkova dan Vadim Naumov, yang memenangi gelaran dunia 1994.
Syarikat American Airlines melaporkan bahawa 60 penumpang dan empat anak kapal berada di dalam pesawatnya manakala Tentera Darat menyatakan helikopter UH-60 Black Hawk sedang menjalani latihan rutin. Kedua-dua pesawat bertembung sekitar 9 malam ketika menghampiri Lapangan Terbang Reagan National.
Kebakaran besar meletus di langit dan kedua-dua pesawat terhempas ke dalam Sungai Potomac yang beku, menyebabkan pasukan penyelamat menghadapi tugas sukar mencari mayat dalam gelap dan kesejukan.
Menurut sumber yang mengetahui kejadian tersebut, juruterbang pesawat diminta untuk menukar laluan pendaratan ke landasan lain sejurus sebelum nahas berlaku. Rakaman audio perbualan antara pengawal trafik udara dan juruterbang juga mengesahkan arahan tersebut.
Encik Robert Isom, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) American Airlines, menyatakan juruterbang pesawat itu berpengalaman, tetapi tidak memberikan butiran lanjut. Dua pegawai Tentera Darat mengesahkan bahawa kedua-dua juruterbang helikopter – seorang wanita dan seorang lelaki – serta seorang sarjan telah terkorban dalam nahas itu.
Cuaca pada malam kejadian dilaporkan cerah, dan kedua-dua pesawat serta helikopter mengikut laluan penerbangan standard, menurut Setiausaha Pengangkutan, Encik Sean Duffy. Tiada masalah komunikasi antara menara kawalan dan kedua-dua pesawat, katanya.
Namun, pihak berkuasa Amerika masih belum dapat menentukan punca sebenar nahas itu yang merupakan bencana udara paling dahsyat di negara itu dalam lebih 20 tahun.
Tragedi itu juga menjadi salah satu bencana besar pertama yang dihadapi oleh pentadbiran Encik Trump. Ia berlaku hanya sehari selepas Encik Duffy mengangkat sumpah, dan dalam minggu pertama Encik Pete Hegseth berkhidmat sebagai setiausaha pertahanan.
Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) sedang menjalankan siasatan dan dijangka mengeluarkan laporan awal dalam tempoh 30 hari.
Pihak berkuasa juga telah menemui perakam suara kokpit dan perakam data penerbangan dari pesawat penumpang. Serpihan pesawat, termasuk bahagian helikopter, sedang dikumpul dan disimpan di sebuah hangar di Lapangan Terbang Reagan National.
Jabatan bomba dan kecemasan Washington melaporkan bahawa penyelam telah mencari semua kawasan yang boleh diakses dan akan meneruskan pencarian pada Jumaat.
Lapangan Terbang Nasional Reagan ialah lapangan terbang utama yang terletak tidak jauh dari pusat bandar Washington, Rumah Putih dan Pentagon. Ruang udara sangat sibuk, dengan pesawat awam dan tentera sentiasa lintasi ruang udaranya. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg