Topik diikuti
Pergi ke BHkuLapan maut nahas helikopter di Kalimantan Barat, terputus hubungan 5 minit selepas berlepas
Lapan maut nahas helikopter di Kalimantan Barat, terputus hubungan 5 minit selepas berlepas
Tragedi timbulkan kebimbangan terhadap rekod keselamatan penerbangan Indonesia
Lapan maut nahas helikopter di Kalimantan Barat, terputus hubungan 5 minit selepas berlepas
SEKADAU (Kalimantan): Semua lapan individu termasuk dua kru disahkan maut dalam nahas helikopter jenis ‘Airbus H130’ yang terhempas di kawasan pedalaman Sekadau, Kalimantan Barat, lapor pihak berkuasa Indonesia.
Helikopter milik syarikat tempatan PT Matthew Air Nusantara itu dilaporkan terputus hubungan dengan pihak kawalan hanya lima minit selepas berlepas pada pagi 16 April.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Sekadau, Encik Zainal Abidin, berkata semua mangsa ditemui dalam keadaan tidak bernyawa.
“Lapan mangsa telah ditemui dan semuanya disahkan meninggal dunia,” katanya.
Pegawai Perhubungan Awam Polis Sekadau, Encik Triyono, turut mengesahkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah selesai dijalankan pada pagi 17 April.
“Semua lapan mayat telah dibawa ke Pontianak,” katanya.
Menurut Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas), helikopter tersebut berlepas dari daerah Melawi pada jam 8.34 pagi waktu tempatan sebelum dilaporkan terputus hubungan kira-kira lima minit kemudian ketika dalam perjalanan ke kawasan lain di wilayah sama.
Ketua Basarnas, Encik Mohammad Syafii, berkata serpihan helikopter ditemui di kawasan hutan tebal dan berbukit di Sekadau.
“Serpihan yang dipercayai bahagian ekor helikopter ditemui kira-kira tiga kilometer dari lokasi terakhir ia hilang dikesan,” katanya dalam satu kenyataan.
Pasukan SAR yang terdiri daripada kira-kira 20 anggota telah digerakkan, termasuk bantuan helikopter Tentera Udara Indonesia bagi operasi pencarian dari udara.
Lokasi nahas yang terletak di kawasan berbukit dan sukar diakses menyebabkan usaha pemindahan mangsa berdepan kesukaran, dengan operasi hanya dapat dilaksanakan sepenuhnya pada 18 April.
Menurut pihak berkuasa, helikopter berdaftar PK-CFX itu membawa lapan individu termasuk juruterbang, Kapten Marindra W; pembantu juruterbang, Encik Harun Arasyd; serta enam penumpang, termasuk seorang warga Malaysia.
Setakat ini, punca nahas masih disiasat.
Tragedi itu sekali lagi menimbulkan kebimbangan terhadap rekod keselamatan penerbangan di Indonesia, sebuah negara kepulauan yang sangat bergantung kepada pengangkutan udara untuk menghubungkan ribuan pulaunya.
Dalam beberapa kejadian terdahulu, sebuah pesawat turboprop yang disewa oleh kementerian perikanan terhempas di Sulawesi pada Januari lalu, mengorbankan semua 10 penumpang.
Pada September 2025, sebuah helikopter yang membawa lapan individu turut terhempas di Kalimantan Selatan sejurus selepas berlepas, manakala satu lagi nahas di Papua kurang dua minggu kemudian meragut empat nyawa. – Agensi berita.
