Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lapan maut dalam kemalangan belon udara panas di Brazil

Jun 22, 2025 | 5:02 PM
Detik-detik belon udara panas itu meletup dan terbakar di Praia Grande, sebelum jatuh berpuluh meter ke tanah.
Detik-detik belon udara panas itu meletup dan terbakar di Praia Grande, sebelum jatuh berpuluh meter ke tanah. - Foto TANGKAP LAYAR AVIATIONBRK/X, DOM LUCRE/X

SAO PAULO: Lapan orang maut pada 21 Jun apabila sebuah belon udara panas dengan 21 penumpang terbakar di selatan Brazil, menurut seorang gabenor negeri.

Ini merupakan kemalangan belon kedua yang mengorbankan nyawa di Brazil dalam tempoh kurang seminggu.

“Lapan maut dan 13 selamat,” kata Gabenor Santa Catarina, Encik Jorginho Mello, melalui platform media sosial X.

Rakaman video yang diambil oleh orang ramai dan disiarkan di televisyen Brazil menunjukkan saat belon itu terbakar dan meletup di kawasan luar bandar berhampiran Praia Grande, kawasan pelancongan yang popular untuk penerbangan belon udara panas.

Bakul yang membawa penumpang jatuh beberapa puluh meter dalam keadaan terbakar.

Beberapa gambar menunjukkan penumpang melompat keluar.

Seramai 13 orang yang terselamat dirawat di hospital, kata pihak bomba.

Pegawai di Hospital Our Lady of Fatima menyatakan bahawa daripada lima mangsa yang dirawat di sana, tiga dalam keadaan stabil dengan kecederaan ringan manakala dua lagi telah dibenarkan pulang.

Siasatan sedang dijalankan untuk mengetahui punca kemalangan tersebut. Keadaan cuaca pada waktu itu adalah cerah.

“Saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa,” kata Presiden Brazil, Encik Luiz Inacio Lula da Silva dalam satu kenyataan.

Juruterbang memberitahu pihak berkuasa bahawa kebakaran itu berpunca daripada pemetik api yang digunakan untuk menyalakan api utama belon di dalam bakul, kata pegawai polis Praia Grande, Encik Tiago Luiz Lemos.

Juruterbang cuba untuk mendaratkan belon sepantas mungkin apabila kebakaran berlaku, “dan setelah hampir mendarat, beliau memberitahu penumpang untuk melompat keluar dari bakul, namun ada yang tidak sempat dan api semakin merebak,” kata pegawai itu.

Seorang anggota pasukan penyelamat di lokasi kemalangan di Praia Grande, selatan Brazil, pada 21 Jun.
Seorang anggota pasukan penyelamat di lokasi kemalangan di Praia Grande, selatan Brazil, pada 21 Jun. - Foto AFP

Empat daripada mereka terbakar hidup-hidup dan empat lagi mati akibat kecederaan selepas terjatuh dari belon, menurut pegawai bomba, Encik Zevir Cipriano Junior.

Seorang saksi memberitahu akhbar Razao bahawa beliau melihat “dua orang jatuh, mereka terbakar, bakul tercabut, dan belon itu jatuh.”

Kurang seminggu sebelum insiden ini, seorang wanita maut ketika menaiki belon di São Paulo. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg