BANGKOK: Konflik bersenjata antara Thailand dan Kemboja bukan sahaja menyebabkan kemusnahan di sempadan, malah telah membakar semangat nasionalisme dalam kalangan rakyat Thailand dan mengancam kedudukan pemimpin yang sedang bergelut, Cik Paetongtarn Shinawatra. Perdana Menteri yang digantung tugas itu kini berdepan tekanan politik yang kian memuncak, termasuk desakan untuk meletak jawatan.
Beberapa jam selepas jet pejuang Thai menyerang sasaran tentera Kemboja dan Phnom Penh membalas dengan serangan ke atas kawasan awam, kumpulan nasionalis Thai mengumumkan rancangan mengadakan tunjuk perasaan anti-kerajaan di Bangkok pada 27 Julai. Di media sosial, tanda pagar menyokong tentera dan angkatan udara Thai menjadi sohor kini di platform X dan Facebook.
Cik Paetongtarn, 38 tahun, sudah pun dalam kedudukan goyah susulan kebocoran perbualan telefonnya dengan bekas Perdana Menteri Kemboja, Encik Hun Sen, pada 15 Jun lalu. Dalam perbualan itu, beliau dilihat bersimpati kepada Kemboja dan mengkritik kepimpinan tentera Thai.
Kebocoran itu mencetuskan kemarahan awam dan membawa kepada aduan rasmi ke Mahkamah Perlembagaan, yang akhirnya menggantung beliau daripada jawatan Perdana Menteri.
“Ketegangan ketenteraan yang semakin meningkat mengukuhkan jangkaan bahawa Mahkamah Perlembagaan akan membuat keputusan untuk menyingkirkan Paetongtarn secara rasmi,” kata Encik Peter Mumford, Ketua Amalan Asia Tenggara di Eurasia Group.
“Jika pilihan raya mengejut diadakan hujung tahun ini (2025) atau tahun depan, parti-parti konservatif dijangka mengambil kesempatan daripada lonjakan sentimen nasionalis, manakala parti populis Pheu Thai akan kehilangan sokongan,” tambahnya.
Gabungan yang dipimpin Pheu Thai sememangnya sudah rapuh selepas kejatuhan salah satu parti utama bulan lalu, menjadikan majoriti mereka semakin kecil. Cik Paetongtarn sendiri hanya menyandang jawatan selepas mahkamah menyingkirkan pendahulunya, manakala bapanya, Encik Thaksin Shinawatra, digulingkan dalam rampasan kuasa pada 2006.
“Kelangsungan kerajaan ini telah melemahkan dan membahayakan keselamatan negara dalam semua aspek termasuk maruah nasional, kepentingan negara, dan harta awam serta menyebabkan hilangnya kepercayaan dan ketenteraman awam sepenuhnya,” kata pemimpin protes, Encik Pichit Chaimongkol, dalam sidang media pada 24 Julai.
Ketegangan antara Thailand dan Kemboja telah meningkat sejak insiden tembak-menembak pada Mei lalu yang mengorbankan seorang askar Kemboja. Persengketaan sempadan sepanjang 800 kilometer itu telah berlangsung sejak berdekad lamanya, dan sejarah pertempuran dari 2008 hingga 2011 telah mengorbankan lebih 28 nyawa di kedua-dua pihak.
Isu sempadan ini berpunca daripada pertikaian peta berasaskan perjanjian-perjanjian Franco-Siam pada awal abad ke-20, ketika Kemboja masih di bawah naungan Perancis.
Krisis sempadan ini berlaku ketika kedua-dua negara menghadapi cabaran besar di peringkat global. Amerika Syarikat dijangka mengenakan tarif perdagangan yang berat bermula 1 Ogos, manakala negara jiran seperti Indonesia, Filipina dan Vietnam telah berjaya memeterai perjanjian perdagangan dengan pentadbiran Trump. Thailand, yang bergantung pada eksport, masih belum mencapai persetujuan serupa.
Pada 24 Julai, serangan udara Thailand ke atas tiga pangkalan tentera Kemboja mengorbankan sekurang-kurangnya 14 orang dan mencederakan berpuluh-puluh yang lain. Tentera Thai diberi kuasa luas untuk melancarkan operasi balas, menjadikan tentera lebih menonjol dalam naratif nasional.
“Ketidakupayaan Pheu Thai untuk memimpin kerajaan dengan berkesan sedang meningkatkan populariti tentera,” kata pensyarah sains politik dari Universiti Ubon Ratchathani, Dr Titipol Phakdeewanich.
Politik Thailand sejak sekian lama dibayangi pergelutan antara kuasa populis dan pro-demokrasi dengan elit konservatif dan birokrat diraja yang pro-tentera. Sejak pengakhiran pemerintahan monarki mutlak pada 1932, negara itu telah melalui lebih sedozen rampasan kuasa dan hampir 20 perlembagaan.
Sekurang-kurangnya empat kerajaan yang disokong keluarga Shinawatra telah ditumbangkan melalui rampasan kuasa atau keputusan mahkamah.
Cik Paetongtarn dan bapanya, Encik Thaksin, yang merupakan pemimpin de facto Pheu Thai, sebelum ini pernah menyuarakan sokongan terhadap tentera Thai. Namun, semasa dalam buangan selepas digulingkan, Thaksin pernah menjadi penasihat ekonomi kepada Hun Sen, sekali gus menimbulkan kemarahan pihak berkuasa pro-tentera di Bangkok.
Kini hubungan itu semakin meruncing. Thaksin mengkritik Hun Sen di media sosial dan berkata, “Kita mungkin perlu biarkan tentera Thai melakukan tugas mereka dan mengajar Hun Sen tentang muslihatnya.”
Encik Hun Sen segera membalas di X, menyelar kenyataan Encik Thaksin sebagai bersifat “berperang” dan menuduhnya melakukan pengkhianatan berkali-kali. Beliau turut mengungkit pembunuhan beramai-ramai umat Islam Thai di bawah pemerintahan Thaksin pada 2004, yang dikecam hebat oleh kumpulan hak asasi manusia.
Cik Paetongtarn kini berdepan siasatan Mahkamah Perlembagaan atas dakwaan pelanggaran etika dalam pengendalian isu sempadan. Beliau diberi masa sehingga 31 Julai untuk mengemukakan pembelaan.
“Insiden sempadan ini akan menguatkan golongan konservatif, dan kemungkinan berlaku rampasan kuasa tentera akan terus diperkatakan – walaupun buat masa ini ia masih belum menjadi kenyataan,” ujar Encik Mumford.
Namun beliau menambah, “Kebarangkalian rampasan kuasa akan meningkat sekiranya situasi keselamatan dan politik dalam negara terus merosot.” - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg