DUBAI: Nahas helikopter yang menyebabkan mantan presiden Iran Ebrahim Raisi terbunuh Mei lalu berpunca daripada keadaan cuaca dan ketidakupayaan pesawat itu menampung berat muatan yang dibawanya, lapor agensi berita separuh rasmi Iran pada 21 Ogos.
Namun, pusat komunikasi Staf Umum Angkatan Tentera, yang bertanggungjawab menerbitkan maklumat mengenai siasatan nahas itu, berkata laporan tersebut, yang memetik sumber keselamatan yang diberitahu mengenai hasil siasatan akhir itu, “palsu sepenuhnya”, lapor media pemerintah.
Laporan awal oleh tentera Iran mengatakan pada Mei bahawa tiada bukti perbuatan khianat atau serangan ditemui semasa siasatan.
“Siasatan kes nahas helikopter Ayatollah Raisi telah selesai... ada kepastian sepenuhnya bahawa apa yang berlaku adalah kemalangan,” kata sumber keselamatan yang tidak dinamakan itu kepada agensi berita Fars.
Dua punca kemalangan itu dikenal pasti: keadaan cuaca tidak sesuai dan helikopter tidak dapat menampung berat, menyebabkan ia terhempas ke gunung, tambah sumber itu, menurut Fars.
Siasatan menunjukkan helikopter itu membawa dua orang lebih daripada kapasiti yang dibenarkan oleh protokol keselamatan, kata sumber itu kepada Fars.
Ayaatollah Raisi, yang pernah berpotensi sebagai pengganti Pemimpin Tertinggi Ayatollah Ali Khamenei, terbunuh dalam nahas di kawasan pergunungan berhampiran sempadan Azerbaijan.
Serpihan helikopter yang hangus setelah terhempas itu, yang membawa Encik Raisi, Menteri Luar Hossein Amirabdollahian dan enam penumpang serta anak kapal lain, ditemui selepas pencarian semalaman dalam keadaan ribut salji. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg