Kumpulan masyarakat sivil cabar program makanan percuma Prabowo di mahkamah

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kumpulan masyarakat sivil cabar program makanan percuma Prabowo di mahkamah

Mar 11, 2026 | 3:42 PM

Kumpulan masyarakat sivil cabar program makanan percuma Prabowo di mahkamah

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Indonesia, program makanan percuma, Banda Aceh
Pelajar berdoa sebelum menikmati makanan yang disediakan menerusi program makanan percuma pemerintah Indonesia di sebuah sekolah rendah di Banda Aceh pada 30 Oktober 2025. - Foto AFP

JAKARTA: Program makanan percuma berskala besar yang diperkenalkan Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, terus menjadi tumpuan perbincangan awam selepas beberapa kumpulan masyarakat sivil memfailkan cabaran perundangan terhadap mekanisme pembiayaan inisiatif tersebut.

Gabungan masyarakat sivil yang dikenali sebagai MBG Watch pada 10 Mac memaklumkan bahawa mereka telah memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Perlembagaan terhadap undang-undang belanjawan negara 2026 yang menjadi asas pembiayaan program berkenaan.

Dalam kenyataan mereka, gabungan itu menyatakan bahawa mereka mahu beberapa bahagian undang-undang tersebut dinilai semula kerana didakwa memberi ruang yang terlalu luas kepada pemerintah dalam pengurusan dana awam.

Gabungan MBG Watch terdiri daripada beberapa organisasi termasuk Yayasan Bantuan Undang-undang Indonesia, Pusat Kajian Ekonomi dan Undang-undang serta Pertubuhan Ketelusan Antarabangsa Indonesia selain beberapa individu dari masyarakat sivil.

Menurut mereka, perbincangan awam mengenai mekanisme pembiayaan program tersebut perlu diperkukuh bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan dana negara.

Program makanan percuma merupakan antara agenda utama pemerintah di bawah pentadbiran Presiden Prabowo dan dianggarkan menelan kos sekitar AS$20 bilion setahun ($25.4 bilion).

Inisiatif tersebut bertujuan menyediakan makanan berkhasiat kepada lebih 80 juta rakyat Indonesia, terutamanya pelajar sekolah, bagi meningkatkan tahap kesihatan, pemakanan dan pembangunan modal insan negara.

Pemerintah melihat program tersebut sebagai pelaburan jangka panjang bagi mengurangkan kadar kemiskinan serta memastikan generasi muda mendapat nutrisi mencukupi untuk menyokong pembelajaran.

Seorang pegawai pemerintah berkata inisiatif tersebut memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat dan pembangunan masa depan negara.

“Program ini adalah pelaburan untuk masa depan anak-anak Indonesia. Matlamatnya ialah memastikan mereka mendapat nutrisi yang mencukupi supaya dapat belajar dengan lebih baik,” katanya.

Walaupun terdapat perbincangan mengenai kos program tersebut, pemerintah menegaskan bahawa perbelanjaan negara akan terus diurus secara berhati-hati.

Menteri Kewangan, Encik Purbaya Yudhi Sadewa, berkata pihaknya sentiasa memantau perbelanjaan pemerintah bagi memastikan defisit belanjawan kekal terkawal.

Menurut beliau, pemerintah akan mengambil langkah yang diperlukan untuk mengekalkan kestabilan fiskal negara walaupun berdepan cabaran ekonomi global seperti turun naik harga minyak dan nilai mata wang.

“Kami terus memantau perbelanjaan negara dengan teliti supaya defisit belanjawan kekal terkawal,” katanya.

Penganalisis ekonomi turut menegaskan bahawa perbincangan mengenai program tersebut adalah sebahagian daripada proses semak dan imbang dalam sistem demokrasi.

Mereka berkata perbahasan awam mengenai dasar fiskal dapat membantu meningkatkan ketelusan dan memperkukuh keyakinan rakyat terhadap pengurusan kewangan negara.

Sementara itu, permohonan semakan kehakiman oleh MBG Watch merupakan cabaran kedua yang difailkan terhadap program tersebut di Mahkamah Perlembagaan.

Permohonan terdahulu yang difailkan pada Januari lalu mempersoalkan sama ada pembiayaan program itu boleh memberi kesan kepada peruntukan pendidikan yang secara undang-undang perlu sekurang-kurangnya 20 peratus daripada perbelanjaan negara.

Gabungan MBG Watch menyatakan bahawa perbahasan mengenai program ini penting kerana ia melibatkan dana awam dalam jumlah yang besar.

“Inisiatif berskala besar memerlukan perancangan fiskal yang teliti serta perbincangan awam yang luas,” kata gabungan tersebut dalam kenyataannya.

Walaupun begitu, ramai pemerhati melihat program makanan percuma ini sebagai salah satu dasar sosial paling bercita-cita tinggi di Indonesia dalam beberapa dekad.

ika dilaksanakan dengan berkesan, program ini berpotensi memperbaiki tahap pemakanan kanak-kanak, meningkatkan prestasi pendidikan serta menyokong pembangunan sumber manusia negara dalam jangka panjang. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg