Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kumpulan RSF Sudan mengganas di bandar

Jul 8, 2023 | 11:00 PM
HURU HARA: Gambar fail menunjukkan seorang lelaki berjalan di kawasan bangunan yang teruk dibedil dari udara semeasa pertentangan antara para militia Rapid Support Force (RSF) dan pihak tentera di Khartoum Utara, Sudan, pada 1 Mei lalu.
HURU HARA: Gambar fail menunjukkan seorang lelaki berjalan di kawasan bangunan yang teruk dibedil dari udara semeasa pertentangan antara para militia Rapid Support Force (RSF) dan pihak tentera di Khartoum Utara, Sudan, pada 1 Mei lalu. - - Foto REUTERS

WAD MADANI: Kumpulan separa tentera Pasukan Sokongan Pantas (RSF) Sudan didakwa menyerang sebuah bandar terpencil semalam dengan melepaskan tembakan rambang sebelum merompak, mencuri dan merogol, menurut saksi yang turut menjadi mangsa.

Selama hampir tiga bulan, RSF yang dipimpin oleh Jeneral Mohamed Hamdan Daglo berperang dengan tentera Sudan di bawah Jeneral Abdel Fattah al-Burhan, menyebabkan sekurang-kurangnya 3,000 orang maut dan jutaan individu kehilangan tempat tinggal.

Seorang saksi di ibu kota utara Kordofan, berkata RSF merompak bank dan bangunan awam di Bara iaitu 50 kilometer (km) dari timur laut El-Obeid.

“Mereka menembak dan merompak sesuka hati, malah tidak nampak kelibat tentera atau polis datang membantu.

“Walaupun ada tentera cuba datang dari El-Obeid, RSF menguasai jalan El-Obeid-Bara,” kata seorang penduduk, Encik Abdelmohsen Ibrahim.

El-Obeid yang berada 350 km dari selatan Khartoum itu adalah pusat logistik dan komersial yang strategik dengan hab komersial, lapangan terbang dan gudang besar untuk penyimpanan bahan makanan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sudah berulang kali mengeluarkan amaran dan mengingatkan pihak bertelagah supaya mengelak melakukan jenayah terhadap kemanusiaan, namun tiada yang mematuhinya.

Sejak perang meletus, RSF menubuhkan pangkalan di kawasan perumahan manakala tentera lebih banyak menggunakan kekuatannya melancarkan serangan udara.

RSF didakwa memaksa orang awam keluar dari rumah mereka, merampas kenderaan, merompak serta merogol wanita ketika mereka cuba melarikan diri ke negara jiran.

Kumpulan separa tentera RSF, yang asal-usulnya sebelum ini adalah puak Janjaweed iaitu anggota militia Arab yang digeruni kerana melakukan kekejaman secara meluas terhadap etnik minoriti bukan Arab di Darfur sejak 2003.

Konflik semasa menyaksikan pelbagai gencatan senjata dipersetujui dan dilanggar secara sistematik, di tengah-tengah usaha timbang tara antarabangsa dan Afrika.

Semalam (7 Julai), Pihak Berkuasa Pembangunan Intra Kerajaan (IGAD) blok wilayah timur Afrika mengumumkan bahawa mesyuarat ketua-ketua negara yang ditugaskan untuk menyelesaikan krisis Sudan akan diadakan di ibu negara Ethiopia Isnin ini, kata jurucakap blok itu, Nour Mahmoud Sheikh al-Jumaa.

Seorang pegawai IGAD yang enggan dikenali berkata, Jeneral Burhan dan Jeneral Daglo dijemput ke sidang kemuncak itu.

“Mereka mungkin menghadiri atau menghantar wakil peringkat tinggi,” kata pegawai itu.

Blok terbabit sebelum ini mengumumkan peluasan mekanisme untuk menyelesaikan krisis Sudan termasuk Ethiopia, Kenya, Somalia dan Sudan Selatan. - AFP, BHM

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg