Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

BERITA

Lebih 40 terbunuh di Pakistan akibat pengebom bunuh diri di himpunan politik

Jul 31, 2023 | 03:28 PM



PESHAWAR: Sekurang-kurangnya 44 orang terbunuh dan lebih 100 lagi cedera pada Ahad akibat pengeboman di perhimpunan politik sebuah parti Islam terkemuka di barat laut Pakistan, kata pegawai.


Letupan itu menyasarkan parti Jamiat Ulema-e-Islam-F (JUI-F) – rakan gabungan pemerintah yang diketuai oleh ulama terkenal yang berpengaruh – ketika ratusan penyokong berhimpun di bawah kanopi di bandar Khar, berhampiran sempadan Afghanistan.

“Khemah itu telah runtuh di satu sisi, memerangkap orang yang bermati-matian cuba melarikan diri,” kata Encik Abdullah Khan, yang cuba membantu mangsa.

“Suasana kecoh, dengan tubuh manusia yang robek berselerak, bahagian tubuh yang putus bertaburan di sekitar kawasan, bersama mayat yang terkujur.”

Encik Sabeeh Ullah, seorang penyokong parti berusia 24 tahun yang patah lengannya akibat letupan itu, berkata kecederaan adalah mengerikan.

“Saya mendapati diri saya terbaring di sebelah seseorang yang kehilangan anggota badan. Udara dipenuhi dengan bau daging manusia,” katanya kepada agensi berita AFP melalui telefon.


Ketika jumlah korban terus meningkat, Encik Riaz Anwar, Menteri Kesihatan Wilayah Khyber Pakhtunkhwa memberitahu AFP lewat Ahad, 44 orang disahkan terbunuh dan lebih 100 cedera.


“Ia adalah serangan dengan pengebom itu meletupkan dirinya dalam jarak dekat dengan pentas,” katanya kepada AFP.


Media Pakistan berkata terdapat kira-kira 400 orang di dalam khemah itu pada masa letupan berlaku, dan beberapa anggota pasukan bantuan kecemasan sedang bekerja di tempat kejadian.

Imej dari tapak letupan yang tersebar di media sosial menunjukkan mayat berselerak, dan sukarelawan membantu mangsa yang berlumuran darah ke ambulans.

Perhimpunan kebangsaan Pakistan akan dibubarkan dalam beberapa minggu akan datang menjelang pilihan raya, yang dijangka pada Oktober atau November, dan parti politik sudah bersedia untuk berkempen.

Letupan itu bertepatan dengan lawatan ke negara itu oleh delegasi kanan pegawai China, termasuk Naib Perdana Menteri, Encik He Lifeng, yang tiba di ibu negara petang Ahad.

Perdana Menteri Pakistan, Encik Shehbaz Sharif, mengutuk letupan pada Ahad di media sosial, mengucapkan takziah kepada mangsa dan berikrar untuk menghukum mereka yang bertanggungjawab.

IS tempatan aktif


Tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab atas serangan itu, tetapi bahagian tempatan kumpulan Islamic State (IS) baru-baru ini telah melakukan serangan terhadap JUI-F.

Pada 2022, IS berkata ia berada di sebalik serangan ganas terhadap ahli agama yang bergabung dengan parti itu, yang mempunyai rangkaian besar masjid dan madrasah di utara dan barat negara itu.

Kumpulan itu menuduh JUI-F hipokrit kerana menjadi kumpulan Islam sambil menyokong pemerintah yang bermusuhan dan tentera.

Pemimpin parti itu, ulama Fazlur Rehman, memulakan kehidupan politik sebagai pejuang Islam yang terkenal, tetapi telah melunturkan imej awamnya selama ini dalam usaha untuk menjalin pakatan dengan parti sekular berhaluan kiri dan kanan.

Dengan keupayaan untuk menggerakkan puluhan ribu pelajar madrasah, partinya tidak pernah mendapat sokongan yang mencukupi untuk berkuasa secara bersendiri, tetapi biasanya menjadi pemain utama dalam mana-mana gabungan.

Pakistan menyaksikan peningkatan mendadak dalam serangan militan sejak Taleban Afghanistan kembali berkuasa di negara jiran Afghanistan itu pada 2021.

Kumpulan Taleban tempatan Pakistan, Tehreek-e-Taleban Pakistan (TTP), sebahagian besarnya mengarahkan kempennya terhadap pegawai keselamatan, termasuk pegawai polis.

Pada Januari, seorang pengebom bunuh diri yang dikaitkan dengan Taleban Pakistan meletupkan dirinya di sebuah masjid di dalam kawasan polis di bandar barat laut Peshawar, membunuh lebih 80 pegawai.

Serangan militan telah tertumpu di wilayah bersebelahan dengan Afghanistan, dan Islamabad mendakwa beberapa aksi sedang dirancang di Afghanistan – tuduhan yang dinafikan Kabul.

Pakistan pernah dibelenggu oleh pengeboman hampir setiap hari, tetapi operasi pembersihan ketenteraan utama di kawasan bekas suku itu bermula pada 2014 sebahagian besarnya memulihkan keadaan.

Tujuh daerah terpencil yang bersempadan dengan Afghanistan, di mana Bajaur adalah satu daripadanya, kemudian dibawa ke bawah kawalan pihak berkuasa Pakistan, selepas undang-undang diluluskan pada 2018.

Penganalisis berkata militan di kawasan bekas suku telah menjadi lebih berani sejak kembalinya Taleban Afghanistan.

Seorang penganalisis keselamatan mengatakan, serangan pada Ahad itu lebih berkemungkinan dikaitkan dengan pilihan raya dan bukannya mempunyai motif mazhab.

“Ini adalah sebahagian daripada keganasan yang semakin meningkat di Pakistan menjelang pilihan raya, untuk mewujudkan rasa tidak stabil yang akhirnya boleh menyebabkan kelewatan dalam pilihan raya,” kata Encik Imtiaz Gul, Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Kajian Keselamatan. – AFP.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >