DALLAS: Lapangan Terbang Antarabangsa Dallas-Fort Worth (DFW), antara lapangan terbang paling sibuk di Amerika Syarikat, akan menyediakan kemudahan khas untuk penumpang Islam mengambil wuduk di tandas Terminal D, sebagai sebahagian usaha memenuhi keperluan penumpang daripada pelbagai latar belakang agama.

Projek itu didaftarkan secara rasmi dengan Jabatan Pelesenan dan Peraturan Texas (TDLR) pada 31 Julai lalu dan dijangka siap menjelang akhir 2026.

Menurut dokumen projek, tempat mengambil wuduk itu akan dibina di tandas sedia ada di aras ruang legar Terminal D, masing-masing satu di tandas lelaki dan wanita.

“Projek ini merangkumi penambahan tempat mengambil wuduk di tandas sedia ada di aras ruang legar Terminal D, iaitu satu di tandas lelaki dan satu di tandas wanita,” menurut butiran projek tersebut.

Projek yang dibiayai pihak swasta itu dianggarkan menelan belanja sekitar AS$300,000 ($385,000).

Kemudahan tersebut direka khusus bagi memudahkan penumpang Islam mengambil wuduk sebelum menunaikan solat tanpa perlu menggunakan sinki biasa di tandas.

Wuduk merupakan proses penyucian diri yang dilakukan umat Islam sebelum menunaikan solat, dengan membasuh bahagian tertentu anggota badan, termasuk tangan, muka, lengan dan kaki.

Penyediaan tempat mengambil wuduk khusus juga mempunyai fungsi praktikal dari segi keselamatan dan kebersihan.

Tanpa kemudahan tersebut, penumpang mungkin terpaksa mengangkat kaki ke sinki biasa untuk membasuhnya, yang boleh menyebabkan air terpercik atau bertakung di lantai tandas.

Keadaan itu bukan sahaja boleh mengotorkan kawasan sekitar sinki, malah meningkatkan risiko pengguna tergelincir akibat lantai basah.

Tempat mengambil wuduk yang mempunyai ruang basuhan lebih rendah membolehkan kaki dibasuh dengan lebih mudah, selain membantu memastikan lantai dan kawasan sinki biasa kekal kering.

DFW bukan lapangan terbang utama pertama di Amerika yang menyediakan kemudahan sedemikian.

Lapangan Terbang Antarabangsa Chicago O’Hare mempunyai ruang ibadah yang menyediakan kemudahan untuk solat dan mengambil wuduk bagi penumpang Islam.

Lapangan Terbang Antarabangsa George Bush di Houston juga mempunyai bilik wuduk di Terminal D, sementara kemudahan serupa turut disediakan di Indianapolis.

Penyediaan kemudahan itu mencerminkan perubahan lebih luas dalam kalangan lapangan terbang antarabangsa di Amerika yang semakin mengambil kira keperluan agama dan budaya penumpang dari seluruh dunia.

Bagi DFW, langkah itu turut mengambil kira kedudukannya sebagai hab penerbangan antarabangsa utama yang mengendalikan jumlah penumpang yang besar setiap tahun.

Bagaimanapun, rancangan membina kemudahan wuduk itu mencetuskan perdebatan di media sosial, dengan sebahagian pengguna mempersoalkan penyediaan kemudahan yang mempunyai kaitan dengan amalan agama tertentu.

Sebahagian pihak lain mempertahankan projek tersebut dengan menyifatkannya sebagai langkah praktikal untuk memastikan tandas lebih bersih dan selamat, selain memenuhi keperluan penumpang antarabangsa.

Aktivis konservatif Amerika, Encik Ryan Fournier, antara yang meminta orang ramai melihat projek itu dari sudut pengurusan kemudahan dan keselamatan, bukan sebagai usaha mempromosikan sesuatu fahaman agama.

“Orang ramai kecoh mengenai tempat membasuh kaki di DFW, tetapi mari kita lihat fakta sebenar sebelum membuat kesimpulan. Ini bukan mengenai usaha mempromosikan sesuatu ideologi – ia adalah pengurusan asas lapangan terbang,” katanya menerusi media sosial.

Menurut beliau, penggunaan sinki tandas biasa untuk membasuh kaki boleh menyebabkan lantai menjadi basah dan licin, selain berisiko merosakkan kaunter sinki.

“Tempat wuduk yang rendah memastikan tandas kekal kering dan selamat untuk semua orang,” katanya.

Encik Fournier turut menegaskan kemudahan sedemikian bukan sesuatu yang baharu di Amerika kerana beberapa lapangan terbang utama sudah lama menyediakan tempat mengambil wuduk dan ruang ibadah untuk memenuhi keperluan penumpang antarabangsa.

Menurutnya, kemudahan itu pada asasnya bertujuan “memastikan tandas bersih dan mengelakkan orang ramai tergelincir di atas lantai basah”.

DFW sendiri sudah mempunyai kemudahan untuk penumpang dan kakitangan daripada pelbagai agama.

Pada 2019, lapangan terbang itu membuka semula ‘Interfaith Chapel’ atau ruang ibadah pelbagai agama yang telah diubah suai di Terminal D.

Ruang tersebut menyediakan tempat untuk penumpang dan kakitangan lapangan terbang beribadah atau melakukan renungan mengikut kepercayaan masing-masing.

Ia juga mempunyai dua tempat mengambil wuduk. – Agensi berita.