BANDAR KUWAIT: Kementerian Ehwal Dalam Negeri Kuwait pada 25 Januari, berhasil menggagalkan rancangan kumpulan militan untuk menyerang tempat ibadat Syiah, lapor agensi berita rasmi Kuwait, Kuna.
Anggota keselamatan memantau pergerakan kumpulan pengganas dan menahan tiga orang yang disifatkan sebagai anggota pertubuhan pengganas, menurut Kuna seperti yang dipetik oleh agensi berita Reuters.
Ketiga-tiganya adalah orang Arab, tambahnya tanpa menjelaskan lebih lanjut.
Rancangan pengganas itu digagalkan sedang Kuwait membentuk kerajaan baru yang diketuai oleh Perdana Menteri, Sheikh Mohammed Sabah al-Salem al-Sabah dan Kabinet pertama negara itu selepas kematian pemerintahnya sebelum ini.
Emir Kuwait, Sheikh Meshal al-Ahmad al-Sabah, yang berkuasa pada Disember selepas pendahulunya Sheikh Nawaf meninggal dunia, dijangka mengekalkan dasar luar Kuwait termasuk sokongan untuk perpaduan Teluk Arab, pakatan Barat dan hubungan baik dengan Riyadh yang dilihat sebagai keutamaan
Kuwait bergelut dengan ketegangan berpanjangan antara keluarga pemerintah dan pengkritiknya di Parlimen yang berpecah-belah, yang disifatkan pengkritik menghalang reformasi fiskal dan ekonomi.
Badan perundangan mempunyai lebih banyak pengaruh daripada badan serupa di monarki Teluk yang lain, dan kebuntuan politik selama beberapa dekad membawa kepada rombakan Kabinet dan pembubaran Parlimen
Pada 2015, Kuwait, yang menjadi pusat bagi beberapa pangkalan tentera Amerika Syarikat, mengalami serangan militan paling ganas dalam beberapa dekad, apabila seorang pengebom nekad Arab Saudi meletupkan dirinya di dalam masjid kaum Syiah yang penuh sesak.
Kejadian itu mengakibatkan 27 orang terbunuh. Kumpulan ISIS mengaku bertanggungjawab atas kejadian itu.
Pada 2017, Kuwait mengarahkan pengusiran kira-kira 15 diplomat Iran selepas mahkamah negara itu mensabitkan sebuah sel pengganas yang dikaitkan dengan republik Islam berkenaan.
Mahkamah Agung negara Teluk itu bulan lalu menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas dalang sel pengganas terbabit dan memenjarakan 20 lain kerana dakwaan kaitan dengan Iran dan Hezbullah di Lebanon serta berkomplot melakukan serangan di Kuwait. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg