Krisis tenaga global dorong banyak negara galak kerja dari rumah
Krisis tenaga global dorong banyak negara galak kerja dari rumah
DUBAI: Hampir tiga minggu selepas Amerika Syarikat melancarkan kempen ketenteraan terhadap Iran, kesan konflik itu kini semakin dirasai di seluruh dunia apabila bekalan tenaga global terjejas dan harga bahan api melonjak.
Konflik tersebut telah menjejaskan laluan penting Selat Hormuz, iaitu laluan strategik yang sebelum ini membawa sekitar 20 peratus perdagangan minyak dan gas asli cecair dunia. Gangguan di laluan itu menyebabkan bekalan tenaga global menjadi semakin terhad dan memberi tekanan kepada rizab bahan api di banyak negara.
Kesan krisis ini amat dirasai oleh negara yang banyak bergantung kepada minyak dan gas dari Asia Barat, khususnya di Asia. Bagi menghadapi kemungkinan gangguan bekalan yang berpanjangan, beberapa pemerintah kini menggalakkan langkah luar biasa untuk mengurangkan penggunaan bahan api, termasuk menggalakkan orang ramai bekerja dari rumah.
Di Asia, pemerintah dari Vietnam hingga Filipina telah menghidupkan semula arahan kerja fleksibel bagi mengurangkan penggunaan bahan api. Sementara itu, di Eropah, para menteri turut menggesa penduduk supaya mengurangkan perjalanan harian ke tempat kerja.
Dalam satu kenyataan pada 10 Mac, Kementerian Industri dan Perdagangan Vietnam menyeru orang ramai serta perniagaan supaya bekerjasama dengan pemerintah bagi memastikan keselamatan tenaga negara.
“Usaha bersama untuk menjimatkan bahan api amat penting,” menurut kenyataan kementerian itu. “Di mana yang boleh, pengaturan kerja jarak jauh boleh membantu mengurangkan permintaan perjalanan dan pengangkutan.”
Sepanjang minggu lalu, pemerintah di Vietnam, Pakistan, Thailand dan Filipina mengeluarkan beberapa arahan yang menggalakkan kerja fleksibel, termasuk bekerja dari rumah, minggu kerja empat hari serta langkah kecil seperti menggunakan tangga berbanding lif bagi menjimatkan tenaga.
Di Eropah, mesej serupa turut disampaikan kepada orang ramai. Menteri Tenaga Denmark, Encik Lars Aagaard, berkata pengguna perlu mengurangkan penggunaan tenaga jika ia tidak benar-benar diperlukan.
“Jika ada penggunaan tenaga yang boleh dielakkan, jika tidak benar-benar perlu memandu kereta, maka jangan lakukannya,” katanya kepada sebuah penyiar tempatan.
Langkah seperti ini pernah dilaksanakan sebelum ini ketika krisis tenaga global pada 2022 selepas Russia melancarkan pencerobohan ke atas Ukraine. Pada waktu itu, negara Barat mengenakan sekatan ketat terhadap eksport tenaga Russia sehingga menyebabkan bekalan tenaga global merosot dengan mendadak.
Krisis tersebut memberi kesan besar kepada Eropah yang sebelum itu bergantung kepada Russia bagi sekitar 45 peratus bekalan gas asli dan 30 peratus minyak mereka. Harga bahan api melonjak dan banyak pemerintah menggalakkan kerja jarak jauh untuk mengurangkan penggunaan tenaga.
Di Jerman, satu analisis pada 2022 mendapati bahawa peningkatan kerja dari rumah berpotensi mengurangkan penggunaan gas negara itu sebanyak lima peratus. Bekas Menteri Ekonomi dan Iklim Jerman ketika itu, Encik Robert Habeck, berkata setiap perjalanan yang dapat dielakkan membantu mengurangkan pergantungan kepada tenaga Russia.
“Setiap kilometer yang tidak dipandu adalah sumbangan untuk mengurangkan pergantungan kepada bekalan tenaga Russia,” katanya.
Negara di Asia Selatan dan Asia Timur kini berdepan cabaran yang sama kerana banyak daripada mereka sangat bergantung kepada bekalan tenaga dari Asia Barat.
Negara-negara Asia membeli kira-kira 60 peratus minyak mereka dari rantau itu. Sebelum perang tercetus, Asia juga menerima sekitar 82 peratus eksport gas asli cecair dari Qatar, pengeksport gas terbesar di Asia Barat.
Namun, penghantaran gas dari Qatar kini terganggu selepas sebuah kemudahan pengeluaran gas asli cecair terbesar negara itu terpaksa ditutup berikutan serangan dron Iran minggu lalu.
Keadaan ini memburukkan lagi tekanan terhadap negara yang mempunyai kapasiti simpanan bahan api yang terhad. Thailand dan Filipina hanya mempunyai simpanan petroleum yang mencukupi untuk kira-kira dua bulan, manakala Pakistan mempunyai sekitar sebulan sahaja. Vietnam pula dilaporkan mempunyai kurang daripada 20 hari simpanan.
Bagi mengatasi kekurangan bekalan, beberapa negara kini berusaha mendapatkan sumber tenaga alternatif. Thailand, misalnya, sedang meningkatkan pengeluaran gas asli dari rizab domestiknya di Teluk Thailand, manakala negara lain cuba membeli lebih banyak gas asli cecair dari pasaran antarabangsa serta Amerika Syarikat.
Pada masa sama, pemerintah di Asia Tenggara memperkenalkan langkah penjimatan tenaga bagi melindungi ekonomi masing-masing daripada kesan kenaikan harga minyak.
Di Thailand, kebanyakan agensi pemerintah kini diarahkan melaksanakan kerja sepenuh masa dari rumah sebagai langkah kecemasan untuk mengurangkan penggunaan tenaga.
Di Filipina pula, pemerintah telah melaksanakan minggu kerja empat hari bagi kakitangan awam sejak 9 Mac, walaupun langkah itu bersifat sementara dan tidak melibatkan perkhidmatan kecemasan.
Presiden Filipina, Encik Ferdinand Marcos Jr, berkata rakyat perlu bersedia menghadapi kesan konflik yang tidak dapat mereka kawal.
“Kita tidak tahu bila kekacauan di Asia Barat akan berakhir,” katanya dalam satu mesej video.
“Kita menjadi mangsa kepada perang yang kita tidak pilih dan tidak mahukan. Kita tidak dapat mengawal perang itu, tetapi kita boleh mengawal bagaimana kita melindungi rakyat Filipina.”
Di Malaysia, pemerintah dijadual membuat keputusan pada 17 Mac mengenai kemungkinan melaksanakan pengaturan kerja dari rumah bagi kakitangan awam sebagai langkah mengurangkan penggunaan bahan api sekiranya krisis tenaga berlarutan. - Agensi berita.

