Lapangan Terbang Dubai sambung operasi secara berperingkat selepas serangan dron
Lapangan Terbang Dubai sambung operasi secara berperingkat selepas serangan dron
DUBAI: Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai mula menyambung semula operasi penerbangan secara berperingkat pada 16 Mac selepas kebakaran akibat serangan dron memaksa pihak berkuasa menggantung sementara penerbangan di salah satu hab penerbangan paling sibuk di dunia.
Insiden itu sekali lagi menonjolkan kesan konflik antara Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran yang kini mengganggu sektor penerbangan global, dengan banyak penerbangan dibatalkan, dijadualkan semula atau dialihkan laluan berikutan kebimbangan terhadap serangan peluru berpandu dan dron di ruang udara Asia Barat.
Kebanyakan ruang udara di rantau itu masih ditutup kerana risiko keselamatan, sekali gus menjejaskan operasi syarikat penerbangan dan menyebabkan harga bahan api melonjak.
Menurut pihak berkuasa, kejadian pada 16 Mac menunjukkan cabaran besar yang dihadapi industri penerbangan untuk memulihkan operasi dan meningkatkan kapasiti penerbangan seperti biasa.
Serangan tersebut merupakan insiden ketiga yang menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai sejak Iran melancarkan serangan terhadap negara-negara Teluk pada 28 Februari lalu. Teheran sebelum ini menyatakan bahawa serangan tersebut bertujuan menyasarkan kehadiran tentera Amerika Syarikat di rantau itu.
Bagaimanapun, dalam beberapa serangan kebelakangan ini, kemudahan awam seperti lapangan terbang, hotel dan pelabuhan turut menjadi sasaran.
Dalam kenyataan yang dimuat naik di platform X, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Dubai memaklumkan bahawa beberapa penerbangan telah disambung semula secara berperingkat ke destinasi tertentu.
“Operasi penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai sedang disambung semula secara berperingkat ke beberapa destinasi,” menurut kenyataan yang dipetik Pejabat Media Dubai.
Syarikat penerbangan Emirates pula memaklumkan bahawa ia menjangka dapat menyambung sebahagian operasi penerbangan sekitar jam 06:00 GMT selepas serangan dron tersebut menyebabkan kebakaran pada sebuah tangki bahan api berhampiran lapangan terbang.
Menurut Emirates, insiden itu tidak mengakibatkan sebarang kecederaan. “Beberapa penerbangan terpaksa dibatalkan sementara waktu susulan insiden tersebut,” menurut kenyataan syarikat penerbangan itu di laman web rasminya.
Syarikat penerbangan sekutu Emirates, flydubai, turut menggantung operasi penerbangan buat sementara waktu. Beberapa penerbangan juga dialihkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Al Maktoum sebagai langkah keselamatan.
Sejak konflik tercetus pada akhir Februari, negara-negara Arab Teluk dilaporkan berdepan lebih 2,000 serangan peluru berpandu dan dron.
Sasaran serangan termasuk pangkalan tentera dan misi diplomatik Amerika Syarikat, selain kemudahan penting seperti infrastruktur minyak, pelabuhan serta kawasan kediaman dan pejabat.
Amiriah Arab Bersatu dilihat antara negara yang paling terjejas oleh serangan tersebut.
Negara itu sebelum ini menormalisasikan hubungan dengan Israel pada tahun 2020, sekali gus menjadikannya antara sasaran utama dalam serangan balas Iran.
Namun begitu, semua negara Arab Teluk turut terkesan oleh konflik tersebut dan secara terbuka mengecam tindakan Iran.
Pada 11 Mac lalu, dua dron dilaporkan jatuh berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, yang turut mengalami kerosakan pada hari pertama konflik apabila Iran melancarkan serangan ke atas beberapa negara Teluk.
Insiden berulang di lapangan terbang itu mencerminkan betapa rapuhnya keselamatan penerbangan di rantau Asia Barat ketika konflik semakin memuncak, sekali gus memberi tekanan besar kepada industri penerbangan global yang sedang berusaha mengekalkan operasi dalam keadaan penuh ketidaktentuan. - Agensi berita

