Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lapan terkorban dalam runtuhan bangunan kediaman di Giza, Mesir

Dec 26, 2025 | 12:41 PM
Egypt, Cairo, Giza, apartment
Pasukan penyelamat menjalankan kerja-kerja mengalihkan runtuhan sebuah bangunan yang runtuh di Giza, Mesir, pada 25 Disember. Jumlah korban akibat runtuhan bangunan kediaman lima tingkat di Wilayah Giza, selatan Kaherah, meningkat kepada lapan orang, menurut laporan portal berita milik pemerintah Mesir, Ahram Online, pada 25 Disember. - Foto XINHUA

KAHIRAH: Jumlah korban akibat runtuhan sebuah bangunan kediaman lima tingkat di Wilayah Giza, selatan Kaherah, meningkat kepada lapan orang selepas pasukan penyelamat menemui mangsa terakhir yang hilang, menurut laporan portal berita milik kerajaan Mesir, Ahram Online, pada 25 Disember.

Mayat mangsa terakhir berjaya dikeluarkan selepas dua hari operasi mencari dan mengalihkan runtuhan dijalankan tanpa henti.

Bangunan berkenaan runtuh lewat malam 23 Disember di kawasan Imbaba, sebuah kejiranan yang padat dengan penduduk, sekali gus mencetuskan operasi menyelamat berskala besar oleh pihak berkuasa.

Runtuhan itu turut menyebabkan kerosakan kepada beberapa bangunan bersebelahan, yang kemudiannya dikosongkan sebagai langkah berjaga-jaga sementara pemeriksaan keselamatan struktur dijalankan.

Pihak berkuasa Wilayah Giza dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi memaklumkan bahawa kerja-kerja pengalihan runtuhan terpaksa dilakukan secara manual kerana keadaan jalan yang sempit menghalang penggunaan jentera berat.

“Pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan enam mangsa dalam keadaan hidup dari runtuhan di kawasan Kit Kat, Imbaba,” menurut kenyataan itu.

Mangsa yang diselamatkan mengalami kecederaan ringan hingga sederhana, termasuk luka dan lebam, sebelum dikejarkan ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut.

Pihak berkuasa sebelum ini percaya seramai sehingga 15 penduduk berada di dalam bangunan tersebut ketika kejadian berlaku.

Anggota pertahanan awam dan petugas kecemasan bekerja sepanjang masa menggunakan peralatan khas untuk mengesan mangsa yang terperangkap, sementara usaha menstabilkan kawasan runtuhan turut dilakukan bagi mengelakkan bahaya susulan.

Bekalan gas dan elektrik ke kawasan sekitar diputuskan sebagai langkah keselamatan, manakala pasukan keselamatan segera menutup kawasan kejadian sebaik menerima laporan runtuhan.

Ambulans ditempatkan di lokasi, dan penyelarasan dilakukan bersama pihak berkuasa tempatan serta pemerintah Wilayah Giza bagi mempercepatkan operasi menyelamat dan pemulihan.

Gabenor Giza, Encik Adel Al-Najjar, mengesahkan semua bangunan berhampiran struktur yang runtuh telah dikosongkan sepenuhnya.

“Semua langkah pencegahan telah diambil bagi memastikan keselamatan penduduk,” katanya.

Beliau turut melawat Hospital Awam Imbaba untuk meninjau keadaan mangsa yang cedera sebelum kembali ke lokasi kejadian bagi memantau operasi menyelamat.

Menurut Encil Al-Najjar, operasi ketika ini dilakukan menggunakan peralatan manual bagi mengurangkan risiko tambahan, memandangkan tapak kejadian berada di laluan yang sempit.

“Penggunaan jentera berat di kawasan ini boleh menimbulkan bahaya kepada bangunan bersebelahan,” katanya.

Sementara itu, pihak polis jenayah Giza memulakan siasatan dengan mengambil keterangan saksi dan penduduk setempat bagi mengenal pasti punca runtuhan.

Jawatankuasa kejuruteraan khas turut ditubuhkan untuk menyiasat sama ada bangunan tersebut telah diubah suai tanpa kebenaran atau melanggar peraturan pembinaan.

Penduduk sekitar turut berkumpul di lokasi kejadian, dengan sebahagian daripada mereka membantu pasukan penyelamat menunjukkan unit kediaman yang dipercayai berisiko tinggi.

Kerjasama itu, menurut pihak berkuasa, membantu mempercepatkan pencarian mangsa.

Runtuhan bangunan kekal menjadi isu berulang di beberapa kawasan Mesir, sering dikaitkan dengan struktur lama, pembinaan tanpa kebenaran atau kegagalan penyelenggaraan.

Laporan separa rasmi menunjukkan lebih 800 insiden runtuhan bangunan, sama ada sepenuhnya atau sebahagian, direkodkan dalam tempoh tujuh tahun lalu, mengorbankan lebih 550 nyawa.

Wilayah Iskandariah mencatatkan kira-kira 25 peratus daripada jumlah kejadian tersebut, diikuti kawasan kejiranan lama di Kahirah dan Giza.

Parlimen Mesir menganggarkan antara 97,000 hingga 100,000 bangunan berada dalam keadaan berisiko runtuh, namun masih belum menerima perintah pembaikan atau perobohan, sekali gus menimbulkan kebimbangan berterusan terhadap keselamatan penduduk bandar. – Agensi berita .

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg