Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kumpulan ISIS mengaku lakukan serangan bom ragut 54 nyawa di Pakistan

Aug 1, 2023 | 3:23 PM
PENGEBUMIAN: Orang ramai membawa keranda mangsa pengeboman berani mati dalam perhimpunan politik di barat laut Pakistan.
PENGEBUMIAN: Orang ramai membawa keranda mangsa pengeboman berani mati dalam perhimpunan politik di barat laut Pakistan. - Foto REUTERS

DERA ISMAIL KHAN (Pakistan): Kumpulan ISIS pada Isnin mengaku bertanggungjawab atas pengeboman berani mati dalam perhimpunan politik di barat laut Pakistan sedang jumlah kematian akibat serangan itu meningkat kepada 45 orang.

Pengebom itu menyerang pada Ahad ketika perhimpunan anjuran parti konservatif Jamiat Ulama Islam-Fazl (JUI-F), yang terkenal kerana kaitannya dengan Islam tegar tetapi mengecam militan yang berusaha untuk menggulingkan pemerintah Pakistan.

Serangan di daerah Bajaur di barat laut Pakistan, berhampiran sempadan dengan Afghanistan, menambahkan kebimbangan keselamatan menjelang pilihan raya pada November.

Kumpulan militan ISIS mengaku bertanggungjawab atas pengeboman itu menerusi kenyataan di saluran Telegramnya pada Isnin.

“Serangan itu dilakukan dalam konteks semula jadi perang berterusan yang dilancarkan oleh ISIS terhadap ‘demokrasi’ sebagai rejim yang memusuhi Islam sebenar,” kata Agensi Berita Amaq kumpulan itu di Telegram.

Seorang pegawai agensi pemerintah, Encik Bilal Faizi, berkata angka kematian meningkat kepada 45 dan daripada lebih 130 orang yang cedera, 61 masih dalam rawatan.

Perdana Menteri Pakistan, Encik Shehbaz Sharif mengecam letupan itu sebagai serangan terhadap proses demokrasi. Prospek untuk pilihan raya telah diselubungi oleh persaingan berbulan-bulan antara parti utama dengan tuduhan penglibatan tentera dalam politik awam, yang dinafikan oleh tentera.

Tempoh pemerintah sekarang tamat pada separuh pertama Ogos, selepas itu pilihan raya akan diadakan sebelum awal November, yang biasanya dipenuhi dengan perhimpunan politik dan kempen.

“Pilihan raya mungkin boleh ditangguhkan jika siri serangan sedemikian terus berlaku,” kata bekas ketua antikeganasan Pakistan, Encik Khawaja Khalid Farooq.

“Serangan yang disasarkan sedemikian boleh menjejaskan prestasi dan kempen pemilihan parti-parti politik yang terjejas.

Pakistan menyaksikan kebangkitan semula serangan militan Islam sejak tahun lalu apabila gencatan senjata antara Taleban Pakistan, Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP) dan pemerintah berakhir dengan kegagalan.

Pengeboman masjid yang didakwa oleh kumpulan serpihan TTP di Peshawar membunuh lebih 100 orang pada Januari. Namun begitu, serangan pada Ahad adalah yang paling dahsyat kerana ia menyasarkan perhimpunan politik. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg