LOS ANGELES: Datuk Bandar Los Angeles, Cik Karen Bass, pada malam 10 Jun mengumumkan penguatkuasaan waktu berkurung bermula di kawasan seluas 2.58 kilometer persegi di pusat bandar Los Angeles, berikutan bantahan yang semakin tidak terkawal sejak beberapa malam lalu.
Dalam tempoh empat hari berturut-turut, lebih 150 orang telah ditangkap oleh Jabatan Polis Los Angeles (LAPD) kerana terlibat dalam bantahan yang disertai dengan keganasan yang tidak menentu.
Waktu berkurung akan bermula dari 8 malam hingga 6 pagi dan ia melibatkan kawasan di pusat bandar, dari lebuh raya atau Freeway 5 hingga Freeway 110, dan dari Freeway 10 ke kawasan di mana Freeway 110 dan 5 bersatu.
Cik Bass mengumumkan keputusan tersebut setelah mencadangkan sebelumnya bahawa beliau akan mempertimbangkan waktu berkurung jika keganasan berulang.
“Saya ingin memaklumkan kepada pihak bandar bahawa saya telah mengisytiharkan kecemasan tempatan dan mengeluarkan arahan waktu berkurung untuk pusat bandar Los Angeles bagi menghentikan vandalisme, menghentikan rompakan,” kata Cik Bass dalam sidang media.
Waktu berkurung itu tidak akan dikenakan ke atas individu yang tinggal di kawasan berkenaan, individu yang tidak mempunyai tempat tinggal, media berlesen, serta kakitangan keselamatan dan kecemasan, kata Ketua Polis Los Angeles, Encik Jim McDonnell.
Serbuan Agensi Imigresen dan Kastam Amerika Syarikat (ICE) bagi mengenal pasti pendatang tanpa izin di pusat bandar Los Angeles pada 7 Jun telah mencetuskan pertembungan dengan penunjuk perasaan.
Bantahan sekumpulan penunjuk perasaan melimpah ke Freeway 101 di pusat bandar, menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk.
“Kumpulan itu bertembung dengan barisan pegawai CHP (Peronda Lebuh Raya California) yang menggunakan kayu belantan untuk menghalau mereka,” kata Pegawai CHP merujuk kepada penggunaan kekerasan pihak polis untuk mengawal keadaan.
Beberapa penunjuk perasaan turut dilaporkan membaling botol air ke arah polis.
Penunjuk perasaan telah menutup sementara Freeway 101 selama beberapa jam pada 8 Jun, menyebabkan CHP melakukan 19 tangkapan.
Sejak bantahan bermula, tangkapan semakin meningkat setiap malam, dengan 27 tangkapan pada malam 7 Jun; 40 tangkapan pada 8 Jun, dan 114 tangkapan pada 9 Jun, kata Encik McDonnell.
Pada masa yang sama, Gabenor California, Encik Gavin Newsom, memberikan kenyataan keras terhadap tindakan Presiden Donald Trump yang mengerahkan tentera Nasional dan Marin untuk mengawal keadaan.
“Kita berada di ambang autoritarianisme,” kata Encik Newsom dalam ucapan televisyen pada malam 10 Jun, mengkritik keputusan Encik Trump mengerahkan tentera ke Los Angeles.
Encik Trump telah mengerahkan sehingga 4,000 tentera Nasional dan 700 anggota Marin bagi memantau keselamatan pegawai ICE di Los Angeles, berikutan peningkatan serbuan imigresen di kawasan tersebut.
“Melanggar norma demokrasi,” tambah Encik Newsom, dengan menyifatkan tindakan Encik Trump sebagai langkah yang tidak perlu dan hanya akan memperburuk ketegangan yang sedia ada.
Cik Bass turut menyuarakan kebimbangan yang sama.
Beliau menegaskan bahawa pihak berkuasa tempatan sudah mampu mengawal keadaan dan menganggap langkah penambahan tentera itu sebagai tindakan yang boleh memburuk keadaan.
Susulan langkah itu, Encik Newsom secara rasmi meminta supaya keputusan itu dibatalkan, mendakwa Rumah Putih mencetuskan rusuhan dan menegaskan pihak berkuasa negeri dan bandar tidak mengalami masalah sebelum campur tangan Presiden.
Encik Trump mengubah lawatan sempena ulang tahun ke-250 tentera Amerika pada 10 Jun menjadi perhimpunan bergaya politik, menggunakan simbolisme ketenteraan bagi mempertahankan keputusannya menghantar tentera ke Los Angeles.
Beliau mendakwa Los Angeles sedang diceroboh ‘musuh asing’ dan berikrar akan ‘membebaskan’ bandar itu.
Dalam ucapan di pangkalan tentera terbesar Amerika, Encik Trump menyifatkan penunjuk perasaan sebagai ‘binatang’ dan menggesa tentera ‘mencemuh’ nama Encik Newsom serta mantan Presiden Joe Biden.
“Anarki ini tidak boleh dibiarkan. Kami tidak akan membenarkan ejen persekutuan (pegawai yang menjalankan tugas di bawah arahan pemerintah pusat) diserang dan kami tidak akan membenarkan sebuah bandar Amerika ditawan dan diceroboh oleh musuh asing,” kata Encik Trump kepada pasukan tentera di Fort Bragg, North Carolina.
“Apa yang anda lihat di California adalah serangan menyeluruh terhadap keamanan, ketenteraman awam, dan kedaulatan,” kata Encik Trump, merujuk kepada bantahan yang kian meluas dan berhubung kait dengan ketegangan mengenai imigresen dan dasar migrasi negara itu.
Encik Trump turut mengaitkan bantahan tersebut dengan isu “migrasi tidak terkawal” yang katanya menyebabkan kegagalan fungsi dan huru-hara di negara-negara Eropah.
“Ia sedang berlaku di Eropah. Banyak negara menghadapinya. Mereka lebih baik bertindak sebelum terlambat,” tegas Encik Trump, merujuk kepada keadaan serupa yang sedang berlaku di benua Eropah. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg