Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kurang bekalan bahan api: Doktor di Gaza letak beberapa bayi dalam satu inkubator

Jul 11, 2025 | 6:13 PM
bayi, inkubator, gaza, al-helou
Petugas perubatan terpaksa meletakkan beberapa bayi dalam satu inkubator di Hospital Al-Helou akibat krisis bahan api, di tengah serangan ketenteraan Israel, di Bandar Gaza, 10 Julai. - Foto REUTERS

GAZA: Doktor di hospital terbesar Gaza berkata bekalan bahan api yang semakin kehabisan telah memaksa mereka meletakkan beberapa bayi pramatang dalam satu inkubator.

Ia merupakan usaha menyelamatkan nyawa bayi itu sementara Israel meneruskan kempen ketenteraannya.

Petugas kesihatan yang sudah terbeban dengan pelbagai masalah berkata krisis bekalan bahan api itu berpotensi memaksa mereka bekerja dalam gelap serta melumpuhkan hospital dan klinik di wilayah Palestin itu, di mana perkhidmatan kesihatan telah terjejas teruk sepanjang 21 bulan peperangan.

Seorang pegawai tentera Israel mendakwa sekitar 160,000 liter bahan api yang diperuntuk bagi hospital dan kemudahan kemanusiaan lain telah dibawa masuk ke Gaza sejak 9 Julai.

Ketika Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, membincangkan nasib tebusan Israel di Gaza bersama Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, di Washington minggu ini, pesakit di pusat perubatan Al Shifa di Bandar Gaza berdepan ancaman kesihatan yang kian meruncing, menurut doktor di sana.

“Kami terpaksa meletakkan empat, lima, atau kadang-kadang tiga bayi pramatang dalam satu inkubator,” kata Pengarah Al Shifa, Dr Mohammed Abu Selmia. 

“Bayi-bayi pramatang kini berada dalam keadaan yang sangat genting,” tambah beliau.

Ancaman itu, kata Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Gaza, Dr Muneer Alboursh, “bukan datang daripada serangan udara atau peluru berpandu – tetapi sekatan yang menghalang kemasukan bahan api”, katanya kepada Reuters.

Kekurangan bahan api ini “menghalang golongan rentan daripada mendapatkan hak asas mereka untuk rawatan perubatan, menjadikan hospital itu seperti tanah perkuburan sepi”, katanya.

Seorang pegawai tentera Israel berkata gambaran sebegitu mencipta “naratif palsu”. 

Beliau mendakwa badan-badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bertugas di Gaza yang menentukan cara pengagihan bahan api dan beliau tidak tahu sama ada bahan api sudah sampai ke Al Shifa atau belum.

Gaza, sebuah kawasan kecil dengan penduduk lebih 2 juta orang, telah berada di bawah sekatan Israel lama sebelum perang antara Israel dengan kumpulan Palestin, Hamas, meletus.

Sementara Israel meneruskan serangan dan sekatannya dengan matlamat untuk menumpaskan Hamas, pesakit yang memerlukan rawatan perubatan, makanan dan air terpaksa menanggung akibat. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg