Topik diikuti
Pergi ke BHkuLangkah AS dan China redakan ketegangan penting bagi Asean
Langkah AS dan China redakan ketegangan penting bagi Asean
Langkah AS dan China redakan ketegangan penting bagi Asean
Langkah terbaru Amerika Syarikat dan China untuk meredakan ketegangan amat penting bagi Asia Tenggara kerana hubungan antara dua kuasa besar itu mempunyai kesan langsung dan segera terhadap rantau ini, kata Setiausaha Agung Asean, Dr Kao Kim Hourn.
Berucap dalam sesi Dialog Shangri-La yang bertajuk ‘Keutamaan dalam landskap strategik Asia yang berubah’, Dr Kao berkata komitmen kedua-dua negara terhadap kestabilan strategik yang membina merupakan satu perubahan penting dalam cara mereka melihat hubungan dua hala.
Rangka kerja itu berdasarkan idea bahawa kedua-dua negara boleh bersaing tetapi pada masa yang sama bekerjasama dalam perkara yang mempunyai kepentingan bersama.
Ia diperkenalkan selepas pertemuan antara Presiden Amerika, Encik Donald Trump, dengan Presiden China, Encik Xi Jinping, pada Mei lalu.
“Bagi Asean, perkara ini sangat penting. Amerika dan China merupakan dua rakan keselamatan dan ekonomi yang paling penting bagi kami. Kami berharap rangka kerja ini akan diterjemahkan kepada dasar dan tindakan yang menyumbang kepada keamanan, kestabilan dan pembangunan rantau ini,” kata Dr Kao yang juga mantan diplomat Kemboja.
Hubungan antara Washington dengan Beijing menjadi tegang sejak Encik Trump kembali memegang jawatan dan memulakan semula perang perdagangan dengan mengenakan tarif, atau cukai import, secara meluas pada April 2025.
Ditambah pula dengan cukai berkaitan isu fentanyl ke atas barangan China, kadar tarif Amerika terhadap China meningkat sehingga 145 peratus.
China kemudian membalas dengan mengenakan tarif balas serta mengehadkan eksport unsur nadir bumi dan mineral penting.
Perkembangan positif mula berlaku pada Oktober 2025 apabila Amerika mengurangkan tarif terhadap China, manakala China menyambung semula eksport nadir bumi dan kembali membeli produk pertanian dari Amerika.
Namun, hanya selepas pertemuan terbaru antara Encik Trump dan Encik Xi pada Mei lalu, hubungan antara kedua-dua negara mula kembali normal.
Pada 30 Mei, Dr Kao menegaskan negara anggota Asean tekad untuk mencapai keselamatan dan kemakmuran ekonomi tanpa takut kepada paksaan dan tanpa dipaksa memilih pihak.
Tekanan yang dihadapi negara kecil turut menjadi tema utama yang dibangkitkan oleh Menteri Pertahanan New Zealand, Encik Chris Penk, dan Menteri Pertahanan Lithuania, Encik Robertas Kaunas.
Encik Kaunas berkata negara kecil di Asia turut menghadapi tekanan geopolitik daripada negara jiran yang lebih besar.
Sementara itu, Encik Penk berkata New Zealand sangat bergantung kepada rantau Indo-Pasifik dan menegaskan bahawa mereka lebih kuat apabila bekerjasama berbanding bertindak secara berasingan.
Dalam sesi yang dikendalikan oleh Pengerusi Eksekutif International Institute for Strategic Studies, Encik John Chipman, Dr Kao turut menjawab soalan mengenai peningkatan perbelanjaan ketenteraan dan situasi di Myanmar.
Beliau berkata semakin banyak negara membelanjakan lebih banyak wang untuk pertahanan, namun keadaan itu tidak begitu sihat kerana sumber yang ada boleh digunakan untuk keperluan lain.
Mengenai Myanmar, Dr Kao menegaskan perlunya pendekatan baharu dalam hubungan dengan negara itu yang diperintah oleh junta tentera sejak rampasan kuasa pada Februari 2021.
Menteri luar Asia Tenggara telah bersetuju mengadakan mesyuarat maya dengan rakan sejawat mereka dari Myanmar.
“Di satu pihak, anda perlu mendengar pandangan Myanmar untuk mengetahui apa yang berlaku di lapangan. Namun pada masa yang sama, Myanmar juga perlu mendengar kebimbangan Asean,” kata Dr Kao.
Beliau menambah bahawa pelan damai Asean untuk menyelesaikan krisis di Myanmar masih kekal berkuat kuasa.
