Kru pesawat Singapore Airlines (SIA) SQ321, yang merupakan warga Malaysia yang cedera akibat gelora udara ekstrem, bakal menjalani satu lagi pembedahan pada 23 Mei.
“Beliau menjalani pembedahan pada Selasa. Pembedahan tambahan dijangka pada Khamis, 23 Mei,” kata Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel.
Beliau berkata lelaki berusia 32 tahun itu berada dalam keadaan kritikal tetapi stabil.
Kru itu mengalami kecederaan di bahagian belakang badan dan kepala, dan perlu menjalani pembedahan tulang belakang, kata Datuk Jojie, lapor The Straits Times, yang memetik laporan The Star.
Terdapat 18 kru dan 211 penumpang dalam pesawat itu, yang dalam penerbangan dari London ke Singapura.
Ia mengalami gelora udara ekstrem secara tiba-tiba semasa melalui Lembangan Irrawaddy di Myanmar pada ketinggian 11,000 meter, kira-kira 10 jam setelah berlepas dari London.
Juruterbang mengisytiharkan kecemasan perubatan dan melencongkan pesawat Boeing 777-300ER ke Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok pada 3.45 petang (4.45 petang waktu Singapura) pada 21 Mei.
Kejadian tersebut menyebabkan seorang lelaki warga Britain berusia 73 tahun meninggal dunia ekoran serangan jantung.
Datuk Jojie berkata sembilan daripada 16 warga Malaysia dalam pesawat itu sedang dirawat di Hospital Samitivej Srinakarin, manakala tiga warga Malaysia lain berada di Hospital Samitivej Sukhumvit.
“Menurut kedua-dua hospital itu, mereka semua mengalami kecederaan fizikal dan dalaman, dengan seorang dalam keadaan kritikal tetapi stabil.
“Mereka dalam pemerhatian buat masa ini,” katanya.
Datuk Jojie menambah Kedutaan Malaysia telah menyelaras bersama pihak berkuasa dan hospital tempatan untuk mengunjungi warga Malaysia tersebut di hospital di Bangkok.
Satu laporan Reuters memaparkan pengalaman salah seorang pelajar warga Malaysia dalam pesawat SQ321, Encik Dzafran Azmir, yang berkata beliau memerlukan masa untuk pulih daripada kejutan itu.
“Ia akan mengambil masa... saya masih memprosesnya,” kata lelaki berusia 28 tahun itu dalam panggilan video sebaik tiba di Singapura melalui penerbangan bantuan.
“Saya lihat penumpang di tempat duduk lain tercampak hingga tubuh badan mereka terlintang, terhentak bumbung pesawat dan kemudian terjatuh semula ke lantai. Sejujurnya, saya tidak sedar apa sebenarnya yang berlaku sehingga kami mendarat,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg