BUKIT MERTAJAM (Pulau Pinang): Lebih banyak pusat beli belah di Malaysia bakal melaksanakan solat Jumaat di surau-suraunya, selepas projek perintis di beberapa kawasan di Kuala Lumpur telah menunjukkan kejayaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Malaysia, Dr Zulkifli Hasan, berkata kerajaan sentiasa mengalu-alukan usaha mana-mana pentadbiran negeri untuk mengambil inisiatif mewujudkan surau Jumaat di pusat beli-belah sebagai usaha memperluaskan kemudahan kepada umat Islam untuk menunaikan solat Jumaat.

“Setakat ini solat Jumaat telah dilaksanakan di surau beberapa pusat beli-belah, termasuk di IOI City Mall dan Alamanda Shopping Centre di Putrajaya dan Suria KLCC, manakala beberapa lokasi lain sedang dalam peringkat perbincangan.

“Bagi negeri, kami galakkan dan alu-alukan untuk turut bersama-sama kami.

“Saya rasa, insya-Allah usaha yang baik ini akan mendapat sambutan,” katanya selepas merasmikan Multaqa Madani Ulama dan Umara Peringkat Zon Utara di Masjid Timah, Permatang Pauh, Pulau Pinang, pada 5 Julai.

Ketika ini, Malaysia mempunyai lebih 6,784 masjid berdaftar, lebih 1,029 surau Jumaat berdaftar dan lebih 18,000 surau dengan keseluruhan 11,000 imam yang dibayar elaun setiap bulan.

Dr Zulkifli berkata pihaknya turut menerima permintaan daripada pengurusan beberapa pusat beli-belah yang berminat menyediakan surau Jumaat selepas melihat sambutan menggalakkan.

“Selepas sesebuah pusat beli-belah mempunyai surau Jumaat, ia menjadi semakin meriah dan menerima lebih ramai pengunjung,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau berkata beberapa negeri turut menunjukkan minat terhadap inisiatif itu, khususnya negeri yang mempunyai bandar utama dengan pembangunan pesat dan bangunan komersial bertingkat, namun perbincangannya masih pada peringkat awal.

“Sebab itu semakin banyak pihak pengurusan pusat beli-belah menghubungi kami untuk melihat potensi pelaksanaannya di premis mereka. 

“Selain pusat beli-belah, kami turut merancang memperluas kemudahan solat Jumaat ke lokasi tumpuan awam lain seperti terminal pengangkutan, lapangan terbang dan kawasan rehat serta rawat di lebuh raya bagi memudahkan umat Islam menunaikan ibadah berkenaan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Program Rakan Muda Rakan Masjid akan diperluas ke seluruh negara bagi menggalakkan penglibatan belia dalam mengimarahkan institusi masjid menerusi pelbagai kegiatan keagamaan, kemasyarakatan dan rekreasi.

Program yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, itu kini sedang digerakkan secara berperingkat-peringkat di seluruh negara, termasuk di Pulau Pinang, dan pendekatan itu bertujuan mendekatkan golongan muda dengan masjid menerusi kegiatan yang sesuai dengan minat mereka seperti sukan, riadah dan program sosial.

“Di Wilayah Persekutuan, kami sudah menghimpunkan jawatankuasa belia masjid melibatkan lebih 75 masjid, yang giat melaksanakan pelbagai program bagi masyarakat, dan kerajaan turut terus memperkukuh peranan institusi masjid di seluruh negara selaras usaha memperkasakan pengurusan hal ehwal Islam,” katanya.