Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kumpulan hak asasi Israel: 2025 paling dahsyat, musnahkan rakyat Palestin

Dec 4, 2025 | 2:06 PM
Hak, Asasi, Israel, Gaza, musnah
Kumpulan hak asasi manusia Israel menyatakan tahun kedua perang di Gaza adalah yang paling dahsyat dan paling memusnahkan rakyat Palestin sejak tahun 1967. - Foto AFP

BAITULMAKDIS: Kumpulan hak asasi manusia Israel menganggap 2025 sebagai tahun “paling dahsyat dan paling memusnahkan” bagi rakyat Palestin, dengan Israel meningkatkan pembunuhan dan pengusiran orang awam di Gaza dan Tebing Barat yang diduduknya lapor Anadolu.

Kenyataan itu terkandung dalam laporan bersama yang dikeluarkan oleh 12 kumpulan hak asasi manusia Israel: Bimkom (Perancang untuk Hak Perancangan), Gisha, Persatuan Hak Sivil di Israel, Jawatankuasa Awam Menentang Penyeksaan di Israel, HaMoked (Pusat Pertahanan Individu), Yesh Din, Combatants for Peace, Ir Amim, Emek Shaveh, Physicians for Human Rights – Israel, Breaking the Silence, dan Torat Tzedek.

“Pada 2023 dan 2024, pelanggaran berat didokumentasikan semasa pembunuhan beramai-ramai Israel di Gaza, tetapi 2025 menunjukkan peningkatan mendadak, dengan jumlah kematian hampir dua kali ganda, perpindahan hampir merata seluruh kawasan, dan kelaparan menjadi punca kematian beramai-ramai,” kata laporan itu.

“Pelanggaran yang dianggap luar biasa pada permulaan perang menjadi sebahagian daripada amalan harian”.

“Tahun kedua perang di Gaza adalah yang paling dahsyat dan paling memusnahkan rakyat Palestin sejak tahun 1967,” tambah laporan itu.

Perangkaan kumpulan itu menunjukkan jumlah kematian akibat perang Israel mencecah lebih 36,000 pada Mac 2024 dan meningkat kepada 67,173 menjelang Oktober 2025, termasuk lebih 20,000 kanak-kanak dan sekitar 10,000 wanita. Bilangan yang cedera melebihi 170,000 orang.

Menurut laporan itu, perpindahan penduduk Palestin pada 2025 mencecah 1.9 juta orang atau sekitar 90 peratus daripada populasi Gaza apabila seluruh kawasan kejiranan dan infrastruktur penting, termasuk air dan elektrik, dimusnahkan.

Laporan itu menyatakan bahawa 461 orang, termasuk 157 kanak-kanak, meninggal dunia akibat kelaparan menjelang Oktober 2025 dan 2,306 rakyat Palestin terbunuh dan 16,929 cedera ketika menunggu pengagihan bantuan di Gaza.

Menurut kumpulan itu lagi, kira-kira 1,200 serangan oleh peneroka haram Israel telah direkodkan antara 2023 dengan 2024 di Tebing Barat yang diduduki Israel, sementara keganasan berskala besar meningkat pada 2025.

Laporan itu mendapati 2,932 rakyat Palestin, termasuk 1,326 kanak-kanak hilang tempat tinggal di Tebing Barat.

Ia menambah bahawa bilangan tahanan Palestin yang ditahan tanpa pertuduhan, meningkat daripada 1,000 pada 2023 kepada 3,577 pada 2025, tiga kali ganda purata sebelum perang.

Sekurang-kurangnya 98 kematian rakyat Palestin dalam tahanan Israel akibat penyeksaan, penafian rawatan perubatan, dan keadaan penahanan yang tidak berperikemanusiaan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg