Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Puluhan ribu rakyat Iran sertai perarakan pengebumian Presiden Raisi

May 22, 2024 | 6:04 PM
Puluhan ribu rakyat Iran berkumpul di sekitar bandar Tehran untuk menyertai perarakan pengebumian Presiden Ebrahim Raisi dan tujuh anggota rombongannya.
Puluhan ribu rakyat Iran berkumpul di sekitar bandar Tehran untuk menyertai perarakan pengebumian Presiden Ebrahim Raisi dan tujuh anggota rombongannya. - Foto EPA-EFE

TEHRAN: Puluhan ribu rakyat Iran memenuhi jalan-jalan utama di sekitar ibu negara Tehran pada 22 Mei untuk menyertai perarakan pengebumian Presiden Ebrahim Raisi dan tujuh anggota rombongannya yang terkorban dalam satu nahas helikopter.

Orang ramai berkumpul di dalam dan sekitar Universiti Tehran untuk menyertai perarakan itu dan meratapi pemergian Encik Raisi dan rombongan tersebut, sambil memegang potret mantan Presiden itu.

Mereka yang hadir turut menunaikan solat jenazah bersama pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, untuk Encik Raisi dan kesemua mangsa korban tersebut.

Mangsa korban dalam nahas itu termasuk Menteri Luar Iran, Encik Hossein Amirabdollahian.

Ketua kumpulan Hamas, Encik Ismail Haniyeh, dan Timbalan Ketua Hezbollah dari Lebanon, Encik Naim Qassem, turut menyertai perarakan itu.

“Saya katakan sekali lagi... kami pasti Republik Islam Iran akan terus menyokong rakyat Palestin,” kata Encik Haniyeh kepada orang ramai.

Helikopter yang membawa Encik Raisi terhempas di lereng gunung diselubungi kabus di kawasan barat laut Iran, di wilayah Varzeqan, pada 19 Mei, ketika beliau dalam perjalanan pulang ke bandar Tabriz, selepas menghadiri satu majlis di sempadan dengan Azerbaijan.

Kerja mencari dan menyelamat secara besar-besaran dijalankan yang turut melibatkan bantuan daripada Turkey, Russia dan Kesatuan Eropah.

Televisyen negara Iran mengumumkan berita kematian Encik Raisi pada awal 20 Mei.

Encik Raisi, yang sekian lama dilihat sebagai bakal pengganti Encik Khamenei, berusia 63 tahun.

Di ibu negara itu, banyak sepanduk besar dipasang dengan kata-kata yang memuji Encik Raisi sebagai “syahid dalam menjalankan tugas”, manakala yang lain mengucapkan “selamat tinggal kepada hamba golongan kurang bernasib baik”.

Penduduk Tehran menerima pelbagai mesej di telefon bimbit yang menggalak mereka menghadiri acara pengebumian itu.

Dari universiti, jenazah mangsa nahas itu akan dibawa ke Dataran Enghelab yang besar di tengah bandar, dan seterusnya ke Dataran Azadi, menurut media pemerintah Iran.

Dari Tehran, jenazah Encik Raisi akan dibawa ke bandar Mashhad, iaitu, kampung halaman beliau di kawasan timur laut Iran – tempat beliau akan dikebumikan pada 23 Mei. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg