BAITULMAKDIS - Israel melancarkan gelombang serangan udara di seluruh Semenanjung Gaza, menyebabkan ratusan keluarga Palestin kehilangan tempat tinggal, menurut beberapa saksi.
Pasukan penyelamat menemui lima mayat di lokasi serangan, manakala puluhan orang awam yang cedera telah dibawa ke Hospital Al-Ahli di Bandar Gaza, menurut laporan tempatan.
Pengeboman ini berlaku susulan salah satu arahan pemindahan terbesar yang dikeluarkan penguasa Israel kepada rakyat Gaza, sejak perang ini bersambung pada Mac.
Ia turut berlaku ketika Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, menghadapi tekanan untuk menumpukan semula usaha ke arah mencapai perjanjian gencatan senjata.
Penduduk di Bandar Gaza berkata puluhan serangan udara Israel telah menyasarkan kawasan kejiranan padat di bahagian timur bandar, termasuk Shujaiya, Tuffah dan Zeitoun.
Video yang dimuat naik aktivis di media sosial memaparkan suasana huru-hara dan letupan, diikuti nyalaan api dan kepulan asap tebal yang menjulang ke langit.
Salah satu serangan disasarkan pada sebuah sekolah di Zeitoun yang menempatkan keluarga pelarian, lapor pihak media.
Kelima-lima kematian pula dipercayai berpunca daripada serangan tentera Israel di kem Al Shati, di sebelah barat Bandar Gaza.
Tentera Israel sebelum ini telah mengarahkan penduduk meninggalkan sebahagian besar kawasan di utara Gaza sebagai persediaan menghadapi serangan.
Namun, ramai yang berpindah ke arah barat dalam Bandar Gaza dan bukan ke wilayah selatan seperti yang diarahkan pihak tentera.
“Kami tiada pilihan selain meninggalkan semuanya,” kata Cik Abeer Talba, seorang ibu kepada tujuh anak yang meninggalkan kawasan Zeitoun bersama keluarganya.
“Kami terima rakaman panggilan telefon dalam bahasa Arab yang memberitahu bahawa kami berada di zon pertempuran dan mesti berpindah segera.
“Ini kali ketujuh kami terpaksa lari,” tambahnya.
“Kami kini kembali ke jalanan, tiada makanan, tiada air. Anak-anak saya kelaparan. Mati terasa lebih baik daripada keadaan ini.”
Ketika krisis kemanusiaan semakin meruncing, timbul kebimbangan bahawa arahan pemindahan dan serangan udara berterusan merupakan sebahagian daripada rancangan Israel untuk meluaskan serangan darat mereka di Gaza.
Namun, media Israel melaporkan bahawa terdapat spekulasi dalam kalangan beberapa jeneral bahawa operasi ketenteraan di Gaza mungkin hampir mencapai matlamatnya.
Pandangan ini turut dikongsi oleh ramai bekas pegawai tentera, yang bimbang konflik di Gaza akan berlarutan menjadi perang gerila yang sengit dan memakan masa – sekali gus meningkatkan risiko kematian dalam kalangan tebusan, orang awam dan anggota tentera.
Tindakan susulan Encik Netanyahu menjadi tumpuan kerana beliau kini berdepan dengan tekanan semakin hebat dari dalam dan luar negara supaya memulakan semula rundingan gencatan senjata. - Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg