DUBAI: Presiden baru Iran, Encik Masoud Pezeshkian, mengangkat sumpah pada 30 Julai selepas memenangi pilihan raya yang diadakan awal Julai, dengan berjanji untuk memperbaiki hubungan dengan dunia dan melonggarkan sekatan terhadap kebebasan sosial dalam negeri.
“Kami akan meneruskan interaksi yang membina dan berkesan dengan dunia berdasarkan maruah, kebijaksanaan dan kemanfaatan,” kata Encik Pezeshkian, seorang yang berpendirian sederhana, pada sidang Parlimen yang dihadiri pembesar asing dan disiarkan secara langsung di televisyen pemerintah.
Kemenangannya telah menimbulkan harapan untuk memperbaiki hubungan Iran dengan dunia Barat, yang mungkin mewujudkan peluang meredakan kebuntuan nuklearnya dengan kuasa dunia.
Tetapi Encik Pezeshkian memegang jawatan sedang ketegangan Timur Tengah semakin memuncak ekoran konflik Israel dengan Hamas di Gaza, dan pertempuran rentas sempadan dengan sekutu Iran, Hezbollah, di Lebanon.
Iran, yang menyokong kumpulan yang menggambarkan diri mereka sebagai, ‘Paksi Penentangan’ kepada Israel dan pengaruh Amerika Syarikat di Timur Tengah, telah menuduh Washington menyokong apa yang disifatkan sebagai jenayah Israel di Gaza.
“Mereka yang membekalkan senjata yang digunakan untuk membunuh kanak-kanak, tidak boleh mengajar orang Islam tentang kemanusiaan,” kata Encik Pezeshkian.
Pemimpin sekutu Iran iaitu kumpulan Hamas Palestin dan Jihad Islam serta wakil kanan pergerakan Houthi Yaman yang disokong Teheran dan Hezbollah Lebanon menghadiri majlis tersebut.
Encik Pezeshkian yang dijangka menamakan Kabinetnya dalam masa dua minggu menggantikan pemimpin berpendirian tegar, Encik Ebrahim Raisi, yang terbunuh dalam satu nahas helikopter pada Mei. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg