KUWAIT: Kuwait mengusir dua anggota misi diplomatik Iran dan mengarahkan mereka meninggalkan negara itu dalam tempoh 24 jam selepas serangan peluru berpandu dan dron yang didakwa dilancarkan Iran, mengorbankan seorang individu serta mencederakan puluhan yang lain.

Kementerian Luar Kuwait pada 3 Jun turut mengumumkan pengurangan jumlah kakitangan Kedutaan Iran di negara itu susulan serangan yang menyasarkan beberapa kemudahan awam dan strategik termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait.

Serangan tersebut berlaku ketika ketegangan serantau terus memuncak susulan pertukaran serangan antara Amerika Syarikat dengan Iran di Asia Barat.

Timbalan Menteri Luar Kuwait, Encik Hamad Sulaiman al-Mashaan, memanggil Kuasa Usaha (chargé d’affaires) Duta Iran di Kuwait, Encik Hamed Hamid Yaqoubi Far, untuk menyerahkan nota bantahan rasmi terhadap apa yang disifatkan sebagai “pencerobohan berterusan Iran”.

Menurut kementerian itu, Kuwait turut memaklumkan keputusan mengisytiharkan dua diplomat Iran sebagai “persona non grata” – orang yang tidak dapat diterima sesebuah negara tempat beliau ditugaskan.

“Kedua-dua anggota misi diplomatik Iran diarah meninggalkan wilayah Kuwait dalam tempoh maksimum 24 jam,” ujar kenyataan itu.

Kementerian Luar Kuwait berkata keputusan itu dibuat susulan “serangan ganas dan berterusan Iran menggunakan peluru berpandu balistik dan dron”.

Dalam serangan awal pagi 3 Jun, beberapa peluru berpandu dan dron dilancarkan ke arah Kuwait, Bahrain, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Iraq ketika konflik antara Amerika dengan Iran semakin memuncak.

Iran sebelum itu menuduh Kuwait dan Bahrain membenarkan wilayah mereka digunakan sebagai pangkalan serangan Amerika terhadap Teheran.

Teheran turut memberi amaran akan bertindak balas terhadap negara yang didakwa membantu operasi ketenteraan Amerika.

Bagaimanapun, Kuwait menolak dakwaan tersebut dan menegaskan wilayah serta ruang udaranya tidak digunakan untuk sebarang tindakan bermusuhan terhadap negara lain.

“Kenyataan Iran tidak berasas dan tidak disokong bukti,” tambah kementerian itu sambil menegaskan Kuwait mempunyai hak penuh untuk mempertahankan keselamatan negara.

Tentera Kuwait berkata pihaknya berjaya memintas 13 peluru berpandu balistik dan 17 dron yang disifatkan sebagai “ancaman bermusuhan” dalam ruang udara negara itu.

Namun, beberapa dron dipercayai berjaya melepasi pertahanan dan mengenai Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait.

Kementerian Pertahanan Kuwait menyifatkan serangan ke atas lapangan terbang itu sebagai “pencerobohan kejam Iran”.

Serangan tersebut menyebabkan kerosakan besar pada terminal lapangan terbang selain mengorbankan seorang warga India dan mencederakan 63 individu lain.

Pihak berkuasa kesihatan Kuwait berkata mangsa yang cedera terdiri daripada orang awam, pekerja lapangan terbang dan penumpang.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Kuwait, Encik Abdullah Al-Sanad, berkata hospital di seluruh negara diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga penuh sebaik serangan berlaku.

“Kami melaksanakan pelan kecemasan sejak awal pagi dan pasukan perubatan segera digerakkan untuk merawat mangsa,” katanya.

Tujuh pembedahan kecemasan besar dilakukan ke atas mangsa yang mengalami kecederaan serius termasuk patah tulang, kecederaan kepala, pendarahan otak, kecederaan akibat letupan dan sesak nafas akibat asap.

Pihak berkuasa penerbangan Kuwait kemudian menggantung sementara operasi penerbangan sebelum disambung semula selepas pemeriksaan keselamatan dijalankan.

Direktorat Jeneral Penerbangan Awam Kuwait berkata semua penerbangan Kuwait Airways melalui Terminal 4 kembali beroperasi selepas pasukan teknikal mengesahkan terminal selamat digunakan.

Agensi berita Kuwait turut melaporkan Perdana Menteri Sheikh Ahmad Abdullah Al-Ahmad Al-Sabah, melawat lapangan terbang bagi meninjau sendiri kerosakan akibat serangan tersebut.

Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) menafikan pihaknya menyasarkan lapangan terbang Kuwait.

Iran mendakwa kerosakan berlaku akibat peluru berpandu Patriot Amerika yang tersasar ketika cuba memintas dron Iran.

Namun, Kuwait menyiarkan rakaman kamera litar tertutup yang didakwa menunjukkan sebuah dron Iran membedil Terminal 1 lapangan terbang itu.

Ketegangan di Asia Barat meningkat sejak akhir Februari selepas Amerika dan Israel melancarkan serangan udara ke atas Iran yang mengorbankan lebih 3,000 orang termasuk pemimpin tertinggi Iran ketika itu, Ayatollah Ali Khamenei, serta beberapa komander kanan tentera.

Gencatan senjata yang diusahakan Pakistan mula berkuat kuasa pada 8 April lalu, namun, serangan balas antara kedua-dua pihak masih berlaku.

Presiden Amerika, Encik Donald Trump, dalam wawancara yang disiarkan pada 3 Jun berkata Iran telah bersetuju untuk tidak memiliki senjata nuklear dan rundingan antara Washington dengan Tehran masih diteruskan.

Beliau turut mendakwa pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Mojtaba Khamenei, terlibat secara langsung dalam rundingan tersebut. – Agensi berita.