Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Laluan di Jordan dibuka bagi bantuan kemanusiaan ke Gaza

Dec 10, 2025 | 2:28 PM
Bantuan, gaza, Jordan
Israel akan membuka semula lintasan Allenby yang menghubungkan Jordan dengan Tebing Barat untuk membenarkan kemasukan trak bantuan kemanusiaan menuju Gaza.  - Foto REUTERS

BAITULMAKDIS: Israel akan membuka semula lintasan Allenby yang menghubungkan Jordan dengan Tebing Barat untuk membenarkan kemasukan trak bantuan kemanusiaan menuju Gaza mulai 10 Disember, menurut seorang pegawai Israel.

Ini merupakan kali pertama laluan itu dibuka untuk penghantaran bantuan sejak akhir September.

“Berdasarkan kefahaman yang dicapai dan arahan kepimpinan politik, mulai esok (10 Disember) pemindahan barangan serta bantuan dari Jordan ke kawasan Judea dan Samaria serta ke Jaluran Gaza akan dibenarkan melalui Lintasan Allenby,” kata pegawai itu, merujuk kepada istilah Israel untuk Tebing Barat.

Beliau menegaskan bahawa semua trak bantuan ke Gaza akan diiringi ketat, hanya dibenarkan meneruskan perjalanan selepas pemeriksaan keselamatan terperinci.

Lintasan itu, juga dikenali sebagai Jambatan Raja Hussein, ditutup kepada trafik komersial selepas seorang pemandu lori Jordan yang membawa bantuan ke Gaza menembak mati dua anggota tentera Israel pada September. Ia kemudian dibuka semula namun hanya untuk penumpang dan pejalan kaki.

Menurut pegawai itu, Israel dan Jordan telah melaksanakan beberapa “penyesuaian keselamatan” dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

“Prosedur saringan dan profil keselamatan untuk pemandu Jordan serta barangan dalam trak telah diperketatkan, dan pasukan keselamatan khusus ditempatkan untuk mengawal lintasan itu,” katanya.

Allenby ialah satu-satunya pintu masuk antarabangsa bagi rakyat Palestin dari Tebing Barat tanpa perlu memasuki Israel. Walaupun begitu, lintasan itu tetap dikawal oleh tentera Israel sejak pendudukan bermula pada 1967.

Selepas penutupan Allenby, Jordan mengatakan bahawa mereka hanya dapat menghantar sebahagian bantuan melalui Lintasan Sheikh Hussein di utara Tebing Barat.

Pembukaan semula lintasan itu dijangka mempercepat penghantaran bantuan ke Gaza, yang telah musnah akibat peperangan melebihi dua tahun.

Pengumuman itu bagaimanapun dikecam kumpulan pelampau sayap kanan Israel, Tzav 9, yang mahu semua bantuan ke Gaza dihentikan sehingga semua tebusan Israel dibebaskan. “Hamas masih bertindak terhadap pejuang kami setiap hari, tetapi kerajaan terus menghantar trak bekalan kepada pembunuh yang melakukan keganasan pada 7 Oktober,” dakwa kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Daripada 251 tebusan yang diculik semasa serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, semua kecuali mayat Encik Ran Gvili telah diserahkan kepada Israel. Di bawah perjanjian gencatan senjata yang ditaja Amerika Syarikat dan berkuat kuasa pada 10 Oktober, Hamas komited memulangkan semua tebusan, hidup atau mati.

Israel melalui badan Penyelaras Aktiviti Pemerintah di Wilayah (Cogat) melaporkan bahawa sejak perang Gaza meletus pada Oktober 2023, hampir 10,000 trak bantuan atau lebih 144,000 tan barang telah dihantar ke Gaza melalui Israel dan Tebing Barat kira-kira tujuh peratus daripada keseluruhan bantuan ke wilayah itu.

Pada 8 Disember, Duta Amerika Syarikat ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Encik Mike Waltz memuji keputusan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu untuk membuka semula lintasan itu ketika bertemu beliau di Baitulmakdis.

Menurut kenyataan rasmi, Encik Waltz “mengalu-alukan kerjasama Israel dalam memperluas akses lintasan sempadan, termasuk Lintasan Allenby–Jambatan Raja Hussein, bagi mempercepat penyampaian bantuan kemanusiaan ke Gaza.”

Encik Waltz juga sebelum itu mengadakan pertemuan dengan Raja Abdullah II di Jordan dan melawat gudang penyimpanan bantuan yang bakal dihantar ke Gaza. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg