Trump beri amaran kepada Nato, desak China bantu buka semula Selat Hormuz
Trump beri amaran kepada Nato, desak China bantu buka semula Selat Hormuz
Beijing tegaskan hanya akan pertingkat komunikasi bukan hantar kapal perang
Trump beri amaran kepada Nato, desak China bantu buka semula Selat Hormuz
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, memberi amaran masa depan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) boleh menjadi “amat buruk” jika sekutu Barat tidak membantu membuka semula laluan penting di Selat Hormuz yang kini terganggu akibat konflik dengan Iran.
Dalam wawancara dengan akhbar, Financial Times, yang diterbitkan pada 15 Mac, Encik Trump berkata negara yang mendapat manfaat daripada laluan perdagangan tersebut perlu memainkan peranan untuk memastikan keselamatannya.
“Saya fikir China juga patut membantu kerana China mendapat 90 peratus bekalan minyaknya melalui selat itu,” katanya.
Encik Trump turut memberi bayangan lawatan yang dirancang ke Beijing bagi bertemu Presiden China, Xi Jinping, mungkin ditangguhkan.
“Saya lebih suka mengetahui dahulu pendirian Beijing. Kami mungkin menangguhkan lawatan itu,” katanya.
Kenyataan Encik Trump dibuat ketika Setiausaha Perbendaharaan Amerika, Encik Scott Bessent; dan Naib Perdana Menteri China, Encik He Lifeng, memulakan rundingan perdagangan selama dua hari di Paris.
Perbincangan itu bertujuan memperincikan gencatan perdagangan antara kedua-dua negara serta membuka laluan kepada lawatan Encik Trump ke Beijing yang dijadual pada akhir Mac.
Encik Trump berkata bantuan yang diharapkan daripada sekutu boleh melibatkan penghantaran kapal penghapus periuk api dan aset ketenteraan lain bagi menangani ancaman dron serta periuk api laut di Selat Hormuz.
“Kami menyerang mereka dengan amat keras,” katanya merujuk kepada tentera Iran.
“Mereka sudah tidak mempunyai apa-apa lagi kecuali cuba menimbulkan gangguan kecil di selat itu.
“Negara yang mendapat manfaat daripada laluan tersebut sepatutnya membantu kami mengawalnya,” ujar Encik Trump.
Iran dilaporkan menutup Selat Hormuz selepas Amerika dan Israel melancarkan serangan terhadap negara itu pada 28 Februari lalu.
Selat sempit yang terletak antara Iran dengan Oman itu merupakan laluan penting bagi perdagangan tenaga sejagat.
Kira-kira satu perlima bekalan minyak dan gas asli cecair dunia melalui kawasan tersebut setiap hari.
Encik Trump turut memberi amaran bahawa Washington boleh melancarkan serangan tambahan ke atas Pulau Kharg, hab eksport minyak utama Iran.
“Kami boleh menyerangnya dalam lima minit... Dan mereka tidak mampu melakukan apa-apa untuk menghalangnya,” katanya.
Dalam wawancara yang sama, Encik Trump turut mengkritik reaksi Britain selepas berbincang dengan Perdana Menteri negara itu, Encik Keir Starmer.
Menurut Encik Trump, Britain pada awalnya enggan menghantar kapal perang ke kawasan tersebut walaupun Washington meminta bantuan.
“United Kingdom mungkin sekutu nombor satu kami. Tetapi apabila saya meminta mereka datang, mereka tidak mahu datang,” katanya.
Beliau menambah Britain hanya menawarkan bantuan selepas Amerika berjaya melemahkan keupayaan ketenteraan Iran.
Sebelum itu, Encik Trump juga menyeru negara seperti China, Perancis, Jepun, Korea Selatan dan Britain menghantar kapal perang untuk memastikan laluan perkapalan di Selat Hormuz kekal terbuka.
Gesaan Encik Trump supaya negara lain menghantar kapal perang untuk mengiringi kapal dagang melalui Selat Hormuz setakat ini tidak mendapat sebarang komitmen segera, meskipun harga minyak terus melonjak akibat perang Amerika-Israel terhadap Iran.
Sehingga kini, negara tersebut belum memberi sebarang janji.
Jurucakap Kedutaan China di Amerika, Encik Liu Pengyu, berkata semua pihak bertanggungjawab memastikan bekalan tenaga sejagat tidak terganggu, tetapi Beijing hanya akan “mempertingkat komunikasi” demi meredakan ketegangan, bukan menghantar kapal perang.
Kenyataan Encik Trump dibuat ketika kebimbangan meningkat mengenai kesan ekonomi sejagat akibat konflik di Iran.
Harga minyak antarabangsa dilapor meningkat melebihi AS$106 ($135) setong dalam dagangan awal, walaupun kenaikan itu lebih sederhana daripada jangkaan sesetengah pelabur.
Setiausaha Tenaga Amerika Syarikat, Encik Chris Wright, dalam wawancara televisyen berkata tiada jaminan harga minyak akan turun dalam masa terdekat.
“Tiada jaminan harga akan jatuh dalam beberapa minggu akan datang,” katanya.
Ketika perang memasuki minggu ketiga, serangan ketenteraan terus berlaku di beberapa lokasi di Asia Barat.
Penduduk di Teheran melaporkan letupan besar selepas serangan udara mengenai kawasan berhampiran lapangan terbang ibu negara Iran pada awal pagi 16 Mac.
Di Beirut pula, bunyi serangan udara dilaporkan kedengaran serentak dengan ribut petir.
Pihak berkuasa Dubai turut memaklumkan satu kejadian berkaitan dron berhampiran lapangan terbang antarabangsa bandar itu yang menyebabkan sebuah tangki bahan api rosak dan kebakaran kecil.
Di Iraq, empat orang dilaporkan cedera selepas serangan peluru berpandu ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad yang didakwa dilakukan oleh kumpulan militan disokong Iran, Kataib Hezbollah.
Sementara itu Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, menegaskan negara itu bersedia mempertahankan diri.
“Kami bersedia mempertahankan diri selama mana yang diperlukan,” katanya kepada CBS News sambil menafikan dakwaan Encik Trump bahawa Iran mahu mencapai perjanjian damai.
Dalam kenyataan di Telegram, Encik Araghchi berkata Selat Hormuz terbuka kepada semua negara kecuali pihak penceroboh, termasuk Amerika dan rejim Zionis serta pihak yang bersubahat dalam jenayah mereka.
Menteri itu turut berkata Iran mengalu-alukan sebarang daya usaha yang boleh membawa kepada penyelesaian adil bagi perang itu.
Beliau menjelaskan bahawa penamatan perang memerlukan jaminan bahawa ia tidak akan berulang serta pampasan dibayar kepada Iran. – Agensi berita.

