THE HAGUE (Belanda): Pertubuhan hak asasi manusia, Amnesty International, pada 5 Disember menuduh Israel “melakukan pembunuhan beramai-ramai” atau genosid terhadap rakyat Palestin di Gaza sejak permulaan perang pada 2023.
Ia menyatakan bahawa laporan terbarunya adalah bagi menyedarkan masyarakat antarabangsa tentang tragedi yang melanda wilayah Palestin itu.
Pertubuhan yang berpangkalan di London berkata penemuannya berdasarkan “kenyataan yang tidak berperikemanusiaan dan pembunuhan beramai-ramai oleh pegawai pemerintah dan tentera Israel”, imej satelit yang mendokumentasikan kemusnahan, kejadian di lapangan dan laporan penduduk Gaza.
“Bulan demi bulan, Israel telah melayan rakyat Palestin di Gaza sebagai kumpulan manusia yang tidak layak menikmati hak asasi manusia dan maruah, menunjukkan niatnya untuk memusnahkan mereka secara fizikal,” kata ketua Amnesty, Cik Agnes Callamard, dalam satu kenyataan.
“Penemuan buruk kami mesti menjadi peringatan kepada masyarakat antarabangsa: ini adalah pembunuhan beramai-ramai. Ia mesti dihentikan sekarang,” tegasnya.
Hamas melancarkan serangan di selatan Israel pada 7 Oktober 2023, membunuh lebih 1,200 orang.
Serangan balas dan berterusan Israel sehingga kini telah membunuh 44,532 di Gaza, menurut Kementerian Kesihatan Gaza yang dianggap boleh dipercayai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Tidak ada keraguan sama sekali bahawa Israel mempunyai matlamat ketenteraan.
“Tetapi kewujudan objektif ketenteraan tidak menafikan kemungkinan niat pembunuhan beramai-ramai,” kata Cik Callamard dalam sidang akhbar di The Hague, Belanda.
Beliau berkata penemuan pertubuhan itu berdasarkan kepada kriteria yang ditetapkan dalam Konvensyen PBB mengenai Pencegahan Genosid.
Israel telah berulang kali dan secara paksa menafikan dakwaan pembunuhan beramai-ramai, menuduh Hamas menggunakan orang awam sebagai perisai manusia.
Tetapi laporan Amnesty setebal 300 halaman menunjukkan “serangan Israel disengajakan secara langsung ke atas prasarana dan orang awam di kawasan yang tiada kehadiran Hamas atau sebarang matlamat ketenteraan lain”.
Mereka turut menggunakan letupan berat dengan kesan pemusnahan yang luas, di kawasan perumahan padat penduduk, menyekat bantuan kemanusiaan, dan pemindahan 90 peratus daripada 2.4 juta penduduk Gaza. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg