GAZA: Ketegangan dalaman semakin meruncing di Jaluran Gaza apabila seorang ketua kumpulan bersenjata Palestin, Yasser Abu Shabab, secara terbuka dituduh bersekongkol dengan tentera Israel dan melakukan jenayah terhadap rakyat serta anggota Hamas.
Gabungan kumpulan bersenjata Palestin pada 6 Julai secara bersama mengisytiharkan Abu Shabab dan kumpulannya sebagai “pengkhianat yang tiada perlindungan” serta menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk pengampunan terhadap mereka.
Dalam satu kenyataan rasmi oleh Markas Operasi Bersama Palestin, gabungan itu menyatakan: “Abu Shabab dan kumpulannya telah menyimpang daripada jalan perjuangan bangsa dan kehilangan identiti Palestin sepenuhnya. Kami tidak akan menunjukkan belas kasihan kepada sesiapa pun yang membantu penjajah.”
Kenyataan itu juga menegaskan: “Nasib para pengkhianat adalah dalam tong sejarah, dicemari kehinaan selama-lamanya di hadapan Tuhan dan rakyat mereka.”
Mahkamah Revolusi Tentera, di bawah Kementerian Dalam Negeri Gaza, telah memberi Abu Shabab tempoh 10 hari bermula 2 Julai untuk menyerah diri kepada pihak berkuasa bagi menghadapi perbicaraan.
Jika gagal, dia akan dikategorikan sebagai pelarian dan dibicarakan tanpa kehadiran.
Dia berdepan tiga tuduhan utama berdasarkan Kanun Keseksaan Palestin 1960 dan Undang-Undang Prosedur Revolusi 1979: penderhakaan dan bersekongkol dengan musuh (Perkara 131), penubuhan kumpulan bersenjata haram (Perkara 176), dan pemberontakan bersenjata (Perkara 168).
Orang awam yang melindungi Abu Shabab juga boleh dihukum.
Dalam satu temu bual dengan stesen radio berbahasa Arab Israel, Abu Shabab secara terbuka mengakui bahawa kumpulannya, Pasukan Popular, telah menjalankan operasi dengan pengetahuan tentera Israel di kawasan timur Rafah yang berada di bawah kawalan tentera Israel.
“Kami memaklumkan operasi kami kepada mereka, tetapi tindakan ketenteraan dijalankan secara kendiri,” katanya.
Tambahnya, kumpulannya turut menerima sokongan logistik dan kewangan daripada beberapa pihak, tanpa menamakan Israel secara langsung.
“Ada perkara yang tidak boleh kami nyatakan secara terbuka,” katanya.
Namun, kenyataan itu mengukuhkan lagi dakwaan media tempatan bahawa kumpulannya merupakan salah satu kumpulan bersenjata yang disokong oleh Israel untuk menentang Hamas di Gaza.
Perdana Menteri Israel Encik Benjamin Netanyahu pada Jun lalu mempertahankan kerjasama tersebut dengan menyatakan bahawa ia “menyelamatkan nyawa tentera Israel”.
Bagaimanapun, mantan Menteri Pertahanan dan Anggota Parlimen Knesset, Encik Avigdor Lieberman, mengecam tindakan itu sebagai “penyerahan senjata kepada kumpulan penjenayah dan pesalah”.
Pusat Kajian Majlis Eropah bagi Hubungan Luar pula menggambarkan Abu Shabab sebagai ketua sindiket jenayah bersenjata di Rafah yang turut disyaki menyeleweng bantuan kemanusiaan di Gaza.
Dia didakwa mengarahkan pembunuhan orang awam dan anggota bersenjata serta mencuri bantuan yang memasuki Gaza melalui lintasan Kerem Shalom – semuanya dikatakan dilakukan dengan kerjasama langsung tentera Israel.
Dalam temu bual yang sama, Abu Shabab mempertahankan tindakannya dengan mendakwa bahawa matlamat utama kumpulannya adalah untuk menewaskan Hamas yang dianggap sebagai “rejim zalim dan korup”.
“Kami tidak terikat dengan mana-mana ideologi atau pertubuhan politik. Kami berusaha menamatkan penindasan Hamas dan membina alternatif pemerintahan,” katanya.
“Kami akan terus berjuang walaupun pertumpahan darah berlaku. Hamas sedang kritikal. Mereka tahu pengakhiran mereka sudah hampir,” tegasnya.
Satu lagi kenyataan daripada gabungan kumpulan bersenjata Palestin pada 6 Julai menyatakan bahawa rakyat Gaza secara menyeluruh menolak kumpulan Abu Shabab.
“Kami menghargai pendirian keluarga dan kabilah kami yang tidak terpengaruh dengan pengkhianatan satu kumpulan songsang. Rakyat kami cukup bijak membezakan antara tentera upahan dengan pejuang sebenar,” kata kenyataan itu.
Kumpulan itu turut menyifatkan tindakan Israel menyokong kumpulan bersenjata seperti Pasukan Popular sebagai satu taktik sistematik untuk melemahkan kestabilan Gaza dan memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang melanda lebih dua juta penduduk Palestin. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg