Keluhan para usahawan Muslim mengenai kesukaran mencari restoran halal di Lapangan Terbang Suvarnabhumi dan Don Mueang, Bangkok, Thailand akhirnya didengari dan tindakan penyelesaian diambil.
Veterinar, Dr Ninareeman Binnima berkata melihat kekurangan dalam pasaran pelancong Muslim ke negara itu, beliau dengan kerjasama Persatuan Perdagangan Muslim Thailand (TMTA) berusaha melancarkan pensijilan penarafan mesra Muslim khusus untuk hotel-hotel, lapor Sinar Harian.
“Pernah suatu ketika seorang kenalan terpaksan meminta bantuan staf Muslim di lapangan terbang (untuk mendapatkan makanan halal), lalu mereka dibawa makan di kantin kakitangan.
Menurutnya, projek rintis telah dimulakan di Hotel Rembrandt di pusat bandar Bangkok.
“Hotel mesra Muslim berbeza daripada hotel halal kerana ia lebih fleksibel. Pemilik perniagaan boleh memilih mengikut kemampuan premis masing-masing dan boleh memenuhi keperluan tetamu Muslim serta bukan Muslim.
“Sekiranya hotel itu halal sepenuhnya, maka restoran tidak boleh menyediakan item terlarang seperti daging khinzir dan arak. Tetapi hotel mesra Muslim masih boleh menyajikan arak dan menu daging khinzir, asalkan terdapat sistem yang memisahkan perkhidmatan dan kemudahan pelanggan dengan jelas.
“Pendekatan ini lebih mudah untuk diikuti oleh hotel-hotel di Thailand yang kebanyakannya diuruskan oleh bukan Muslim,” katanya.
Pensijilan ini dikenali sebagai Global Muslim Friendly Hospitality Index dan mempunyai tiga peringkat.
Pihak hotel menyasarkan untuk mencapai tahap tertinggi menjelang Ogos selepas memenuhi beberapa peraturan dan amalan tertentu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rembrandt Asset Management dan CEO Rembrandt Hotels Corporation, Zaki Baz, pensijilan Tahap 2 memberi penekanan kepada cadangan pelancongan mesra Muslim, memastikan para tetamu dapat menikmati pengalaman yang berbudaya dan mesra keluarga selain menghormati sensitiviti agama di Bangkok.
Pihaknya telah melakukan beberapa perubahan dalam beberapa bulan kebelakangan ini, termasuk membina dapur halal yang berasingan dan latihan kakitangan.
“Kami telah mengintegrasikan perkhidmatan yang prihatin kepada keperluan Muslim dalam operasi kami. Kakitangan yang fasih berbahasa Arab disediakan di hotel dan restoran kami dipantau oleh cef Muslim bagi memastikan amalan halal dipatuhi,” katanya.
Bahagian makanan dan minuman kini sedang berusaha mencapai pematuhan halal Tahap 3, ia menunjukkan komitmen mereka terhadap kecemerlangan hospitaliti mengikut keselesaan semua tetamu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg