KYIV: Tentera Russia terus membedil ibu kota Ukraine, Kyiv, dan beberapa bandar besar lain, namun dilaporkan tiada kemajuan besar dalam usaha Moscow mahu menawan lebih banyak kawasan negara jirannya yang lebih kecil itu.
Kyiv terus menjadi sasaran dengan beberapa bangunan dan sistem kereta api bawah tanah rosak ekoran bedilan tentera Russia.
Ibu kota Ukraine itu terasa hampir kosong, jalan rayanya yang luas kebanyakannya lengang kecuali askar yang dilihat di pusat pemeriksaan di persimpangan utama.
Di bandar pelabuhan selatan Mariupol pula, konvoi kemanusiaan pertama telah dibenarkan Russia keluar dari bandar yang dikepung itu.
"Dalam dua jam pertama, 160 kereta dapat keluar," kata Encik Andrei Rempel, wakil majlis bandar raya Mariupol.
"Bandar ini terus dibom tetapi jalan ini tidak dibedil."
Dalam satu perkembangan berasingan, Amerika Syarikat telah memberi amaran kepada China untuk tidak membantu Moscow dalam pencerobohannya ke atas Ukraine.
"Kami telah menyatakan dengan jelas kepada Beijing bahawa kami tidak akan berdiam diri," kata jurucakap Jabatan Negara Amerika, Encik Ned Price.
Sementara itu, delegasi Russia dan Ukraine dijadual menyambung semula rundingan mereka semalam selepas berhenti sehari sejak memulakan rundingan pusingan keempat kelmarin melalui pautan video. - Agensi berita.