BANGKOK: Lapan sami Buddha maut manakala 10 lagi cedera selepas sebuah pikap dipandu budak lelaki berusia 11 tahun merempuh satu perarakan keagamaan di timur laut Thailand pada 1 Julai.

Kejadian berlaku di wilayah Mukdahan ketika sekumpulan 35 sami bersama lima pengikut awam sedang berjalan di tepi jalan dalam satu perjalanan keagamaan.

Polis berkata kanak-kanak itu dipercayai mengambil pikap milik ibu bapanya tanpa kebenaran sebelum hilang kawalan lalu merempuh kumpulan sami terbabit.

Lima sami disahkan maut di lokasi kejadian, manakala tiga lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

Lebih 10 mangsa lain kini masih dirawat akibat kecederaan.

Komander Polis Wilayah Mukdahan, Mejar Jeneral Pairoj Thaiphutsa, berkata pihak berkuasa sudah merampas kenderaan terbabit bagi menjalankan pemeriksaan forensik.

“Suspek ialah seorang kanak-kanak. Kenderaan itu sudah dihantar untuk pemeriksaan forensik bagi menentukan punca kejadian,” katanya kepada wartawan.

Beliau berkata polis turut memanggil ibu bapa kanak-kanak terbabit bagi membantu siasatan.

“Kami sudah meminta ibu bapa kanak-kanak itu hadir supaya kami dapat menentukan siapa yang bertanggungjawab terhadap penjagaannya sebelum meneruskan proses undang-undang,” katanya.

Ketua Polis Bandar Mukdahan, Encik Prayut Ruanthongkam, mengesahkan pemandu pikap itu ialah budak lelaki berusia 11 tahun.

Menurut beliau, pasukan perubatan kecemasan dan penyelamat segera dikerahkan ke lokasi kejadian sebelum mangsa dibawa ke Hospital Mukdahan untuk rawatan.

Gabenor Wilayah Mukdahan, Encik Worayan Bunnarat, berkata tragedi itu perlu dijadikan pengajaran penting mengenai keselamatan jalan raya.

“Kami sudah sangat tegas dalam aspek keselamatan jalan raya sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya.

“Kes ini sepatutnya menjadi pengajaran bukan sahaja kepada wilayah kami, tetapi juga kepada masyarakat umum mengenai kepentingan mencegah kemalangan jalan raya.”

Beliau berkata semua pihak, terutama ibu bapa, perlu memainkan peranan lebih besar dalam memastikan keselamatan anak-anak.

“Saya fikir semua pihak yang terlibat, khususnya ibu bapa, perlu membantu kerana tiada siapa mahu perkara seperti ini berlaku,” katanya lagi.

Kejadian itu mengejutkan penduduk tempatan kerana perarakan sami Buddha biasanya berlangsung dalam keadaan aman dan penuh penghormatan.

Rakaman dan gambar dari lokasi menunjukkan keadaan huru-hara selepas kemalangan berlaku dengan beberapa sami terbaring di atas jalan sementara pasukan penyelamat memberi bantuan kecemasan.

Thailand sejak beberapa tahun lalu berusaha memperketat penguatkuasaan keselamatan jalan raya berikutan kadar kemalangan yang tinggi, terutama melibatkan motosikal dan kenderaan pikap di kawasan luar bandar.

Namun tragedi di Mukdahan itu kembali mencetuskan kebimbangan mengenai pengawasan ibu bapa terhadap kanak-kanak serta akses mereka kepada kenderaan bermotor.

Pihak polis berkata siasatan lanjut masih dijalankan bagi menentukan sama ada terdapat unsur kecuaian lain yang menyumbang kepada tragedi tersebut. - Agensi berita