GAZA: Kumpulan Hamas membebaskan lapan tebusan Israel di Gaza pada Khamis dan sebagai respons, Israel membebaskan 30 tahanan Palestin.
Pembebasan oleh dua pihak itu adalah sebahagian daripada persetujuan melanjutkan gencatan senjata sementara antara mereka selama sehari, yang dicapai pada saat-saat akhir pada Khamis.
Namun, Gaza menyaksikan Israel menyambung serangannya ke atas kumpulan Hamas, yang memerintah kawasan itu, yang juga dinamakan Jaluran Gaza, pada Jumaat, dengan para saksi melaporkan mendengar letupan bedilan.
Tentera Israel mendakwa mereka memintas roket yang dilancarkan dari Gaza pada awal pagi Jumaat, beberapa jam sebelum gencatan senjata sementara antara dua pihak itu dijadualkan tamat.
Pada masa sama, Hamas dilaporkan bersedia melanjutkan gencatan senjata selama empat hari dan membebaskan lebih ramai tebusan Israel sebagai pertukaran untuk tahanan Palestin.
Perkembangan itu dimaklumkan sumber yang rapat dengan Hamas pada Jumaat, yang turut memaklumkan pihak pengantara sedang berusaha menghentikan konflik itu.
Israel dan Hamas bersetuju melanjutkan gencatan senjata sementara itu ke hari ketujuh pada Khamis, sementara pengantara Mesir dan Qatar berusaha melanjutkannya selama dua hari lagi.
Dengan jumlah tebusan wanita dan kanak-kanak Israel berkurangan, usaha melanjutkan gencatan senjata sementara itu kemungkinan besar akan melibatkan syarat baru bagi membebaskan lelaki Israel, termasuk anggota tentera.
Sehingga kini, Hamas telah membebaskan 105 tebusan Israel, sementara Israel membebaskan 240 tahanan Palestin.
Sementara itu, Kementerian Pertahanan Israel dan Bulan Sabit Merah Palestin telah mendedahkan bahawa lebih banyak bekalan bahan api dan 56 trak membawa bantuan kemanusiaan telah memasuki Gaza pada Khamis.
Namun menurut kakitangan khidmat bantuan, bekalan makanan, minuman, ubat-ubatan dan bahan api masih jauh daripada jumlah yang diperlukan penduduk Gaza.
Dalam satu mesyuarat tergempar yang diadakan di Amman pada Khamis, Raja Abdullah bagi Jordan menggesa pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan antarabangsa untuk mendesak Israel supaya membenarkan lebih banyak bantuan masuk ke Gaza. Ini dilaporkan oleh wakil-wakil yang hadir di mesyuarat tersebut.
Sementara itu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Antony Blinken, yang kini berada di Israel dalam lawatan ketiganya ke Timur Tengah sejak peperangan itu bermula, menyatakan persetujuannya bahawa jumlah bantuan yang memasuki Gaza masih tidak mencukupi.
Encik Blinken memberitahu Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, bahawa Israel perlu melakukan lebih banyak untuk melindungi orang awam sebelum melancarkan operasi ketenteraan. Encik Netanyahu dan kabinetnya menyokong pendekatan itu.
Israel juga dilaporkan meminta Amiriah Arab Bersatu (UAE) menggunakan “tekanan politik”nya untuk membantu membebaskan semua tebusan Israel yang ditahan Hamas di Gaza.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat media Presiden, Presiden Israel, Encik Isaac Herzog, membuat permintaan itu ketika pertemuan dengan Presiden UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, di Dubai pada Jumaat.
Encik Herzog berada di negara Teluk itu untuk menghadiri sidang kemuncak iklim PBB, COP28, yang berlangsung dari 30 November hingga 12 Disember. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg