JOHOR BAHRU: Sektor pelancongan kesihatan di Johor terus menunjukkan perkembangan positif apabila nilai perkhidmatan perubatan yang dicatat meningkat 15 peratus bagi separuh pertama 2025 berbanding tempoh sama pada 2024.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon, berkata negeri itu merekodkan pendapatan RM48.55 juta ($14.85 juta) daripada sektor pelancongan kesihatan setakat suku kedua 2025, berbanding RM42.08 juta pada tempoh sama 2024.
“Jika di peringkat kebangsaan pendapatan pelancongan kesihatan menurun 9 peratus, Johor pula berjaya mencatat peningkatan.
“Ini membuktikan Johor semakin diyakini sebagai destinasi rawatan kesihatan utama rantau ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pembedahan yang Dibantu Robot (robot-assisted surgery), Hinotori, di Regency Specialist Hospital, Bandar Seri Alam, Johor Bahru, pada 22 September.
Menurutnya, pesakit dari Indonesia, Singapura dan China menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan itu dengan ramai memilih Johor untuk menjalani rawatan mahupun saringan kesihatan.
“Pelaburan baru daripada hospital swasta turut membantu menambah keyakinan pesakit luar negara, selain kedudukan Johor yang strategik dan berdekatan Singapura,” ujar beliau.
Encik Ling optimis sektor itu bakal melonjak seiring pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dijangka meningkatkan kemasukan pelabur dan pekerja antarabangsa.
“Apabila penduduk meningkat, permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan juga akan naik. Johor bersedia dengan ekosistem perubatan lebih menyeluruh, hasil kerjasama antara kerajaan negeri dengan persekutuan,” ujarnya.
Beliau berkata beberapa projek kesihatan awam kini dalam pelaksanaan termasuk pembinaan Hospital Pasir Gudang dan Hospital Sultanah Aminah 2 di Johor Bahru, selain tambahan bangunan di Hospital Pontian serta beberapa klinik kesihatan baru.
“Bagi sektor swasta pula, Hospital Regency sudah menyiapkan bangunan baru dengan kapasiti hampir 300 katil, manakala hospital lain juga giat menambah pelaburan dan kemudahan,” katanya.
Encik Ling menambah, penduduk Johor yang kini berjumlah 4.1 juta dijangka meningkat antara 10 dengan 20 peratus menjelang 2030 hasil pelbagai daya usaha pelaburan dan pembangunan perumahan, khususnya di selatan negeri.
“Dengan sokongan sektor awam dan swasta, kita yakin Johor mampu menjadi hab pelancongan kesihatan serantau, menarik pesakit bukan sahaja dari Asia Tenggara, malah seluruh dunia,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg