Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kebanyakan negara akur penting patuhi, hormati undang-undang antarabangsa

Dec 2, 2024 | 5:30 AM
Bangunan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague, Belanda.
Bangunan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague, Belanda. - Foto AFP

RAMALLAH: Kebanyakan negara Barat dan Arab menyokong pengeluaran waran tangkap oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terhadap Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu dan mantan Menteri Pertahanan Israel, Encik Yoav Gallant, berhubung perang di Gaza.

Namun Amerika Syarikat dan beberapa sekutu Israel menolak keputusan ICC itu.

Perdana Menteri Canada, Encik Justin Trudeau, berkata adalah sangat penting untuk semua pihak mematuhi undang-undang antarabangsa, sambil menambah bahawa negaranya akan mematuhi keputusan mahkamah antarabangsa itu.

Menteri Luar Jordan, Encik Ayman Safadi, berkata keputusan ICC harus dihormati dan dilaksanakan, sambil menambah bahawa “rakyat Palestin berhak mendapat keadilan”.

Menteri Luar Norway, Encik Espen Barth Eide, berkata adalah penting bagi ICC melaksanakan mandatnya dengan cara yang bijaksana dan beliau yakin mahkamah akan meneruskan kes itu berdasarkan standard perbicaraan adil yang tertinggi.

Menteri Luar Sweden, Cik Maria Malmer Stenergard, pula berkata negaranya “menyokong kerja penting mahkamah serta melindungi kebebasan dan kewibawaannya”.

Menteri Luar Turkey, Encik Hakan Fidan, menyifatkan waran tangkap ICC sebagai langkah “memberi harapan” dan amat penting untuk membawa pihak berkuasa Israel yang melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin ke muka pengadilan.

“Kami akan terus bekerja untuk memastikan undang-undang antarabangsa dilaksanakan bagi menghukum jenayah genosid,” tambah Encik Fidan.

Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU), Encik Josep Borrell, menekankan bahawa keputusan itu adalah tindakan mahkamah yang mesti dihormati dan dilaksanakan.

Setiausaha Agung pergerakan hak asasi manusia, Amnesty International dan Sokongan Global, Dr Agnes Callamard, menyatakan bahawa Encik Netanyahu kini menjadi “individu yang dikehendaki” dan menggesa masyarakat antarabangsa agar memastikan mereka yang terlibat dibawa ke muka pengadilan.

Sepanyol pula menegaskan akan mematuhi keputusan ICC mengikut undang-undang antarabangsa dengan Belgium, Belanda, Switzerland serta Ireland menyatakan sokongan penuh terhadap ICC.

Mereka turut berjanji akan memenuhi komitmen dan kewajipan berkenaan Statut Rom serta Undang-Undang Antarabangsa, bagi memastikan semua pihak bertanggungjawab dari segi undang-undang dalam jenayah perang di Israel dan Gaza dihadapkan ke mahkamah.

Statut Rom ialah perjanjian yang membentuk ICC.

Kementerian Luar Perancis menyatakan bahawa tindakannya terhadap waran itu akan selaras dengan statut ICC, tetapi enggan mengesahkan sama ada ia akan menahan Encik Netanyahu, atas alasan kerumitan undang-undang.

Britain menghormati kebebasan ICC tanpa mengesahkan sama ada Britain akan melaksanakan waran tersebut.

Afrika Selatan, yang menuduh Israel melakukan genosid di Gaza kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), menyambut baik keputusan ICC.

“Tindakan ini menandakan langkah penting ke arah keadilan bagi jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah perang di Palestin,” katanya.

Selain itu, Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula menyatakan sokongan penuhnya terhadap tindakan ICC.

Menurutnya, keputusan ICC itu jelas tindakan yang melaksanakan tanggungjawapnya, selepas mengeluarkan waran tangkap terhadap Encik Netanyahu dan Encik Gallant berhubung tindakan mereka dalam perang Gaza.

“Kami menghormati kebebasan dan kewibawaan Mahkamah Jenayah Antarabangsa di bawah Statut Rom, merentasi semua situasi dan kes yang berada dalam bidang kuasanya,” kata jurucakap Hak Asasi Manusia PBB, Encik Jeremy Laurence.

“Kami menyokong penuh usahanya untuk meneruskan tanggungjawapnya terhadap jenayah antarabangsa yang paling serius,” tambah beliau.

“Negara-negara anggota kepada Statut Rom mempunyai kewajipan untuk menghormati dan melaksanakan keputusan mahkamah, yang kami harapkan mereka bertindak menurut kewajipan ini,” ujar Encik Laurence.

Sementara itu, Washington “menolak secara asas” keputusan ICC itu, kata Rumah Putih.

“Kami tetap sangat bimbang dengan tindakan tergesa-gesa Pendakwa Raya untuk mendapatkan waran tangkap dan kesilapan proses yang membimbangkan yang membawa kepada keputusan ini.

“Amerika Syarikat sudah menyatakan dengan jelas bahawa ICC tidak mempunyai bidang kuasa terhadap perkara ini,” kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara Amerika.

Baik Amerika mahupun Israel bukan ahli ICC dan kedua-duanya telah menolak bidang kuasanya.

Selain itu, Perdana Menteri Hungary, Encik Viktor Orban, mengundang Encik Netanyahu untuk melawat negaranya, selain memberi jaminan waran tangkap ICC “tidak akan dipatuhi” sepanjang lawatannya kelak.

Dalam blok EU, Hungary dan Republik Czech adalah penyokong kuat Israel.

Namun Kementerian Luar Czech menyatakan Prague akan menghormati kewajipan undang-undang antarabangsa yang dipikulnya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg