Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemimpin Hamas: Tidak sokong serang Israel jika tahu akibat buruk Gaza

Feb 25, 2025 | 11:27 AM
Seorang wanita Palestin berada di tapak kemusnahan di Jabalia, di utara Gaza pada 17 Februari.
Seorang wanita Palestin berada di tapak kemusnahan di Jabalia, di utara Gaza pada 17 Februari. - Foto AFP

TEL AVIV: Pemimpin kanan Hamas, Mousa Abu Marzouk, yang berpusat di Qatar, kini tampil dengan kenyataan yang mengejutkan mengenai serangan yang dilancarkan oleh kumpulannya terhadap Israel pada 7 Oktober 2023.

Walaupun serangan tersebut dianggap sebagai “kemenangan” oleh beberapa pihak di Hamas dan muncul ancaman untuk melancarkan serangan serupa di masa depan, Encik Abu Marzouk, mengakui beliau tidak akan menyokong serangan tersebut jika beliau mengetahui akibat buruk yang akan menimpa Gaza.

Encik Abu Marzouk dalam satu temu bual dengan The New York Times, menyatakan tidak diberitahu mengenai rancangan terperinci serangan tersebut yang mengakibatkan lebih 1,200 orang terbunuh dan 250 dijadikan tebusan.

Namun, sebagai pemimpin politik Hamas, beliau dan beberapa pemimpin lain menyokong strategi serangan ke atas Israel sebagai langkah ketenteraan.

“Jika saya tahu akibatnya, saya tidak akan menyokong serangan ini. Ini akan menjadikannya mustahil untuk saya menyokongnya,” kata Encik Abu Marzouk.

Menurutnya, jika beliau mengetahui betapa buruknya kesan yang akan berlaku kepada Gaza, serangan itu mungkin tidak akan dilancarkan.

Hamas dalam satu kenyataan menyatakan komen yang dikeluarkan oleh Encik Abu Marzouk telah diambil di luar konteks.

Kenyataan itu menegaskan serangan pada 7 Oktober adalah satu bentuk penentangan terhadap sekatan, pendudukan dan pembinaan penempatan Israel di tanah Palestin.

Hamas tetap berpegang pada pendirian bahawa “senjata” mereka tidak akan diserahkan selagi tanah mereka masih dijajah.

Kenyataan itu menunjukkan terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan pemimpin Hamas mengenai serangan tersebut dan akibatnya, serta menggambarkan perasaan penduduk Gaza yang semakin menderita akibat kesan serangan itu.

Encik Abu Marzouk, 74 tahun, yang merupakan antara pengasas pejabat politik Hamas pada 1990-an, menambah bahawa walaupun serangan itu dilihat sebagai “kemenangan” oleh beberapa pihak, beliau tidak bersetuju dengan pandangan tersebut.

Beliau membandingkan keadaan itu dengan seorang petinju amatur yang berjaya bertahan dalam perlawanan dengan Mike Tyson.

Ramai menganggapnya sebagai “kemenangan” walaupun ia jelas satu kekalahan besar dalam konteks yang lebih luas.

“Kami bercakap mengenai satu pihak yang hilang kawalan dan membalas dendam terhadap segala-galanya. Itu bukan kemenangan dalam apa jua keadaan,” ujarnya.

Pakar undang-undang telah mengkritik serangan yang dilancarkan oleh Israel terhadap Gaza, dengan dakwaan bahawa tindakan tersebut menyebabkan banyak kematian orang awam yang tidak sepatutnya berlaku.

Encik Abu Marzouk, yang pernah tinggal di Amerika Syarikat, turut mencadangkan Hamas mungkin bersedia untuk berunding mengenai masa depan senjata mereka di Gaza, satu isu yang selama ini menjadi perbalahan utama dalam rundingan dengan Israel.

“Ia adalah satu isu yang perlu dibincangkan. Kami bersedia untuk bercakap mengenai segala perkara,” katanya, mengisyaratkan bahawa perbincangan mengenai pelucutan senjata mungkin menjadi jalan untuk mencapai perdamaian.

Namun, kenyataan Encik Abu Marzouk bercanggah dengan kenyataan Encik Osama Hamdan, seorang lagi pegawai Hamas, yang dengan tegas menyatakan bahawa “senjata” Hamas tidak boleh dibincangkan dan menolak sebarang kemungkinan untuk bertolak ansur.

“Tiada seorang pun pemimpin yang boleh menetapkan agenda sendirian,” tambah Encik Abu Marzouk, mengulas mengenai kenyataan Encik Hamdan.

Rundingan mengenai fasa kedua gencatan senjata dijangka akan dimulakan tidak lama lagi.

Bagaimanapun, ketidaksepakatan mengenai pelaksanaan fasa pertama telah meningkatkan kebimbangan gencatan senjata tersebut mungkin gagal dan perang antara Israel dengan Hamas mungkin berterusan.

Encik Abu Marzouk menegaskan bahawa Hamas bersedia melaksanakan perjanjian menyeluruh melibatkan pertukaran tebusan, jika Israel bersedia membebaskan lebih ramai tahanan Palestin dan menarik diri sepenuhnya dari Gaza.

Beliau menegaskan bahawa Hamas akan tetap menuntut lebih banyak tahanan Palestin sebagai pertukaran bagi setiap tebusan Israel yang dibebaskan.

“Sebagai pertukaran bagi setiap tebusan, kami akan meminta lebih ramai tahanan Palestin,” katanya, mencadangkan jumlah antara 500 hingga 1,000 tahanan sebagai pertukaran bagi setiap tebusan Israel.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg