Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Laos tersenarai antara destinasi pelancongan utama 2026

Jan 17, 2026 | 8:37 PM
laos, unesco, luang prabang, destinasi pelancongan
Luang Prabang, bandar yang diiktiraf sebagai Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco). - Foto TOURISM LUANG PRABANG

VIENTIANE: Laos telah dinamakan antara destinasi pelancongan utama dunia bagi 2026 oleh penasihat pelancongan dan pemain industri.

Ini sekali gus menyerlahkan daya tarikan negara itu yang semakin meningkat dalam kalangan pelancong yang mencari pengalaman percutian asli serta bernilai tinggi.

Menurut satu laporan khas yang diterbit agensi berita pelancongan, TravelPulse, golongan karyawan industri yang sering digambarkan sebagai ‘pempengaruh pelancongan sebenar’ telah mengenal pasti Laos sebagai salah satu destinasi yang perlu diberi perhatian pada 2026.

Ini selain Mesir, Jamaica, wilayah Alentejo di Portugal, Mérida di Mexico, Belize dan Panama.

Berbeza dengan pempengaruh media sosial yang sering dibayar untuk mempromosikan destinasi, hotel dan pelayaran, penasihat pelancongan dan pemain industri memberikan cadangan berdasarkan kepakaran, pengalaman sendiri dan pengetahuan mendalam mengenai piawaian perkhidmatan serta trend pelancongan terkini.

Banyak destinasi yang dipilih juga telah dinilai sendiri oleh golongan karyawan ini.

Para pakar berkata 2026 dijangka menjadi titik perubahan bagi Laos, yang sejak sekian lama dianggap sebagai salah satu negara paling terpelihara di Asia Tenggara.

Negara yang dilalui Sungai Mekong ini terkenal dengan landskap pergunungan, seni bina kolonial Perancis, dan keadaan hidup yang tenang.

“Dengan akses serantau yang semakin terhubung dan hotel-hotel mewah serta suasana yang tenang seperti di Rosewood Luang Prabang, pelancong boleh menikmati pengalaman mendalam dari segi kerohanian dan budaya, jauh daripada kesibukan seperti destinasi lain di rantau ini,” kata pengasas Global Travel Moments, Encik Duncan Greenfield-Turk, seperti yang dipetik TravelPulse.

Pengiktirafan terbaru ini menyusuli rangkaian anugerah dan penghargaan antarabangsa yang diterima Laos dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Luang Prabang, bandar yang diiktiraf sebagai Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco), telah tersenarai beberapa kali sebagai antara bandar pelancongan terkemuka di Asia dan dunia, oleh Travel+Leisure dan Smart Travel Asia.

Ia turut tersenarai sebagai antara destinasi percutian utama di Asia dalam Smart Travel Asia Best in Travel Poll 2025.

Selain itu, Laos dan beberapa destinasi dalam negara itu telah menerima pengiktirafan antarabangsa bagi inisiatif pelancongan mampan, ekopelancongan dan pelancongan berasaskan masyarakat, yang mencerminkan usaha negara itu untuk mengimbangi pertumbuhan industri pelancongan dengan pemeliharaan budaya dan perlindungan alam sekitar.

Dengan akses serantau semakin baik, peningkatan pendedahan antarabangsa dan pelbagai tawaran pelancongan bermutu tinggi namun mesra alam yang semakin berkembang, Laos semakin menonjol sebagai destinasi bagi pelawat yang mencari pengalaman bermakna di luar pelancongan popular lain. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg