Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lagi pesantren di Jawa Timur runtuh: 1 pelajar maut, 14 cedera

Oct 31, 2025 | 12:42 PM
Gambar fail menunjukkan Pesantren Al Khoziny di daerah Sidoarjo, di Jawa Timur, runtuh ketika berpuluh-puluh pelajar sedang menunaikan solat asar, membunuh 67 pelajar dalam tragedi pada 29 September 2025.
Gambar fail menunjukkan Pesantren Al Khoziny di daerah Sidoarjo, di Jawa Timur, runtuh ketika berpuluh-puluh pelajar sedang menunaikan solat asar, membunuh 67 pelajar dalam tragedi pada 29 September 2025. - Foto AFP

SITUBONDO: Seorang pelajar terbunuh apabila bumbung sebuah pesantren di Jawa Timur runtuh – kejadian terkini dalam siri kemalangan maut yang menggariskan keperluan mendesak untuk meningkatkan keselamatan di pesantren di seluruh Indonesia.

Ketua Polis Situbondo, Encik Rezi Dharmawan, berkata kejadian itu berlaku sekitar 1 pagi pada 29 Oktober di sekolah berasrama penuh Syekh Abdul Qodir Jailani di daerah Basuki, Situbondo.

“Pada masa itu, hujan lebat dengan angin kencang. Semua pelajar sedang nyenyak tidur apabila bumbung asrama perempuan tiba-tiba runtuh.

“Terdapat 19 pelajar di dalam bilik yang runtuh itu, dan 14 orang telah dikejarkan ke hospital.

“Dua daripada mereka memerlukan rawatan rapi, dan sekitar 5 pagi, salah seorang pelajar meninggal dunia akibat kecederaannya,” tambah Encik Rezi.

Menurutnya, polis telah berada di tempat kejadian dan melancarkan siasatan, dengan penemuan awal menunjukkan runtuhan itu disebabkan cuaca buruk.

Pihak berkuasa merancang bekerjasama dengan pihak berkaitan bagi memeriksa struktur bangunan di pesantren tersebut.

Menteri Agama, Encik Nasaruddin Umar, berkata kejadian itu menunjukkan perlunya meningkatkan keselamatan bangunan pesantren di serata Indonesia.

“Kami tidak mahu tragedi seperti ini berulang lagi. Saya harap ini akan menjadi yang terakhir.

“Pemerintah akan campur tangan dan bertanggungjawab bagi memastikan pesantren menjadi tempat yang selamat, selesa dan sesuai untuk pelajar belajar,” kata Encik Nasaruddin pada 30 Oktober.

Kejadian di Pesantren Syekh Abdul Qodir Jailani berlaku hanya dua hari selepas seorang pelajar terbunuh dan 11 yang lain cedera ketika menaiki tangga di Pesantren Darullughah Wadda’wah di daerah Pasuruan, Jawa Timur, pada 27 Oktober.

“Penemuan awal menunjukkan susur tangga yang belum siap berkemungkinan menyebabkan beberapa pelajar hilang imbangan, mengakibatkan mereka jatuh serentak,” kata jurucakap Polis Pasuruan, Encik Joko Susenonya.

Pada 29 September, Pesantren Al Khoziny di daerah Sidoarjo, juga di Jawa Timur, runtuh ketika berpuluh-puluh pelajar sedang menunaikan solat asar, mengorbankan 67 pelajar.

Runtuhan itu berlaku sekitar 3 petang ketika sebuah trak sedang menuang konkrit di tingkat tiga bangunan itu.

Pihak berkuasa pembinaan itu tidak mempunyai permit bangunan yang sah dan tidak mematuhi peraturan keselamatan.

Polis Jawa Timur telah membuka siasatan jenayah terhadap kemungkinan kecuaian.

Kejadian itu disifatkan sebagai bencana bukan semula jadi paling dahsyat di Indonesia pada 2025. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg