Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

ANALISIS BERITA: MENJELANG PILIHAN RAYA UMUM MALAYSIA

Laluan ekspres Umno kembali ke Putrajaya?

Oct 16, 2022 | 05:30 AM



PILIHAN raya umum Malaysia ke-14 (PRU 14), yang diadakan pada Mei 2018, adalah satu detik bersejarah yang mendukakan bagi parti Umno.



PRU tersebut merupakan kali pertama ia tewas sejak negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.



Ia juga hilang kuasa di beberapa negeri yang disifatkan sebagai kubu kuatnya, seperti Melaka, Johor, dan Negeri Sembilan. Tetapi dalam masa dua tahun sahaja Umno kembali berkuasa sebagai salah satu parti yang memerintah, di bawah gabungan Perikatan Nasional (PN).



Pada Ogos 2021 pula, ia mengambil semula jawatan perdana menteri kepada salah seorang pemimpin kanannya apabila naib presidennya Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob dilantik sebagai perdana menteri Malaysia ke sembilan.



Kini, Umno mahukan kuasa dominan kepimpinan negara dikembalikan kepadanya menerusi pilihan raya yang baru.



Pada 10 Oktober lalu, Datuk Ismail Sabri mengisytiharkan agar parlimen dibubarkan setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong. Sebenarnya, pemimpin-pemimpin Umno lah yang cenderung agar diadakan pilihan raya secepat mungkin berbanding parti-parti lain. PRU-15 boleh diadakan selewat-lewatnya September 2023.



Di sebalik keyakinan pemimpin-pemimpin Umno ini agar diberikan mandat kukuh daripada rakyat, apakah parti itu akan hadapi laluan mudah untuk kembali mengambil alih Putrajaya?



Keputusan mempercepatkan pilihan raya umum sudah dipersetujui semasa Perhimpunan Agong Umno pada Mac lalu. Malah presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan timbalan presidennya Datuk Seri Mohamad Hassan juga menggesa agar parlimen dibubarkan secepat mungkin.



Namun berbeza daripada zaman pemerintahan pemimpin-pemimpin Umno sebelum ini, daripada zaman pemerintahan Tunku Abdul Rahman (1957-1970) hingga ke Datuk Seri Najib Tun Razak, (2009-2018) di mana presiden parti memegang jawatan perdana menteri, ini tidak berlaku pada Datuk Ahmad Zahid selaku presiden Umno.



Hal ini mempunyai dinamiknya tersendiri: Datuk Ahmad Zahid dan Datuk Mohamad Hassan berkuasa di peringkat parti, tetapi Datuk Ismail Sabri, yang sekadar memegang jawatan naib presiden Umno, berkuasa memegang kepimpinan kerajaan, walaupun mereka semua daripada parti yang sama.



Malah dalam Umno, ada pula ahli yang menduduki majlis kerja tertinggi, selaku badan tertinggi Umno dan ada pula ahli-ahli Umno yang lain yang menganggotai kabinet Malaysia.



Justeru, apabila semboyan pilihan raya dibunyikan, pemimpin-pemimpin Umno pasti harus memperlihatkan kesatuan di kalangan kepimpinan agar tidak dinilai sebagai bercelaru di mata pengundi.



Persoalannya, siapakah yang dilihat sebagai pemimpin utama Umno semasa PRU kelak?



Yang pasti, alasan mengapa pemimpin Umno mahukan pilihan raya awal adalah kerana ini adalah peluang terbaik untuk menang.



Keputusan pilihan raya negeri Melaka (November 2021) dan Johor (Mac 2022), di mana Umno berjaya merampas semula tampuk pemerintahan, boleh dijadikan ukuran bahawa rakyat sudah menerima kembali kepimpinan Umno.



Pembangkang juga belum menunjukkan kesepaduan seperti pada PRU14, di mana parti-parti yang bertelagah, seperti PKR, DAP, Amanah dan Bersatu bersama-sama ketepikan perbezaan dan bersetuju bekerjasama di bawah kepimpinan Dr Mahathir Mohamad. Walaupun Umno menang di Johor dan Melaka, kadar pengundi yang keluar mengundi rendah daripada biasa.



Peratusan undi untuk Umno tidak meningkat secara signifikan daripada yang diterimanya pada tahun 2018.



Walaupun PRU 15 ini adalah peluang terbaik bagi Umno, ini tidak bermakna perjalanan pilihan raya kali ini sesuatu yang mudah.



Bukan sahaja Umno perlu tunjukkan penyatuan, ia harus sentiasa berwaspada tentang taktik pembangkang.



Walaupun pembangkang masih kelihatan berpecah, masih ada masa sebelum pilihan raya untuk mereka bekerjasama, terutama jika matlamat mereka sebulat suara adalah menentang Umno.



Umno masih perlu memulihkan imejnya setelah hukuman penjara yang dijatuhkan ke atas Datuk Najib.



Umno perlu meyakinkan rakyat ia adalah parti yang sudah bersih dan bebas rasuah.



Perlu dipertimbangkan juga bahawa ada sesetengah pihak di Malaysia yang masih tidak setuju pilihan raya diadakan dalam masa terdekat kerana negara mungkin berdepan dengan musim tengkujuh. Monsun Timur Laut selalunya melanda negara pertengahan November.



Tahun lalu, Malaysia menghadapi banjir yang dahsyat dan mengorbankan jiwa 48 jiwa.



Memandangkan pilihan raya sudah pun ditetapkan akan berlangsung juga, jika berlaku banjir atau masalah iklim semasa pengundian, pasti rakyat akan marah. Ini mungkin menyebabkan kadar yang keluar mengundi rendah, tetapi juga ketidakpuasan hati ramai, dan mungkin marah terhadap Umno.



Dalam sejarah politik Malaysia, Umno juga tidak boleh menang dalam pilihan raya secara bersendiri.



Selain daripada perikatan dengan parti-parti etnik lain, ia juga bergabung dengan parti-parti di Sabah dan Sarawak. Justeru, prestasi sekutu-sekutu Umno di timur Malaysia juga penting untuk memastikan kejayaan Barisan Nasional (BN). Malah, Umno juga perlu berdepan dengan parti-parti yang ada kubu-kubu kuat di Semenanjung, misalnya di Kelantan, Terengganu dan Kedah yang menjadi negeri-negeri pemerintahan PAS.



Ada juga beberapa kawasan di Kedah di mana mantan perdana menteri Dr Mahathir tetap popular. Faktor-faktor ini mungkin menghambat kemaraan Umno.



Umno juga harus memikirkan strategi yang lebih menyeluruh untuk mendekati golongan pengundi muda, terutama setelah usia pengundi diturunkan pada 18 tahun.



Ada yang mengatakan bahawa golongan muda lebih cenderung pada pembaharuan dan pembangkang, walaupun hakikatnya golongan belia ini adalah golongan rencam, dan tentu ada yang minat pada ideologi Umno.



Tetapi mana-mana parti pun, termasuk Umno, yang tidak melakukan penjenamaan semula dan menampilkan muka-muka baru, baik sebagai calon PRU atau menteri, bakal menyisihkan sokongan daripada golongan belia.



Lantas, walaupun pilihan raya kali ini merupakan peluang terbaik buat Umno untuk memulihkan prestasi hambar tahun 2018, ia masih berdepan dengan pelbagai cabaran.



Ia memerlukan strategi politik yang sarat dengan sofistikasi - termasuk pendekatan media sosial dan cara ia berkomunikasi tetapi ada juga faktor-faktor luaran seperti cuaca, dan alam sekitar yang berada di luar jangkauan Umno.



Ini bermakna masih wujud awan gelap sekitar usaha parti terbesar Melayu di Malaysia itu untuk kembali ke Putrajaya.



  • Penulis adalah Zamil Kanan ISEAS-Yusof Ishak Institute. Beliau adalah pakar politik Singapura, Malaysia dan Indonesia.


“Dalam sejarah politik Malaysia, Umno juga tidak boleh menang dalam pilihan raya secara bersendiri. Selain daripada perikatan dengan parti-parti etnik lain, ia juga bergabung dengan parti-parti di Sabah dan Sarawak. Justeru, prestasi sekutu-sekutu Umno di timur Malaysia juga penting untuk memastikan kejayaan Barisan Nasional (BN). Malah, Umno juga perlu berdepan dengan parti-parti yang ada kubu-kubu kuat di Semenanjung, misalnya di Kelantan, Terengganu dan Kedah yang menjadi negeri-negeri pemerintahan PAS.”
- Penulis




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >